Kapal LSD Tentera Laut Singapura, RSS Persistence Di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu
Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu telah menerima kehadiran kapal Landing Ship Dock (LSD) kelas-Endurance milik tentera Laut Republik Singapura iaitu RSS PERSISTENCE pada 31 Januari yang lalu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu telah menerima kehadiran kapal Landing Ship Dock (LSD) kelas-Endurance milik tentera Laut Republik Singapura iaitu RSS PERSISTENCE pada 31 Januari yang lalu.
Kapal yang dipimpin Leftenan Kolonel Anna Teo ini telah melaksanakan lawatan operasi di sini bersempena program pembangunan latihan di laut bagi 95 orang pegawai kadet mereka.
Posting media sosial TLDM hari menyatakan bahawa menerusi persinggahan singkat itu, aktiviti seperti kunjungan hormat, sukan persahabatan dan resepsi di kapal turut terlaksana bagi menggalakkan interaksi antara warga #NavyPeople kedua negara.
Dalam sesi kunjungan hormat, RSS PERSISTENCE yang diwakili Komander Bahagian Kesiagaan dan Doktrin, Kolonel Wong Chng Tong dan Pegawai Memerintahnya, Leftenan Kolonel Anna Teo telah bertemu Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Pertama Dr. Najhan bin Md Said.
Sesi pertemuan ini dijadikan sebagai medium bagi perkenalan serta perkongsian pandangan berkenaan pembangunan latihan dan perkembangan tentera laut masing-masing.
RSS PERSISTENCE dijangka meneruskan pelayaran ke pelabuhan berikutnya bagi menyambung semula latihan pembangunan dan kemahiran di laut bagi pegawai kadet mereka.
Dengan persinggahan sebegini, ia sesungguhnya dapat membuka peluang bagi asimilasi budaya kerja serta memperkukuh lagi hubungan bilateral negara.
Kapal RSS PERSISTENCE merupakan LPD kelas-Endurance Tentera Laut Singapura yang ketiga dan telah dibangunkan dalam negara oleh syarikat tempatan, ST Marine bagi menggantilkan kapal-kapal terpakai Landing Ship Tank (LST) kelas-County Tentera Laut Amerika Syarikat yang diperolehi oleh Singapura pada 1970-an.
Tentera Laut Singapura memiliki empat buat kapal LPD kelas-Endurance dalam armadanya.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
RSS Persistence yang memiliki berat 8,500 (full load) itu telah ditauliahkan ke dalam Tentera Laut Singapura pada 2001 dan berpangkalan di Changi.
Ia berkemampuan memuatkan 18 buah kereta kebal, 20 buah kenderaan dan kargo, selain anggota tentera untuk beroperasi di kawasan-kawasan jauh daripada pangkalannya.
Untuk sistem persenjataannya, RSS Persistence dilengkapi dengan meriam 76mm, 25mm dan mesingan 12.7mm, selain sistem peluru pertahanan udara Mistral.
RSS Persistence juga boleh dilengkapi dengan dua buah helikopter sederhana untuk operasinya.
Pada 2009, ia juga terlibat dalam misi pelbagai negara di Teluk Aden selama tiga bulan bagi menangani aktiviti lanun dan keganasan. — DSA