Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal-Kapal Pengawal Pantai China Di Dalam Perairan ZEE Malaysia????

Sebagaimana dinyatakan oleh @WBWhiskeyBravo, kapal-kapal pengawal pantai China itu dikesan berada di sekitar Luconia Breakers, di luar perairan Sarawak yang sememangnya kaya dengan khazanah minyak dan gas negara.

0 4,279

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa hari lepas,  akaun twitter Open Source Intelligence (OSINT) Mr WB @WBWhiskeyBravo menyatakan beberapa buah kapal pengawal pantai China berada di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Sebagaimana dinyatakan oleh @WBWhiskeyBravo, kapal-kapal pengawal pantai China itu dikesan berada di sekitar Luconia Breakers, di luar perairan Sarawak yang sememangnya kaya dengan khazanah minyak dan gas negara.

Ada di antara kapal-kapal pengawal pantai China itu menghabiskan masa selama 25 hari di perairan negara itu, sebagaimana didakwa oleh @WBWhiskeyBravo.

Luconia Breakers (Hempasan Bantin) adalah sebahagian daripada Gugusan Beting Patinggi Ali yang juga dikenali sebagai South Luconia Shoals.

Ia juga merangkumi Richmond Reef (Terumbu Balingian), Comus Reef (Beting Merpati) dan Connel Reef (Terumbu Dato Talip).

Kapal Pengawal Pantai
@WBWhiskeyBravo

 

Di antara kapal pengawal pantai China yang dikesan berada di sekitar Luconia Breakers adalah CCG 5901 yang merupakan di kapal pengawal pantai milik negara itu yang paling besar di China dan dunia dengan berat keseluruhannya mencecah 10,000 tan.

Dengan berat 10,000 tan itu, saiz kapal pengawal pantai China CCG 5901 itu menyamai atau lebih besar daripada kapal-kapal perang destroyer kelas-Arleigh Burke atau kapal perang cruiser kelas-Ticonderoga Tentera Laut Amerika Syarikat.

Selain CCG 5901, kapal pengawal pantai China lain yang dikesan berada di Luconia Breakers sebagaimana dikatakan oleh @WBWhiskeyBravo termasuklah CCG 4301 dan CCG 5305.

Kapal pengawal pantai

 

Kapal-kapal pengawal pantai China CCG 4301 dan CCG 5305 bukanlah asing terhadap perairan di Laut China Selatan terutamanya di kawasan ZEE Malaysia, kerana mereka sering dikesan berada di kawasan perairan strategik dan kaya dengan minyak serta gas itu bagi menjalankan “tugasnya.”

Sebagai contoh, kapal pengawal pantai China  CCG 4301 didakwa terlibat dalam satu insiden di Woody Island, Kepulauan Paracel pada tahun 2020 sehingga menyebabkan sebuah bot nelayan Vietnam tenggelam.

Pihak China mendakwa bot nelayan itu telah melanggar kapal pengawal pantai China itu sebelum tenggelam.

Manakala bagi kapal pengawal pantai China CCG 5305, ia juga bukanlah asing di perairan ZEE Malaysia.

Kapal Pengawal Pantai
Kapal pengawal pantai terbesar dunia CCG 5901.

 

Pada 2020, admin pernah melaporkan bahawa kapal pengawal pantai China CCG 5305 yang merupakan kapal kelas Zhaoduan dengan berat keseluruhan mencecah 4,000 tan juga berada di perairan ZEE Malaysia.

Pada 16 Feb 2020,  kapal pengawal pantai China CCG 5305 dipercayai menjadi “pembuli utama” kepada drillship West Capella yang pada ketika itu dikontrak kepada Petronas dan kapal sokongan, Executive Benevolence yang beroperasi di Blok ND1.

Luconia
Luconia Breakers
Kapal Pengawal Pantai
(Gambar Fail)

 

Haijing 5305 ini bergerak serapat 1 batu nautika kapal sokongan itu, sebagaimana ditunjukkan oleh cerapan imej satelit yang dikaji oleh Asia Maritime Transparency Initiative, sebuah badan pemikir yang berpusat di Washington, Amerika Syarikat.

Haijing CCG 5305 ini juga dikesan menceroboh perairan ZEE negara untuk membuat lintasan agresif terhadap platform dan jack up rigs di Blok SK308 dan SK408 yang dioperasi oleh Sapura dan Shell.

Pada ketika ini juga kapal-kapal perang Amerika Syarikat, USS Charleston (LCS-18) dan USS Oakland (LCS-24)  serta USS Makin Island (LHD-8) juga dilaporkan berada di rantau Asia Tenggara. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

 

Comments
Loading...