Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pemetaan Sempadan Perairan S’pura-Johor Terutama Di Selat Tebrau Perlu Dilakukan Semula

Cadangan pemetaan semula persempadanan perairan antara Singapura dan Johor khususnya di Perairan Selat Tebrau itu adalah susulan insiden pertengkaran mulut antara kumpulan nelayan tempatan dengan pihak berkuasa negara jiran itu, Oktober lepas.

0 1,681

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kerajaan negeri dicadangkan supaya membuat pemetaan semula persempadanan perairan antara Singapura dan Johor khususnya di Perairan Selat Tebrau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berkata langkah itu perlu dilaksanakan kerana isu keselamatan dan kedaulatan negara harus diberi perhatian utama oleh kerajaan, sama ada kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan. 

“Aspek keselamatan dan kedaulatan negara ini tidak harus dikompromi kerana jika tidak dipantau dan dijaga dengan baik, maruah negara bukan sahaja diinjak-injak, malah bakal kehilangan haknya,” kata beliau ketika membahaskan Belanjawan Johor 2023 pada Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. 

Beliau berkata demikian semasa mengulas insiden pertengkaran mulut antara kumpulan nelayan tempatan dengan pihak berkuasa negara jiran itu, Oktober lepas.

“Insiden tersebut bukan sahaja tidak wajar dan tidak seharusnya berlaku, malah mencerminkan imej dan maruah rakyat kita dihina,” katanya. 

Selat Tebrau
Pandak Ahmad

 

Wakil rakyat Barisan Nasional itu berkata sikap berdiam diri boleh dianggap sebagai ‘tidak peduli’ dan boleh memberi implikasi besar dan buruk pada masa akan datang. 

“Saya membangkitkan perkara ini bukan bertujuan ingin menimbulkan seteru dengan negara jiran, tetapi dengan niat untuk mempertahankan yang sememangnya menjadi hak milik kita. Malah, saya sendiri pernah menjadi nelayan dan tahu di kawasan tersebut adalah kawasan perairan kita,” katanya.

Pada 24 Okt lepas, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin dilaporkan berkata satu laporan polis dibuat wakil sekumpulan nelayan tempatan susulan insiden pertengkaran mulut antara mereka dengan Coast Guard Singapura seperti yang tular di media sosial.

Selat Tebrau

Media turut melaporkan 10 nelayan tempatan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua di sini.

Selat Johor atau Selat Tebrau merupakan laut sempit yang memisahkan pulau Singapura dengan negeri Johor, Semenanjung Malaysia. 

Laporan media sebelum ini juga menyebut nelayan tempatan meminta pihak berkuasa tempatan supaya meningkatkan rondaan mereka di kawasan perairan tersebut bagi menangani “provokasi” oleh pihak Singapura.

Nelayan tempatan juga mendakwa bahawa “provokasi” oleh pihak berkuasa Singapura itu bukanlah sesuatu yang baru tetapi telah berlaku sejak lima tahun yang lepas.

Namun insiden pada Oktober lepas disifatkan sebagai kemuncak dengan lemparan kata-kata kesat yang “melukakan hati” dan tidak patut dituturkan. — DSA

apps

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

 

Comments
Loading...