Adakah K’jaan Akan Pertingkat Peruntukan Pertahanan Dlm Bajet 2023?
Jika kerajaan bersetuju dengan permintaan Panglima Angkatan Tentera (PAT) supaya peruntukan pertahanan dalam Bajet 2023 dipertingkatkan kepada 1.5 peratus daripada KDNK, maka peruntukan pertahanan pada tahun depan dijangkakan disekitar RM24 bilion-RM25 bilion berbanding RM16 bilion pada tahun ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Adakah kerajaan akan bersetuju dengan permintaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya peruntukan pertahanan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan awal bulan depan dipertingkatkan kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 1 peratus pada ketika ini?
Permintaan itu disuarakan oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang baru-baru, ketika isu “keusangan” aset angkatan tentera negara sedang hangat diperkatakan oleh media dan orang ramai.
Ia adalah suatu tamparan kepada kerajaan apabila pegawai-pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia secara terbuka menyatakan bahawa di antara 61 peratus hingga 75 peratus aset-aset yang dimiliki oleh TLDM dikategorikan sebagai “telah berusia”.

Ada di antara kapal-kapal serang laju TLDM telah berusia separuh abad tetapi khidmatnya masih lagi ditagih.
Apa yang telah dilakukan atau tidak dilakukan oleh kerajaan sehingga mengakibatkan TLDM kini dikategorikan sebagai “tentera laut usang” berikutan sebahagian besar asetnya yang sudah berusia itu?
Sampai bila TLDM dan cabang-cabang perkhidmatan keselamatan negara lain terpaksa bergantung kepada aset-aset berusia separuh abad untuk memelihara kedaulatan dan keselamatan negara?
Sampai bila hendak menjadikan diplomasi sebagai benteng pertahanan negara yang pertama?
Sememangnya isu mengenai bajet pertahanan yang tidak mencukupi itu bukanlah suatu isu yang baru kerana ia telah berlegar sejak sekian lama dan dikatakan menjadi antara punca utama mengapa aset-aset ketenteraan kita agak ketinggalan berbanding negara jiran.

Mungkin kerajaan tidak mempunyai “political will” untuk berbelanja besar bagi sektor pertahanan disebabkan tindakan pembangkang yang sering menjadikan pertahanan sebagai “peluru politik” mereka untuk menyerang kerajaan?
Bagaimanapun, pembangkang juga tidak akan mempunyai alasan untuk menyerang kerajaan sekiranya setiap perolehan aset-aset baru angkatan tentera itu dijalankan secara tertib, tanpa sebarang elemen rasuah serta disiapkan tepat pada masanya.
Comments are closed.