Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Indonesia Tahan Warga Malaysia, China Selepas Temui “Foto-Foto Sensitif”

Pasukan keselamatan Indonesia itu telah menghubungi unit-unit lain seperti Tim Pasukan Khusus TNI AL, Badan Inteligen Negara, Badan Inteligen Strategis TNI, Satuan Gabungan Inteligen, Inteligen Kodim 0911/Nunukan dan lain-lain untuk melakukan siasatan lanjut terhadap keenam-enam saspek terbabit.

0 3,303

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dua rakyat Malaysia, seorang China dan tiga warga Indonesia ditahan oleh tentera Marin Indonesia pada Rabu (20 Julai 2022) di kawasan sempadan Indonesia dan Malaysia di Nunukan selepas mereka menemui gambar-gambar kemudahan pasukan keselamatan Indonesia dalam telefon bimbit mereka yang diambil secara “sembunyi-sembunyi”.

Keenam-enam saspek itu ditahan selepas tentera Indonesia menemui gambar-gambar  kemudahan keselamatan pihak tentera Indonesia itu di dalam telefon bimbit salah seorang daripada warga asing yang ditahan itu. 

Pasukan keselamatan Indonesia dakwa gambar-gambar itu diambil secara “sembunyi-sembunyi.” 

Nunukan
(gambar kredit media tempatan Indonesia)

 

“Saat-saat pemeriksaan ditemukan handphone milik warga negara asing yang berisikan foto-foto bangunan pos penjagaan militer, patok perbatasan, pelabuhan pos lintas batas negara di galeri handphone tersebut yang diduga saat pengambilan  gambar dilakukan sembunyi-sembunyi, ” kata pegawai  pasukan Marin negara itu yang dikenali dengan nama Kapten Marinir Andreas Parsaulian Manalu kepada media tempatan Indonesia. 

Media Indonesia melaporkan bahawa tiga warga asing yang ditahan oleh pasukan keselamatan Indonesia itu dikenali sebagai Leo Bin Simon (40), Ho Jin Kiat (40) dan Bai Jidong (45), tanpa mendedahkan warganegara mereka secara spesifik. 

Media tempatan mengatakan bahawa pasukan keselamatan Indonesia yang sedang menjaga pos keselamatan TNI-AL Sei Pancang, Kecamatan Sebatik, Kabupaten Nunukan telah menahan sebuah kenderaan jenis Avanza berwarna hitam  dan memeriksa penumpangnya. 

Kabupaten Nunukan merupakan sebuah kabupaten di Provinsi Kalimantan Utara, Indonesia. Ibu kota kabupaten ini terletak di kota Nunukan.

Nunukan

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Hasil daripada pemeriksaan itulah anggota pasukan keselamatan Indonesia menemui handphone milik warga asing terbabit mengandungi gambar-gambar “sensitif” itu yang dipercayai diambil secara sembunyi-sembunyi. 

Pasukan keselamatan Indonesia itu telah menghubungi unit-unit lain seperti Tim Pasukan Khusus TNI AL, Badan Inteligen Negara, Badan Inteligen Strategis TNI, Satuan Gabungan Inteligen, Inteligen Kodim 0911/Nunukan dan lain-lain untuk melakukan siasatan lanjut terhadap keenam-enam saspek terbabit.

Media tempatan juga mengatakan bahawa penemuan gambar-gambar haram itu boleh didakwa di bawah Undang-Undang Informasi dan Transaksi Elektronik Nomor 19 Tahun 2016.

Keenam saspek terbabit kini ditahan di Bangunan Imigrasi Nunukan.  — DSA

Comments
Loading...