Bernilai RM18 Bilion Sebuah Tetapi Kapal Perang Kelas-Zumwalt Tiada Senjata?
Perancangan Tentera Laut Amerika Syarikat adalah menggantikan kapal destroyer kelas-Arleigh Burke dengan kapal destroyer kelas-Zumwalt tetapi ia gagal direalisasikan selepas kapal perang halimunan dengan rekabentuk futuristik itu berhadapan dengan deretan masalah yang gagal diselesaikan sehingga kini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal destroyer kelas-Zumwalt Tentera Laut Amerika Syarikat telah dicanang sebagai kapal perang masa depan bagi menggantikan kapal destroyer kelas-Arleigh Burke yang telah sekian lama berkhidmat untuk tentera laut negara itu.
Dengan rekabentuk yang futuristik dengan Radar Cross Section (RCS) yang amat kecil menyerupai sebuah kapal nelayan pada paparan radar walaupun saiznya adalah 40 peratus lebih besar dari kapal Arleigh Burke maka Amerika Syarikat bercadang memperolehi sejumlah 32 buah kapal destroyer kelas-Zumwalt itu.
Kapal destroyer kelas-Zumwalt akan menjadi kapal perang flagship Tentera Laut Amerika Syarikat, peranan yang selama ini dimainkan oleh kapal destroyer kelas-Arleigh Burke yang sentiasa dikerah oleh Washington ke seluruh pelusuk lautan dunia untuk menguatkuasakan dasar negara itu terhadap negara lain.
Bagaimanapun impian Tentera Laut Amerika Syarikat untuk menggantikan kapal destroyer kelas-Arleigh Burke dengan kapal destroyer kelas-Zumwalt gagal direalisasikan selepas kapal perang halimunan dengan rekabentuk futuristik itu berhadapan dengan deretan masalah yang gagal diselesaikan.
Walaupun dibina dengan kos US$4.5 billion (RM18 bilion), tetapi Tentera Laut Amerika Syarikat mendakwa kapal destroyer-kelas Zumwalt itu tidak mencapai keupayaan yang diinginkan oleh mereka.
Disebabkan deretan masalah itu dan kos yang melambung, pembuat dasar Tentera Laut Amerika Syarikat telah memutuskan untuk mengurangkan pembelian kapal destroyer kelas-Zumwalt itu daripada 32 buah kepada hanya tiga buah sahaja.
Tentera Laut Amerika Syarikat juga memutuskan untuk meneruskan pembinaan kapal destroyer kelas- Arleigh Burke memandangkan percubaannya dengan kapal kelas-Zumwalt itu berhadapan dengan kegagalan.
Kapal destroyer kelas-Zumwalt yang pertama, USS Zumwalt telah pun ditauliahkan pada 2016 manakala kapal perang kelas itu yang kedua, USS Michael Monsoor pula ditauliah ke dalam Tentera Laut Amerika Syarikat pada 2019.
Walaupun sudah bertahun kedua-dua kapal destroyer kelas- Zumwalt itu telah ditauliahkan, tetapi USS Zumwalt dan USS Michael Monsoor masih menjalani pelbagai ujian dan belum pernah dikerah ke mana-mana pentas tugasan aktif.
Malah kedua-dua kapal destroyer kelas-Zumwalt itu masih diselubungi dengan pelbagai masalah yang menghalang Tentera Laut Amerika Syarikat daripada mengerahkannya untuk tugasan sebenar di lautan.
Comments are closed.