Pengangkut Strategik A400M TUDM Kini Dioperasikan No 8 Skuadron
No 8 Skn pernah digunakan bagi pengoperasian pesawat angkut Caribou DHC-4A yang berpangkalan di Pangkalan Udara Labuan pada tahun 1966 sebelum dihentikan operasi pada bulan Oktober 1993.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berkuatkuasa 4 Februari lepas, pesawat-pesawat pengangkut strategik A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini dioperasikan oleh No 8 Skn dan bukan No 22 Skn lagi menerusi satu usaha penstrukturan dalaman TUDM.
Simbolik pengoperasian No 8 Skn dilaksanakan dalam satu Perbarisan Skuadron dengan upacara pemakaian lencana No 8 Skn kepada pegawai-pegawai eksekutif skuadron sekaligus menjadi simbolik penukaran skuadron.
Sebelum ini, operasi pesawat pengangkut A400M dikendalikan oleh No 22 Skn.
Pemakaian lencana No 8 Skn telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Omar bin Hj Dawami TUDM kepada Pegawai Memerintah Skuadron, Lt Kol Yusrizal bin Zain TUDM dan disaksikan oleh semua eksekutif pangkalan dan warga skuadron.
Sejarah pengoperasian bagi pesawat angkut A400M bermula pada 5 Januari 2015 dengan perolehan pesawat A400M untuk TUDM dan secara rasminya No 22 Skn mengoperasikan pesawat baharu tersebut.
Sejak itu, pelbagai penugasan penerbangan taktikal dan strategik telah dilaksanakan seperti Air-to-Air Refueling, Medical Evacuation (MEDEVAC), Humanitarian Assistance Disaster Relief (HADR) serta penglibatan dalam eksesais bersama negara-negara luar yang telah membawa nama ATM amnya dan TUDM khasnya.
Malah memainkan peranan penting khusus bagi bantuan penghantaran udara ketika pandemik Covid-19 melanda negara ketika pesawat syarikat penerbangan komersial tidak beroperasi.
Kini, sejajar dengan Pelan Tindakan CAP55 Fasa 1 (2021-2022), nama No 22 Skn ditukarkan kepada No 8 Skn.
Untuk rekod sejarah, No 8 Skn pernah digunakan bagi pengoperasian pesawat angkut Caribou DHC-4A yang berpangkalan di Pangkalan Udara Labuan pada tahun 1966. No 8 Skn telah dihentikan operasi pada bulan Oktober 1993.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Dengan pertukaran yang berkuatkuasa pada 4 Februari 2022, fungsi dan peranan No 8 Skn yang baharu dikekalkan sama seperti fungsi dan peranan No 22 Skn yang mengoperasikan pesawat A400M sebelum ini.
Dengan penukaran nama skuadron ini, ianya melakarkan sejarah tersendiri kepada TUDM dan kepada No 8 Skn yang memegang moto “Teguh Merentas”.
Di acara yang sama, Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Omar bin Hj Dawami TUDM telah menyempurnakan upacara pemakaian pangkat kepada 11 orang warga skuadron. – DSA
Sumber: Laman Facebook Rasmi TUDM