Apa Sudah Jadi Dengan Tender Perolehan Dua Pesawat Peronda Maritim TUDM?
Tender untuk mendapatkan dua buah pesawat MPA telah pun tamat pada 3 Dis, 2020 dan sehingga kini tiada sebarang berita sama ada tender itu diteruskan atau ia telah “dikebumikan tanpa sebarang kubur.”
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara maritim, maka keperluan untuk mendapatkan pesawat peronda maritim (Maritim Patrol Aircraft) adalah amat penting terutamanya apabila negara berhadapan dengan satu demi satu pencerobohan di kawasan perairan di Laut China Selatan.
Bagaimanapun sehingga ke hari ini, kita tidak mempunyai walau sebuah pesawat “full-fledged” MPA yang berupaya di dua teater di Semenanjung dan Malaysia Timur.
Dan tender untuk mendapatkan dua buah pesawat MPA telah pun tamat pada 3 Dis, 2020 dan sehingga kini tiada sebarang berita sama ada tender itu diteruskan atau ia telah “dikebumikan tanpa sebarang kubur.”
Mungkin Kementerian Pertahanan mempunyai prioriti atau kepentingan yang lain, menyebabkan perolehan dua buah pesawat peronda maritim itu ditangguhkan kepada Rancangan Malaysia yang seterusnya.
Tender sudah pun ditutup lebih daripada setahun dan sehingga kini kita tidak tahu syarikat manakah yang menyertai persaingan itu secara rasmi.
Namun daripada sumber-sumber industri memaklumkan antara pesawat-pesawat MPA yang menyertai pesaingan tender Kementerian Pertahanan adalah adalah syarikat pembuat kapalterbang Eropah, Airbus yang mengesahkan bahawa ia telah menawarkan pesawat Peronda Maritim (MPA) C-295 kepada TUDM.
Antara syarikat lain yang dijangka turut sama menyertai tender Kementerian Pertahanan itu termasuklah syarikat Leonardo yang dijangka menawarkan ATR72 MPA dan PTDI daripada Indonesia dengan pesawat CN-235 MPA.
Sebuah lagi syarikat yang menawarkan pesawat MPA untuk tender Kementerian Pertahanan adalah syarikat PAL Aerospace menerusi pesawat De Havilland Dash 8 400.
Mungkin ada syarikat lain yang menyertai persaingan itu, tetapi kita tidak mempunyai maklumatnya.

Perolehan pesawat MPA adalah sejajar dengan perancangan masa hadapan peningkatan keupayaan aset menerusi Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) dan mendukung kesiagaan pengoperasian TUDM berdasarkan hala tuju ATM dan Kementerian Pertahanan seperti penyataan dasar Kertas Putih Pertahanan.
Comments are closed.