Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) BALIK SEGERA! PM Arah Menteri Bercuti Di Luar Negara Segera Pulang

Arahan tegas Perdana Menteri ini amat bertepatan, kerana khabar angin sedang bertiup kencang mendakwa beberapa menteri sedang bercuti di luar negara pada ketika rakyat sedang berhadapan dengan bencana banjir, yang sehingga kini telah mengorbankan 41 orang.

0 1,462

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan tegas telah mengarahkan semua anggota kabinet membatalkan cuti mereka dan mana-mana menteri yang sedang berada di luar negara hendaklah pulang ke negara dengan segera.

“Saya sudah arahkan semua menteri yang rancang percutian masing-masing untuk batalkan percutian mereka, mereka yang berada di luar negara yang boleh balik, balik segera.

“Supaya kita boleh bersama rakyat yang sedang kesusahan ini,” katanya.

Menurut perdana menteri, pembatalan cuti itu berkuat kuasa sehingga masalah bencana banjir negara ketika ini selesai.

Menurut portal berita Malaysiakini, Ismail Sabri berkata dia juga membatalkan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand yang sepatutnya diadakan pada 28 hingga 30 Dis untuk menumpukan masalah yang dihadapi rakyat akibat banjir.

Ismail Sabri telah membuat hantaran di Twitter, video ucapannya yang dipercayai dirakam semasa melawat Bentong, Pahang.

Bencana banjir telah mengorbankan 41 nyawa setakat ini, manakala lapan orang masih hilang.

Selepas melanda kawasan barat Semenanjung dan Lembah Klang, hujan lebat dan banjir dijangka melanda pantai timur dengan Pahang antara negeri yang berisiko banjir lebih teruk.

Banjir

 

 

Tidak jelas berapa ramai menteri yang berada di luar negara sekarang ini.

Tidak jelas juga jika menteri yang pulang dari luar negara akan dikecualikan daripada syarat kuarantin sebaik sahaja mereka kembali.

Pada masa ini, rakyat Malaysia yang telah divaksin sepenuhnya mesti dikuarantin selama tujuh hari di rumah.

Mereka yang pulang dari negara berisiko tinggi di mana varian Omicron tersebar juga dikehendaki memakai peranti pemantauan digital.

Ismail sabri

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...