Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam “Soryu” Tentera Laut Jepun Berlanggar Dengan Kapal Dagang

796

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tiga krew sebuah kapal selam berkuasa diesel-elektrik kelas-“Soryu” Tentera Laut Jepun mengalami kecederaan selepas kapal selam mereka terlibat dalam kemalangan dengan kapal dagang yang berdaftar di Hong Kong.

Kejadian semalam itu berlaku pada 10.58 pagi waktu tempatan 25 batu selatan Cape Ashizuri di perairan berhampiran Pulau Shikoku di Pulau Honshu.

Ocean Artemis
Kapal dagang “Ocean Artemis” yang berlanggar dengan kapal selam Jepun.

Menurut Kementerian Pertahanan Jepun, kemalangan berlaku ketika kapal selam Jepun itu naik ke permukaan (surfacing) dan bergesel dengan kapal dagang China yang dikenali dengan nama “Ocean Artemis” yang pada ketika itu membawa bijih besi dan sedang dalam perjalanan ke Okayama Prefecture daripada China.

Kemalangan itu menyebabkan antenna and sistem komunikasi kapal selam Jepun  seberat 2,900 tan itu mengalami kerosakan, meenyebabkan krew kapal selam terbabit gagal memaklumkan tentang insiden itu. Hanya tiga jam setengah selepas kejadian barulah krew kapal selam dapat memberitahu pangkalan tentang kemalangan yang berlaku itu. Tentera Laut Jepun memiliki 11 buah kapal selam berkuasa diesel-elektrik dalam angkatannya.

Soryu
Kapal selam kelas-“Soryu” Tentera Laut Jepun sebelum insiden pelanggaran.

Itupun selepas kapal selam kelas “Soryu” itu belayar ke lokasi perairan berdekatan dengan daratan bagi  membolehkan krew menggunakan telefon bimbit mereka untuk menghubungi pangkalan, yang seterusnya menghantar kapal peronda dan pesawat untuk memantau pergerakan kapal selam itu.

Sebenarnya kapal selam turut dilengkapi dengan peralatan “collision warning”, yang jika mahu ia beroperasi perlu menghidupkan sistem active sonar-nya.

Bagaimanapun jika ia menghidupkan active sonar miliknya, ia berhadapan dengan risiko dikesan oleh kapal selam lain atau kapal-kapal lain kerana sonar itu menghasilkan signal yang boleh menyebabkan kapal selam dikesan sekaligus mendedahkan lokasinya.

Kapal selam kalau ia sudah dikesan, tak guna jadi kapal selam. Baik jadi kapal permukaan sahaja.

Pada Februari 2001, sebuah kapal selam berkuasa nuklear daripada kelas-Los Angeles “USS Greenville” terlanggar bot nelayan Jepun, Ehime Maru di selatan Oahu, Hawaii ketika naik ke permukaan juga.

Pelanggaran itu menyebabkan bot latihan nelayan itu tenggelam dan sembilan daripada 35 anak kapalnya maut.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments are closed.