Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Terima Kasih Atas Segala-galanya “Tok Ujang”, Al-Fatihah Kepada Pahlawan Negara

0 763

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Satu-satunya veteran Perang Dunia Kedua yang masih hidup di negara kita, Prebet Ujang Mormin, 100, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Berasal dari Rembau, Negeri Sembilan, pahlawan negara itu pernah berjuang dalam batalion yang sama dengan seorang lagi pahlawan negara iaitu Allahyarham Leftenan Adnan Saidi  ketika menentang tentera penjajah Jepun di Singapura.

Ujang Mormin
Allahyarham Prebet Ujang Mormin bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang. (gambar kredit pemilik)

Pengerusi Koperasi Bekas Warga Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja, Kapten (B) Datuk Mohd Awal Nordin berkata, Ujang yang dilahirkan pada 14 Jun 1921 meninggal dunia dalam usia 99 tahun lapan bulan. “Allahyarham adalah antara anak Melayu terawal diserap ke Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1942. Sebelum ini alamat terakhirnya di Taman Pinggiran Pedas, Negeri Sembilan, namun kemudian dijaga dan ditempatkan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.”

Ujang Mormin
Allahyarham Prebet Ujang Mormin ketika muda dengan pakaian seragam tentera. (Gambar kredit Harian Metro)

“Beliau dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Januari lalu apabila dikesan dikesan positif Covid-19 selepas seorang pesakit lain di Unit Rawatan Rapi (ICU) dijangkiti virus sama,” katanya.

Beliau berkata, maklumat kematian Ujang diterima pada 5.45 pagi hari ini dan disahkan Dr Omar dari Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, urusan mandi, mengkafankan dan solat jenazah diaturkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia di Hospital Sungai Buloh, dijangka 9 pagi esok.

Katanya, jenazah kemudian akan dibawa ke Pusara RAMD Port Dickson untuk disemadikan dan urusan persediaan kubur serta liang lahad sudah diuruskan 15 RAMD.

“Allahyarham Pak Ujang adalah seorang yang berperwatakkan sederhana dan mudah disukai. Ramah dan mudah menghulurkan bantuan sama ada berbentuk material mahu pun nasihat bagi generasi muda.

“Pemergian beliau amat dirasai oleh ramai rakan veteran. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama para solihin dan syuhada serta memperoleh keredaan Allah Yang Maha Esa,” katanya.

Sumber berita adalah daripada akhbar Harian Metro

Comments
Loading...