Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia, Australia Hampir Berperang Pada 1999 Tentang Isu Timor Timor?

620

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Portal pertahanan antarabangsa, The Drive bulan lepas telah menceritakan detik-detik cemas pertembungan di antara pesawat-pesawat pejuang Indonesia dan Australia ketika hubungan antara kedua-dua negara itu tegang akibat isu wilayah Timor Timor.

Penerangan tentang insiden itu adalah berdasarkan temuramah juruterbang pesawat pejuang ringan Hawk milik Tentera Udara Indonesia, Kapten Henri Alfiandi dengan laman web pertahanan negara itu, Mylesat.

Hawk
Pesawat Hawk 209 Tentera Udara Indonesia.

Insiden yang didakwa berlaku pada 16 September 1999 itu melibatkan pertembungan udara antara pesawat pejuang Hawk diterbangkan oleh Henri dengan pesawat pejuang F-18 Hornet dan F-111 Aardvark miliki Tentera Udara Australia.

Penerbangan pesawat-pesawat Hornet dan swing-wing F-111 oleh Tentera Udara Australia bertujuan sebagai “show of force” untuk menakut-nakutkan Indonesia supaya segera berundur daripada wilayah Timor Timor. Pesawat pejuang ringan Hawk Indonesia diletakkan di pengkalan udara di Kupang , Nusa Tenggara Timor.

Hawk
Pesawat FA-18 Hornet Tentera Udara Australia.

Tepat pada pukul 9 pagi pada hari berkenaan, Henri menerbangkan pesawat Hawk 109 manakala rakannya dikenali dengan nama “Azhar” pula berada di dalam pesawat Hawk 209 menuju southeast Flight Information Region (FIR) yang berhampiran dengan ruang udara Australia di Darwin.

Penerbangan kedua-dua pesawat Hawk itu dipandu oleh radar di pengkalan udara Kupang atas seliaan Mejar Lek Haposan, yang memberitahu kehadiran dua pesawat asing tidak dikenali pada ketinggian 8,000 kaki dengan kelajuan 160 knots.

Kedua-dua pesawat asing itu dipercayai menuju ke Dili, ibu negara Timor Timor.

Tidak lama selepas itu, menggunakan radar pada pesawat Hawk 209 diterbangkan oleh Azhar mereka tahu bahawa dua pesawat asing itu yang berada kurang 20 batu daripada mereka adalah FA-18 Hornet.

Hawk
Pesawat F-111 Aardvark Tentera Udara Australia.

Menurut Henri, rakannya “Azhar” telah “locked-on” terhadap salah sebuah pesawat FA-18 Hornet Tentera Udara Australia menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9 Sidewinder yang dibawa oleh pesawatnya.

Sebelum Azhar sempat melancarkan peluru berpandu untuk memusnahkan pesawat Hornet itu, Henri sempat menjerit menerusi sistem komunikasi mereka bahawa Indonesia dan Australia tidak berada di dalam keadaan perang, ditambah pula kedua-dua pesawat Hornet itu tidak menceroboh ruang udara Indonesia.

Tidak lama itu, kedua-dua pesawat Hornet Tentera Udara Australia itu berpatah balik ke pengkalan udara Tindal di Darwin manakala Henri dan Azhar terbang ke pengkalan udara mereka di Kupang.

Dalam satu lagi inside pada 23 September 1999, Henri dan rakannya Mejar Hasbullah dikerah untuk memintas sebuah pesawat pengebom F-111 yang baru sahaja membuat lintasan provokasi terhadap pengkalan udara tentera udara Indonesia di Kupang.

Kedua-dua insiden itu menunjukkan betapa hampirnya Indonesia dan Australia kepada pertelingkahan bersenjata mengenai isu Timor Timor.

– DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.