Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Friget Filipina Guna Peluru Berpandu Anti-Kapal “SSM-700K Haeseong”

715

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kedua-dua kapal friget Tentera Laut Filipina kelas Jose Rizal iaitu BRP Jose Rizal dan BRP Antonio Luna bakal dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu anti-kapal dan anti-pesawat yang dibangunkan oleh Korea Selatan dan konglomerat pertahanan Eropah.

Kedua-dua kapal friget Filipina itu dibina oleh firma Hyundai Heavy Industries (HHI) di bawah Frigate Acquisition Program (FAP) dengan pembinaan BRP Jose Rizal bermula 2018 dan ditauliahkan di dalam Tentera Laut Filipina pada Julai 2020 manakala BRP Antonio Luna dijangka diserahkan pada Filipina pada suku pertama tahun ini.

Jose Rizal
Kapal Friget Tentera Laut Filipina “BRP Jose Rizal.”

Bagi sistem peluru berpandu anti-kapalnya, kedua-dua kapal friget pelbagai guna Filipina itu akan dilengkapi dengan peluru berpandu SSM-700K Haeseong (C-STAR) yang dibangunkan oleh entiti Korea Selatan, Agency for Defense Development (ADD).

Peluru berpandu SSM-700K Haeseong telah dibangunkan sejak 1996 dan digunakan oleh Tentera Laut Korea Selatan pada 2005. Menurut Ketua Jabatan Hal Ehwal Awam Tentera Laut Filipina Lt Komander Maria Christina Roxas, pihaknya akan mula menerima peluru berpandu anti kapal SSM-700K Haeseong buatan Korea Selatan itu pada Oktober tahun ini untuk dipasang pada kedua-dua kapal frigetnya itu.

Jose Rizal

Peluru berpandu anti-kapal Haeseong ini direkabentuk mengikut peluru berpandu anti kapal “Harpoon” buatan Amerika Syarikat, mungkin disebabkan kerana hubungan pertahanan yang rapat di antara kedua-dua negara.

Dari segi kemampuan, SSM-700K Haeseong boleh membedil sasaran laut sejauh 150km tetapi Korea Selatan sedang berusaha untuk meningkatkan jaraknya kepada kira-kira 200km, sebagaimana yang dinyatakan oleh Defense Acquisition Program Administration (DAPA) Korea Selatan.

Pihak Korea Selatan mahu jarak dan kemampuan peluru berpandu SSM-700K Haeseong dipertingkatkan supaya ia selari dengan kemampuan yang dimiliki oleh peluru berpandu anti kapal RGM-84L  “Harpoon” Block II.

Bagi peluru berpandu anti-pesawat pula, kedua-dua kapal friget Filipina, BRP Jose Rizal dan BRP Antonio Luna akan dilengkapi dengan sistem SHORAD (Short Range Air Defence System) daripada jenis “Mistral 3” yang dibangunkan oleh MBDA.

Jose Rizal
Peluru Berpandu “Mistral 3”

Peluru berpandu Mistral 3 ini berkemampuan menangani sasaran udara sejauh 7km.

Kedua-dua kapal friget Filipina, BRP Jose Rizal dan BRP Antonio Luna itu adalah kapal friget moden pertama yang dimiliki oleh tentera laut negara jiran Malaysia itu.

Rekabentuknya adalah berdasarkan kepada kapal friget Incheon Tentera Laut Korea Selatan.

Panjang kedua-dua kapal friget Filipina itu adalah 107 meter, manakala beratnya adalah 2,600 tan.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.