Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Dolphin-II Tentera Laut Israel Hampiri Iran

612

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam tindakan yang meningkatkan ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat, sebuah kapal selam milik tentera laut Israel kini berada di pelabuhan Eilat, yang merupakan satu-satunya pelabuhan negara itu yang terletak di Laut Merah.

Untuk sampai ke Pelabuhan Eilat di Laut Merah itu, kapal selam Israel itu terpaksa melalui Terusan Suez yang dibawah pentadbiran Mesir. Pelayaran kapal selam Israel di Terusan Suez itu berkemungkinan besar mendapat persetujuan daripada Mesir.

kapal selam
Kredit Covert Shores.

Kehadiran kapal selam kelas Dolphin-II tentera laut Israel itu memungkinkan ia beroperasi, bukan sahaja di Laut Merah  tetapi juga di Lautan Hindi serta Teluk Parsi, tidak jauh daripada Iran.

Dari Teluk Parsi, kapal selam Israel itu boleh melancarkan peluru-peluru berpandu kruisnya ke atas kemudahan-kemudahan tentera tentera Iran terutamanya pusat-pusat senjata nuklear dan pengayaan uranium seperti di Natanz dan lain-lain lagi. Agensi perisikan negara-negara Arab percaya destinasi kapal selam Israel selepas singgah di Pelabuhan Eilat adalah Teluk Parsi.

kapal selam
Kapal selam Dolphin-II Tentera Laut Israel di Pelabuhan Eilat di Laut Merah.

Amerika Syarikat tidak membenarkan penjualan peluru berpandu Tomahawk untuk melengkapkan kapal selam Israel itu, menyebabkan Israel membina peluru berpandu kruisnya sendiri (dipercayai Popeye Turbo Submarine Lauched Cruise Missile) yang dikatakan memiliki jarak effektif kira-kira 1,500km.

Peluru berpandu kruis Israel lancaran kapal selam itu boleh dilengkapkan dengan peledak nuklear yang mempunyai kekuatan ledakan 200 kiloton.

Selain peluru berpandu kruis, kapal selam Dolphin itu juga boleh membawa torpedo, peluru berpandu Harpoon dan kemudahan khas bagi melancarkan kenderaan khas yang membawa anggota Komando.

kapal selam

Berat keseluruhan kapal selam Dolphin-II adalah kira-kira 2,400 tan apabila berada di bawah permukaan dan boleh membawa sehingga 35 krew. Tentera Laut memiliki lima buah kapal selam Dolphin-II pada ketika ini dengan sebuah lagi bakal diterimanya tidak lama lagi.

Jika benar ia sedang menuju  ke Teluk Parsi, maka kehadiran kapal selam Dolphin-II itu sememang menandakan kemungkinan akan berlakunya konflik bersenjata di antara Iran dan sekutu-sekutu Amerika Syarikat.

kapal selam
Kapal selam Dolphin-II Israel di Pelabuhan Eilat di Laut Merah.

Sebelum kehadiran kapal selam Israel di berhampiran Teluk Parsi, Amerika Syarikat terlebih dahulu telah mengerahkan kapal selam berkuasa nuklearnya, USS Georgia ke perairan berhampiran Iran kira-kira dua minggu lepas.

Ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat memuncak berikutan pembunuhan komander Pengawal Revolusi Iran Jen Qasem Soleimani 3 Jan tahun lepas serta saintik nuklear Iran Dr Mohsen Fakhrizadeh pada 27 November lepas.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments are closed.