Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Siasat Kehilangan RM1 Bilion Projek Bina LCS TLDM

0 915

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong meminta supaya kerajaan menyiasat “kehilangan” dana RM1 bilion yang sepatutnya digunakan bagui projek pembinaan enam kapal Littoral Combat Ship (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Liew yang juga ahli Dewan Negara berkata, dakwaan kehilangan dana daripada projek itu amat serius.

“Setelah pihak-pihak terlibat dibawa ke muka pengadilan, kerajaan juga wajar mempertimbangkan suntikan dana demi memastikan projek ini boleh disiapkan bagi kegunaan tentera laut untuk terus memelihara kedaulatan perairan negara.

LCS
Jika kapal LCS TLDM siap sepenuhnya, ia akan kelihatan seperti grafik diatas. (sumber internet)

“Selagi mana tiada keputusan jelas dapat dicapai, selagi itulah kapal-kapal ini akan mengalami kelewatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

September lepas, Liew memberitahu Dewan Negara bahawa Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan mendapati RM1 bilion daripada RM5.94 bilion yang dibayar untuk pembinaan kapal LCS itu tidak dapat dikesan.

Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz katanya,  bersetuju supaya
audit forensik mengenai kehilangan dana itu dilakukan, mengembalikan dana tersebut, dan seterusnya mempertimbangkan suntikan dana untuk menyelamatkan projek terbabit.

“Selain pengiktirafan oleh timbalan menteri pertahanan berkenaan cadangan saya, kerajaan masih belum lagi mengumumkan keputusan yang jelas bagi menentukan hala tuju projek ini.

Gowind
Kapal korvet Tentera Laut Mesir juga menggunakan rekabentuk Gowind sebagaimana LCS TLDM. (sumber internet)

“Saya ingin menyarankan sekali lagi kepada pihak kerajaan supaya tidak lagi berlengah dan membuat keputusan dengan cepat dan tepat,” katanya.

Pada Ogos lalu Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian sedang mempertimbang tiga pilihan untuk menyelesaikan kelewatan penyerahan enam unit LCS, kerana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menyelesaikan sebarang tempahan.

Pilihan itu adalah melantik Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 2 unit LCS, menyiapkan sekurang-kurangnya 2 unit oleh BNS dengan baki kontrak selebihnya, atau penamatan kontrak dengan BNS.

NSM
Peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) sepatutnya dipasang di kapal LCS TLDM. (sumber internet)

Liew mempersoalkan cadangan itu kerana tentera laut hanya akan mendapat 2 kapal daripada 6 yang dipesan walaupun telah membayar 2/3 daripada kos siling RM9 bilion.

“Dengan jumlah ini, sepatutnya empat buah kapal sudah siap,” katanya.

Projek bernilai lebih RM9 bilion itu dianugerahkan pada 2014 bagi membina enam LCS.

Semalam, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berharap satu keputusan terbaik dapat dicapai bagi menyelesaikan isu pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) untuk penugasan operasi dan kesiapsiagaan angkatan laut itu.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, berkata TLDM menghadapi kekangan aset yang ketara namun aset sedia ada masih mampu belayar dan melakukan tugas hakiki menjaga kedaulatan perairan negara.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...