(DEFENCE SECURITY ASIA) – Agensi berita nasional, Bernama, hari ini melaporkan tentang penahanan reman lima individu termasuk seorang Timbalan Ketua Pengarah bergelar ‘Datuk’ dan Setiausaha Bahagian sebuah jabatan kerajaan bagi membantu siasatan berkaitan skandal rasuah minyak gred berat di perairan negara.
Tahanan reman kesemua mereka selama lima hari bermula hari ini.
Turut direman adalah tiga pengarah syarikat perkapalan termasuk seorang yang bergelar ‘Datuk Seri’.
Perintah tahan reman bermula hari ini hingga 15 Dis itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim. Perintah reman itu dikeluarkan selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.Kelima-lima individu berusia antara 35 dan 54 tahun itu ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini, malam tadi, menurut sumber SPRM yang dipetik oleh agensi berita Bernama itu.
Siasatan menunjukkan, kedua-dua pegawai kanan kerajaan itu dipercayai menyalahguna kedudukan dan kuasa mereka untuk mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat tertentu tanpa pengetahuan dan kelulusan Menteri Pengangkutan.
Perbuatan itu juga dilakukan tanpa pengetahuan ketua pengarah jabatan berkenaan yang sebelum ini mengeluarkan surat arahan larangan penggunaan Single Hull, Double Bottom (struktur kapal) dalam mengangkut minyak gred berat di perairan Malaysia, kata sumber itu.
Kes disiasat dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Comments are closed.