Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

12 Ribu Anggota PGA, Polis Marin Perlukan “Bullet Vest”

2,313

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Polis Diraja Malaysia sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi menggantikan baju kalis peluru (bullet vest) milik Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA)  itu yang sudah berusia lebih 10 tahun.

Pengarah Jabatan KDNKA PDRM Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata ketika ini terdapat kira-kira 12,000 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) yang memerlukan kelengkapan berkenaan.

PGA
Pemakaian “body armour” untuk pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan perlu dimestikan. (foto kredit PDRM)

Kelengkapan itu menurutnya diperlukan kerana mereka bukan sekadar terlibat dalam pelbagai operasi seperti Ops Benteng, tetapi turut mengawal sempadan negara yang lebih berisiko tinggi.

“Kita akan bincang dengan kerajaan untuk mendapatkan peruntukan, dijangka hujung bulan ini kita akan dapatkan harga untuk baju kalis peluru berkenaan, ia turut melibatkan kelengkapan lain seperti teropong penglihatan malam serta beberapa kenderaan untuk melancarkan operasi membanteras jenayah,” katanya.

kalis peluru
Body armour yang dipakai oleh anggota ATM juga nampak kemas dan bersesuaian dengan saiz badan anggota kita. (foto FB ATM)

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Mes Pegawai Kanan Batalion 5 PGA di Simpang Renggam di sini, hari ini, dan turut hadir ialah Timbalan Pengarah JKDNKA (PGA), Datuk Kasuahdi Ali; Komander Briged Tengah PGA, SAC Muhammad Abdul Halim serta Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Supt Dimin Awang.

Admin berharap kerajaan mengeluarkan peruntukan dengan segera untuk membekalkan bullet vest sebagaimana yang diminta oleh PDRM kerana ia adalah keperluan yang mendesak dan boleh menjadi penentu dalam hidup dan mati.

Baju kalis peluru (bullet vest atau ballistic vest) sepatutnya menjadi standard issue kepada anggota keselamatan negara yang bertugas di lokasi risiko tinggi seperti sempadan.

Tembak

Ini berikutan insiden tembak-menembak di sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini yang menyebabkan anggota PGA Kpl Baharuddin Ramli terbunuh manakala rakannya, Kpl Norihan Tari cedera parah.

Kedua-dua mereka tidak memakai baju kalis peluru kerana sedang menjalankan operasi risikan di kawasan sempadan, menurut polis.

— DEFENCE SECURITY ASIA 

Comments are closed.