Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

APMM Usir Keluar Tiga Bot Nelayan Indonesia

552

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Maritim Negeri Perak telah bertindak mengusir tiga bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara pada 5 dan 7 November lepas.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan bin Raman, bot pertama bersama 5 kru warga Indonesia termasuk tekong diusir oleh KM TUGAU yang dalam rondaan dan penguatkuasaan Op Benteng sekitar perairan Perak di kedudukan 22.88 batu nautika barat laut Pulau Jarak pada 5 November lalu.

Manakala pada 7 November, KM TUGAU mengusir sebuah lagi bot nelayan asing Indonesia bersama 6 kru warga Indonesia termasuk tekong pada kedudukan 16.4 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak.

Seterusnya, beberapa jam kemudian KM TUGAU sekali lagi mengusir bot nelayan Indonesia dengan 6 kru termasuk tekong di kedudukan 24.7 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak.

nelayan
Bot nelayan Indonesia yang diusir. (gambar ehsan APMM)

“Maklumat pengesanan bot kedua nelayan Indonesia telah diterima melalui Maritime Component Operation Centre (MCOC), Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dan pesawat udara PDRM semasa rondaan dan pemantauan udara Op Benteng di perairan Selat Melaka” jelas Shahrizan dalam satu kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini.

Kesemua bot nelayan Indonesia itu diusir secara membayangi sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

“Empat pengusiran telah dilakukan dalam tempoh sepuluh hari yang melibatkan pencerobohan oleh bot nelayan Indonesia.

Pengusiran pertama berlaku pada 31 Oktober lepas,” tambahnya.

Menurut Shahrizan, pengusiran terhadap nelayan asing ini merupakan tindakan semasa dalam mencegah dan mengekang penularan COVID-19 khususnya melalui kes import yang dibawa oleh warga asing.

Nelayan
Salah sebuah bot nelayan Indonesia. (gambar ehsan APMM)

Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut dalam mengekang kemasukan PATI dan jenayah rentas sempadan.

Orang awam dan komuniti maritim diminta bertanggungjawab dan bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat yang membabitkan tekong, ejen serta tali barut ke talian NTF 011- 6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak 05-6838737.

#NationalTaskForce #OP_Benteng #MaritimeNation #KedaulatanNegaraTanggungjawabBersama #KitaJagaKita #MalaysiaCoastGuard Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Pulau Jarak
Pulau Jarak.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.