Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat China Bawa Peluru Berpandu Anti-Kapal Terbesar Dunia

0 552

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Mana-mana kapal pengangkut pesawat atau kapal perang kena berjaga-jaga apabila melalui Laut China Selatan kerana mereka boleh ditembak daripada jarak sejauh di antara 1,500km hingga 2,000km.

Ini kerana China yang mahu menuntut keseluruhan Laut China Selatan itu telah mula mengoperasikan peluru berpandu balistik anti-kapal (Anti-Ship Ballistic Missile-ASBM) menerusi pesawat-pesawat pengebom strategiknya, Xian H-6.

Peluru berpandu ASBM China itu adalah daripada jenis CH-AS-X-13 yang juga adalah peluru berpandu Hypersonik.

Menurut para penganalisis ketenteraan antarabangsa, peluru berpandu CH-AS-X-13 adalah peluru berpandu ASBM/Hypersonic yang terbesar di dunia dilancarkan daripada sebuah pesawat pengebom.

Missile
Pesawat pengebom Xian H-6 bersama peluru berpandu CH-As-X-13.

Mereka mengatakan sasaran utama peluru berpandu moden China ini adalah sasaran strategik musuhnya iaitu kapal-kapal pengangkut pesawat.

Peluru berpandu CH-AS-X-13 China ini dipercayai membawa Hypersonic Glide Vehicle (HGV) bertujuan meningkatkan jarak effektifnya serta kemampuannya untuk menangkis sistem pertahanan udara pihak musuh.

Menurut penganalisi, peluru berpandu ini adalah mirip kepada DF-21D yang dilancarkan daripada kenderaan darat.

DF-21D ini digelar “Aircraft Carrier Killer” atau “Pembunuh Kapal Pengangkut Pesawat.”

missile
Peluru Berpandu CH-AS-X-13 China.

Beberapa bulan lepas, China melancarkan dua buah peluru berpandu DF-21D daripada utara dan timur laut China ke kawasan perairan di antara Pulau Hainan dan Kepulauan Paracel di Laut China Selatan, kemungkinan sebagai amaran kepada kapal-kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat.

Disebabkan kemampuan untuk dilancarkan daripada udara, maka penganalisis mengatakan peluru berpandu CH-AS-X-13 adalah lebih berbahaya berbanding DF-21D.

Ini kerana jarak operasinya adalah lebih jauh berbanding DF-21D yang dilancarkan daripada darat.

H-6N

Pesawat pengebom strategik Xian H-6 memiliki jarak operasi sejauh 6,000 batu nautika dan sekiranya dibantu oleh pesawat pengisi minyak, maka jarak operasinya adalah berlipat-kali ganda.

Penganalisi berkata, disebabkan ia adalah lancaran pesawat, maka peluru berpandu CH-AS-X-13 itu boleh dioperasikan oleh pesawat pengebom China sehingga di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, sehingga ke hujung sempadan maritim Amerika Syarikat.

Silap-silap Hawaii juga akan dijadikan sasaran utama pesawat Xian H-6 yang lengkap dengan peluru berpandu CH-AS-X-13.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...