10 Tahun Tiada Pembeli, Saab Taruh Harapan Pada Tiga Negara Untuk Pilih JAS39 Gripen
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saab Micael Johansson dilaporkan memberitahu wartawan negara itu tidak lama dahulu tentang “kekecewaannya” berhubung kegagalan pesawat pejuang Gripen menarik minat mana-mana pembeli, dengan kali terakhir memenangi kontrak daripada mana-mana negara adalah 10 tahun lepas.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kecewa kerana 10 tahun gagal menarik sebarang pembeli, syarikat Saab daripada Sweden yang menghasilkan pesawat pejuang JAS-39 Gripen kini bergantung harap kepada tiga buah negara — India, Thailand dan Filipina untuk memilih pesawat pejuang itu bagi tentera udara mereka.
Dikala pesawat pejuang F-35 keluaran Lockheed Martin dan Rafale keluaran Dassault Aviation menjadi pilihan pelbagai negara di seluruh dunia, syarikat Saab terus berduka kerana percubaan demi percubaan mereka memasarkan Gripen berdepan dengan kegagalan.
Walaupun dihasilkan oleh Saab, sebuah syarikat Sweden, namun pasaran pesawat pejuang Eropah kini nampaknya didominasi oleh F-35 keluaran Amerika Syarikat, malah Rafale juga gagal mendapat tempat di Eropah walaupun ia dihasilkan oleh Perancis, sebuah negara kuasa utama di benua itu.
Rafale kini menumpukan perhatian kepada pasaran di luar Eropah, terutamanya di Timur Tengah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saab Micael Johansson dilaporkan memberitahu wartawan negara itu tentang “kekecewaannya” berhubung kegagalan Gripen menarik minat pembeli-pembeli.
Beliau berkata pesawat pejuang Gripen gagal menepati sasarannya dalam pasaran eksport dan menyalahkan faktor-faktor politik sebagai punca disebalik kegagalan itu.
Kali terakhir pesawat pejuang Gripen berjaya memenangi persaingan membekalkan pesawat kepada negara asing adalah pada 2014 apabila ia berjaya menambat hati Brazil yang bersetuju membeli 36 buah pesawat pejuang buatan Sweden itu bernilai US$5.4 bilion (RM21.6 bilion).
Kini India, Thailand dan Filipina memberikan peluang kepada Saab untuk cuba menamatkan “kemarau” ketiadaan pembeli bagi pesawat pejuang Gripen.
Baru-baru ini, Saab India mengeluarkan kenyataan bahawa ia menawarkan 114 buah pesawat Gripen-E yang merupakan varian paling terkini itu kepada India bagi memenuhi keperluan pesawat multirole untuk tentera udaranya.
“Dengan varian Gripen-E, India akan memperolehi pesawat pejuang generasi masa depan dengan kemampuan pertempuran udara, bersedia untuk berhadapan dengan apa-apa ancaman, pada setiap masa dan setiap ketika,” menurut Saab India.
Bagaimanapun Saab bakal berhadapan dengan persaingan kuat untuk mendapatkan kontrak di India kerana pesawat pejuang Rafale, F-21 oleh Lockheed Martin, F-18 oleh Boeing, MiG-35 dan juga Eurofighter.
Untuk persaingan ini, pesawat Rafale nampaknya lebih berpeluang kerana ia telah berjaya memikat hari India untuk membekalkan 36 buah pesawat pejuang itu beberapa tahun lalu.
Bagi Thailand pula, negara Asia Tenggara itu telah pun memiliki 12 buah pesawat pejuang Gripen C/D yang diperolehinya pada 2011, sebelum sebuah daripada pesawat itu terhempas dalam pertunjukkan udara di Haytai beberapa tahun lepas.
Negara Asia Tenggara itu juga menggunakan sebuah pesawat amaran awal (AEWC) “Erieye” yang diperolehinya bersama-sama pesawat pejuang Gripen itu.
Bangkok bercadang menambah pemilikan pesawat Gripen itu selepas percubaannya untuk memiliki pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat itu ditolak oleh Washington yang berpendapat Thailand belum lagi “bersedia” untuk mengoperasi pesawat canggih itu.
Amerika Syarikat menyatakan bahawa Thailand tidak memiliki infrastruktur dan jaminan keselamatan untuk memiliki dan mengoperasikan pesawat itu.
Ia meliputi keselamatan pangkalan udara yang akan menempatkan pesawat F-35 itu, penyelenggaraan, juruterbang serta krew-krew yang terlibat dengan pengoperasian pesawat itu.
Gagal memperolehi F-35, Thailand kini beralih kepada Gripen dan menerusi laporan media, ia bercadang memperolehi varian terkini pesawat kebanggaan Sweden itu iaitu Gripen-E.
Media di Thailand menyatakan RTAF berhasrat memperolehi 12 buah lagi pesawat Gripen, membawa bilangan keseluruhan pesawat pejuang itu kepada 23 buah.
Menurut sumber kepada Bangkok Post itu juga, syarikat Sweden itu juga akan menaiktaraf radar yang digunakan oleh pesawat pejuang Gripen itu.
Sementara itu, Filipina dan Sweden baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang mendekatkan lagi Manila kepada perolehan pesawat pejuang Gripen oleh tentera udara negara itu.
Pemangku Setiausaha Pertahanan Filipina Carlito Galvev Jr pada ketika itu dan Menteri Pertahanan Sweden Pal Jonson menandatangani MoU pertahanan yang akan menyaksikan pembabitan syarikat Sweden dalam usaha-usaha pemodenan Angkatan Tentera Filipina terutamanya melibatkan Tentera Udara Filipina.
MoU antara kedua-dua negara ini berlaku ketika Filipina sedang dalam proses akhir pemilihan pesawat pejuang Multi Role Combat Aircraft (MRCA), dengan dua calon akhir terdiri daripada pesawat JAS-39 Gripen dan F-16 daripada Amerika Syarikat.
Gripen dan F-16 mengenepikan calon-calon lain terdiri daripada Tejas daripada India dan beberapa pesawat pejuang yang lain seperti Rafale, F/A-18E/F Super Hornet, MiG-35, Sukhoi Su-30 Flanker, Tejas dan JF-17 Thunder.
Pada akhir bulan lepas, pegawai-pegawai tertinggi Tentera Udara Filipina juga dilaporkan telah melakukan lawatan ke Sweden dan berkunjung ke kemudahan syarikat Saab Group melihat dengan lebih dekat pesawat Gripen itu serta pesawat AEWC (Early Warning and Control).
Amerika Syarikat telah menawarkan 12 buah varian terkini pesawat pejuang F-16V Block 70/72 Viper yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin bernilai US$2.5 bilion (RM10 bilion), tetapi tidak lama selepas pengumuman itu oleh Washington itu, Setiausaha Pertahanan Filipina ketika itu Delfin Lorezana telah menolak tawaran itu dengan alasan ianya adalah “terlalu mahal.”
Tawaran Washington itu melibatkan 10 buah F-16C Block 70/72 dan dua buah F-16D Block 70/72. — DSA
Comments are closed.