[Eksklusif] Kapal Pengawal Pantai China Ceroboh Perairan Negara Lagi
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal pengawal pantai China hari ini dikesan berada hampir dengan kapal FPSO (Floating, Production, Storage and Offloading) “Helang” milik syarikat tempatan yang sedang beroperasi di Blok SK10 yang terletak di dalam kawasan perairan Sarawak.
Kapal pengawal pantai China itu kesan berada kira-kira 3.5 batu nautika daripada kapal FPSO “Helang”.
“Kapal pengawal pantai China itu dikesan oleh krew kami. Kami periksa sistem Automatic Identifification System (AIS) dan sememangnya ia adalah kapal pengawal pantai China. Kapal sokongan yang berada kira-kira 1 batu nautika daripada kapal pengawal pantai China itu juga mengesahkannya.”
“Visual confirmation menunjukkan ia adalah kapal pengawal pantai China dengan tulisan Cina di kapal itu. Kapal pengawal pantai China itu bergerak perlahan berhampiran dengan FPSO Helang. Kehadirannya terus diperhatikan menerusi pandangan dan Automatic Identification System,” kata sumber kepada Defence Security Asia hari ini.
Kapal pengawal pantai China itu hanya memerhati tindak-tanduk kapal-kapal FPSO dan sokongan yang sedang beroperasi di Blok SK10 itu. Mungkin mereka hanya mahu “intimidate” atau menakut-nakutkan krew yang sedang bertugas di Blok SK10 itu.
Setakat ini admin tidak menerima laporan yang mengatakan bahawa aset-aset TLDM berada berhampiran untuk “shadow” kapal pengawal pantai China itu. Setakat ini belum ada lagi.
China sememangnya kerap meletakkan kapal pengawal pantainya di kawasan perairan Sarawak yang kaya dengan sumber minyak dan gas kerana Beijing menganggap sebahagian daripada perairan itu adalah miliknya berdasarkan kepada faktor sejarah.
Ia menggunakan alasan bahawa nelayannya telah menggunakan perairan, pulau dan terumbu di kawasan perairan itu sejak berdekad lamanya dan oleh kerana itu pemilikannya terhadap perairan itu tidak perlu dipertikaikan.
Bagaimanapun dakwaan pemilikan oleh China itu tidak pernah diperakui oleh undang-undang antarabangsa.
Blok SK10 yang terletak di perairan Sarawak itu dioperasikan syarikat minyak dan gas Jepun, JX Nippon Oil and Gas Exploration (Malaysia) bersama-sama Petronas Carigali.
Terdapat tiga lapangan minyak dan gas di Blok SK10 iaitu Layang, Helang dan Beryl.
Jaraknya Blok 10 dengan Miri adalah kira-kira 70 km.
Sekiranya menggunakan fast crew boat adalah kira-kira 2.5 jam untuk sampai ke Blok SK10 daripada Miri manakala jika menaiki helikopter adalah kira-kira 30 minit perjalanan.
So ini menunjukkan bahawa kedudukan kapal pengawal pantai China dengan pantai Sarawak adalah amat dekat dan janganlah ada mana-mana menteri yang mengatakan China tidak pernah menceroboh perairan Malaysia.
Terima kasih juga kepada sahabat Defence Security Asia yang berkongsi gambar-gambar eksklusif kapal pengawal pantai China di Blok SK10 itu serta maklumat-maklumat lain, yang admin gunakan dalam penghasilan berita ini.