Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Wisma Putra Akan Panggil Duta China, Keluarkan Nota Diplomatik Bantah Pencerobohan

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein malam ini juga menyatakan bahawa ia akan memanggil Duta China ke Malaysia untuk menjelaskan pencerobohan terhadap ruang udara dan kedaulatan negara ini oleh 16 buah pesawat tentera udaranya.

0 1,022

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Luar Malaysia atau Wisma Putra akan mengeluarkan nota diplomatik kepada China bagi membantah tindakan pencerobohan oleh pesawat-pesawat tentera udaranya terhadap Zon Maritim Malaysia (ZMM) hari ini.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein malam ini juga menyatakan bahawa ia akan memanggil Duta China ke Malaysia untuk menjelaskan pencerobohan terhadap ruang udara dan kedaulatan negara ini oleh 16 buah pesawat tentera udaranya.

“Tambahan kepada itu, saya juga menyampaikan kegusaran kita mengenai perkara ini kepada rakan sejawat saya di China,” kata beliau.

Pendirian Malaysia kata Hishammuddin, adalah jelas iaitu memiliki hubungan diplomatik yang baik dengan mana-mana negara tidak bermakna negara bertolak-ansur tentang isu keselamatan negara.

Malaysia katanya sentiasa bertegas dalam mempertahankan maruah dan kedaulatannya.

Wisma PutraSementara itu Astro Awani melaporkan bahawa Kedutaan Besar China di Malaysia mendakwa tindakan 16 buah pesawat tentera republik itu memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada Isnin sebagai latihan penerbangan biasa.

Jurucakap kedutan itu berkata, kesemua 16 pesawat Tentera Udara China (PLAAF) tersebut tidak langsung menyasarkan mana-mana negara.

“Menurut undang-undang antarabangsa, kapal terbang tentera China itu hanya menikmati kebebasan penerbangan di ruang udara berkenaan.

“Malah, sepanjang latihan tersebut, pesawat tentera China itu mematuhi undang-undang antarabangsa yang berkaitan dan tidak memasuki ruang udara wilayah mana-mana negara lain.

Dakwanya, tiada apa yang perlu dicurigakan kerana Malaysia dan China adalah ibarat jiran yang mesra.

TUDM

“China dan Malaysia adalah negara jiran yang ramah mesra, dan China bersedia untuk meneruskan rundingan persahabatan dua hala dengan Malaysia untuk bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan serantau,” dakwanya lagi.

Awal hari ini, Tentera Udara Diraja Malaysia dalam satu kenyataan berkata bahawa ia telah mengesan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021.

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. “

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” menurut TUDM.

TUDM

a seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR.

Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan KK FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1333H untuk melakukan identifikasi visual.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi,” kata TUDM.

DSA

DSA
Sebuah pesawat Su-30MKM ketika terbang rendah di Stesen Lima, Pulau Layang-Layang (gambar sumbangan pembaca DSA)

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...