(VIDEO) Su-57 Singgah di Iran Isi Minyak, Beri Peluang Tentera Iran Lihat Lebih Dekat Pesawat Gen-5 Russia
Video-video pesawat pejuang Su-57 milik Russia diterbangkan juruterbang ujian terkenalnya, Sergey Bogdan berlepas daripada pangkalan udara di Bandar Abbas, Iran itu selepas mengisi minyak untuk meneruskan penerbangan ke Russia telah dikongsi secara meluas dalam platform media sosial.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pegawai-pegawai kanan tentera Iran berpeluang melihat dengan lebih dekat pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57 Felon apabila pesawat pejuang halimunan itu singgah di pangkalan tentera di Bandar Abbas untuk mengisi minyak dalam perjalanan pulang ke Russia selepas menyertai pameran udara Aero India 2025.
Video-video pesawat pejuang Su-57 milik Russia diterbangkan juruterbang ujian terkenalnya, Sergey Bogdan berlepas daripada pangkalan udara di Bandar Abbas, Iran itu selepas mengisi minyak untuk meneruskan penerbangan ke Russia telah dikongsi secara meluas dalam platform media sosial.
Pesawat pejuang Su-57 Russia itu tiba di Bandar Abbas itu bersama-sama krew sokongannya yang menaiki pesawat pengangkut buatan negara itu selepas menyertai Aero India 2025 di Bengaluru,yang turut disertai oleh pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 Lightning II.
Ketika di India, pesawat pejuang generasi kelima Russia itu yang diterbangkan oleh juruterbang ujian terkenal Sergey Bogdan berjaya memikat hati ramai peminat yang teruja dengan kehebatan aksinya ketika berada di udara.
Sementara itu, pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 hanya terlibat dengan pameran statik.
Menurut pemerhati tentera Iran, pesawat pejuang generasi kelima Russia itu tidak pernah mendarat di Iran sebelum ini dan ia terpaksa “singgah” di negara Parsi itu kali ini kerana pangkalan Tentera Udara Russia di Khemeimin di Syria tidak lagi dapat digunakan selepas kejatuhan rejim Presiden Bashar al-Assad baru-baru ini.
Pemain Video
00:00
00:00
Selalunya, pesawat-pesawat pejuang Russia akan melakukan persinggahan di Pangkalan Udara Khemeimin, Syria bagi tujuan mengisi minyak dan mengambil bekalan lain sebelum meneruskan penerbangannya ke Russia atau destinasi lain.
Disebabkan ia terpaksa singgah di Iran untuk mengisi minyak, maka ia telah memberikan peluang kepada Iran untuk melihat dengan lebih dekat pesawat pejuang generasi kelima, Su-57 milik Russia itu.
Persinggahan tidak diduga pesawat pejuang Su-57 di Iran berlaku ketika Teheran dilaporkan sedang menunggu dengan penuh debaran penghantaran pesawat-pesawat pejuang Su-35 daripada Russia (walaupun laporan terkini mengatakan bahawa Iran telah menerima penghantaran kumpulan pertama Su-35).
Baru-baru ini, buat pertama kalinya pegawai kanan Kor Revolusi Islam Iran (IRGC) mengakui bahawa negara itu telah memperolehi pesawat pejuang generasi 4.5 Sukhoi Su-35 (Flanker-E) buatan Russia bagi memodenkan tentera udaranya yang masih bergantung pesawat-pesawat pejuang berusia.
Perolehan pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-35 oleh Iran itu telah disahkan oleh Timbalan Koordinator Ibu Pejabat Pusat Khatam-ol-Anbia Ali Shamdani kepada Student News Network dan dipetik oleh agensi berita antarabangsa, Reuters.
Shamdani bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan pesawat pejuang Sukhoi Su-35 yang diperolehi oleh Iran daripada Russia atau sama ada pesawat pejuang itu telah pun diterima oleh Iran.
Pada November 2023, agensi berita Tasnim Iran melaporkan bahawa Tehran telah memuktamadkan persiapan untuk membeli pesawat pejuang dari Russia.
Bulan lepas, Defence Security Asia melaporkan bahawa pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-35 yang diperolehi oleh Teheran akan mula memasuki perkhidmatan Tentera Udara Iran pada tahun ini.
Perkara itu disahkan oleh laporan oleh Iran Observer menerusi akaun di platform X miliknya.
Pesawat pejuang Sukhoi Su-35 merupakan pesawat pejuang generasi 4.5 dan kehadirannya di dalam Tentera Udara Iran sudah semestinya akan meningkatkan kemampuan tentera udara negara itu yang selama ini bergelut dalam program pemodenannya akibat sekatan ekonomi and ketenteraan antarabangsa.
Pesawat pejuang termoden Tentera Udara Iran pada ketika ini adalah MiG-29 yang diperolehi berbelas tahun dahulu serta pesawat-pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat seperti F-4 dan F-14 yang diperolehinya ketika negara Parsi itu dibawah pemerintahan Shah Iran sebelum 1979.

