Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] “Remote Killing”, Kesan Serangan Dron Amerika Di Afghanistan

Mengikut Biro Kewartawan Penyiasatan (Bureau of Investigative Journalism), sebuah badan bebas yang berpengkalan di London, serangan dron telah mengorbankan di antara 300 hingga 909 orang awam Afghanistan dalam tempoh masa lima tahun antara Januari 2015 hingga Januari 2020.

0 838

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tarikh 30 Ogos, 2021 adalah tarikh akhir yang telah ditetapkan oleh Presiden Jo Biden untuk tentera negara itu berundur daripada Afghanistan, sekaligus mengakhiri episod hitam pendudukan Amerika Syarikat selama 20 tahun.

Empat hari sebelum tempoh akhir pengunduran tentera Amerika Syarikat di Afghanistan, berlaku serangan bom di luar lapangan terbang sehingga mengorbankan 13 anggota tentera negara kuasa dunia itu dan 170 orang awam Afghanistan.

Sebagai serangan balas terhadap pihak yang didakwa melancarkan serangan bom itu, Islamic State di Khorasan (ISIS-K), pihak tentera Amerika Syarikat telah melancarkan serangan dron yang terakhir di Afghanistan sehari sebelum ia berundur daripada negara Asia Selatan itu.

Dalam serangan dron terakhir Amerika Syarikat di Afghanistan itu yang berlaku pada 29 Ogos 2021, 10 orang awam terbunuh, dengan tujuh daripada mangsa serangan itu adalah kanak-kanak.

Serangan dron Amerika Syarikat terhadap sebuah kereta Toyota Corolla berwarna putih dibina pada tahun 1996 itu adalah berasaskan kepada maklumat-maklumat perisikan tentera Amerika yang salah sehingga menyebabkan tujuh orang kanak-kanak dan tiga dewasa tidak bersalah terkorban.

Kereta Toyota Corolla Putih yang disangka pihak tentera Amerika itu milik anggota kumpulan pengganas ISIS-K itu sebenarnya digunakan oleh Zemari Ahmadi, yang merupakan pekerja kepada “Nutrition and Education International”, sebuah badan kemanusiaan yang berpengkalan di California.

Dron
Zemari Ahmadi dan anak-anaknya yang terkorban dalam serangan dron Amerika itu pada 29 Ogos 2021.

 

Pihak tentera Amerika Syarikat mengakui tentang kesilapan serangan dron itu selepas melihat semula rakaman video yang menunjukkan tiga orang kanak-kanak sedang berlari menyambut Ahmadi di kereta Toyota Corolla Putihnya sebelum letupan peluru berpandu Hellfire dilancar oleh dron MQ-9 Reaper Amerika Syarikat memusnahkan kenderaan dan orang disekelilingnya. 

Pada 17 September 2021, komander Central Command (CENTCOM) Jeneral Kenneth McKenzie menerima tanggungjawab atas pembunuhan 10 orang awam itu, tetapi tidak ada tindakan dikenakan terhadap mana-mana anggota tentera negara itu akibat insiden yang menimpa keluarga Ahmadi itu.

Pihak tentera Amerika Syarikat menawarkan bayaran pampasan terhadap keluarga mangsa insiden serangan dron itu serta tawaran pemindahan mereka ke negara Amerika Utara itu. 

Mengikut Biro Kewartawan Penyiasatan (Bureau of Investigative Jounalism), sebuah badan bebas yang berpengkalan di London,  serangan dron telah mengorbankan di antara 300 hingga 909 orang awam Afghanistan dalam tempoh masa lima tahun antara Januari 2015 hingga Januari 2020.

Drone

Menurut pihak biro itu, Amerika Syarikat bukan sahaja gagal mengkaji semula dasar menggunakan dron dalam melancarkan serangan, malah ia telah meningkatkan pelaburan dan kerjasama dengan gergasi teknologi dalam penggunaan teknologi dron dalam operasi ketenteraan.

Walaupun pengunduran tentera Amerika Syarikat daripada Afghanistan selepas 20 tahun pendudukan telah menamatkan serangan-serangan dron di negara itu, namun “luka” ditanggung oleh orang awam negara itu akibat konflik berpanjangan memerlukan lebih banyak masa untuk “pulih.” — DSA

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Comments
Loading...