Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Polis, ESSCOM Tahan Lapan Anggota Abu Sayyaf Di Beaufort, Sabah

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, kelapan-lapan mereka ditahan bersama 29 lagi individu semuanya warganegara Filipina dalam operasi di kawasan paya bakau di daerah terbabit pada pukul 3 pagi itu.

0 8,928

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Lapan anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf warganegara Filipina berjaya ditangkap oleh Polis dan ESSCom dalam satu operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort pada Sabtu lepas.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, kelapan-lapan mereka ditahan bersama 29 lagi individu semuanya warganegara Filipina dalam operasi di kawasan paya bakau di daerah terbabit pada pukul 3 pagi itu.

“Kita telah semak dengan pasukan keselamatan Filipina dan mereka mengesahkan lapan lelaki itu adalah anggota kumpulan Abu Sayyaf yang melarikan diri ke Sabah berikutan operasi yang dijalankan oleh pasukan keselamatan Filipina di wilayah selatan negara tersebut.

“Semakan dengan pihak Filipina juga mendapati dua daripada ahli kumpulan Abu Sayyaf itu dinamakan dalam senarai orang dikehendaki kerajaan Filipina,” katanya.

Ketua Polis Sabah berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini.

Hazani
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali. (kredit internet)

 

Siasatan awal oleh pihak keselamatan Sabah kata Hazani mendapati mereka yang ditahan itu tidak terlibat dengan kegiatan menculik untuk wang tebusan di negeri ini.

Bagaimanapun mereka dipercayai mereka mahu menjadikan Sabah sebagai tempat persembunyian.

Hazani berkata operasi itu merupakan hasil kerjasama pihak polis, ESSCom serta pasukan keselamatan Filipina, dan mereka yang ditahan itu direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.

Fokus siasatan adalah untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripada lapan individu itu mengenai bagaimana mereka boleh masuk ke negeri ini dan adakah wujud ‘cell’ Abu Sayyaf atau kumpulan pengganas Daesh di Sabah yang membantu mereka.

“Ketika ditahan kita menemui beberapa dokumen antaranya resit pengenalan sementara Malaysia yang dipercayai palsu…kita juga percaya mereka ada bawa senjata api dari Filipina tetapi tidak ditemui ketika ditahan, jadi kita mahu cari di mana mereka sembunyikan senjata api itu.

UTK
Gambar Hiasan

 

“Kita mahu cari siapa ‘established contact’ mereka di Sabah ini, berapa lama sudah berada di sini dan laluan mereka ke sini…perlu diingatkan mereka yang didapati bersekongkol boleh diambil tindakan mengikut undang-undang kerana bersubahat,” katanya.

Katanya dua ahli kumpulan Abu Sayyaf dinamakan dalam senarai dikehendaki Kerajaan Filipina kerana pernah telibat dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan negara itu dan juga terlibat dengan beberapa kes penculikan warga asing di Filipina.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...