Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Hamas, Pejuang Palestin Lancar Puluhan Roket Terhadap Bandar-Bandar Israel, Gaza Diserang

Serangan roket-roket pejuang Palestin itu berlaku tidak lama selepas tamatnya ultimatum yang dikeluarkan oleh Hamas supaya Israel mengundurkan pasukan polisnya daripada Masjid Al-Aqsa dan Sheikh Jarrah tepat pada 18.00 (waktu tempatan).

0 4,717

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pejuang-pejuang Palestin mula bertindak terhadap lebih daripada seminggu keganasan yang dilakukan oleh polis Israel terhadap ratusan penduduk Palestin di Baitul Maqdis, dengan melancarkan puluhan roket ke bandar-bandar utama Israel hari ini.

Serangan roket-roket pejuang Palestin itu berlaku tidak lama selepas tamatnya ultimatum yang dikeluarkan oleh Hamas supaya Israel mengundurkan pasukan polisnya daripada Masjid Al-Aqsa dan Sheikh Jarrah tepat pada 18.00 (waktu tempatan).

Selain itu Hamas juga mahukan Israel supaya membebaskan semua warga Palestin yang ditahan mereka.

Tindakan pejuang-pejuang Palestin bakal mengundang tindak balas daripada tentera Israel, seterusnya menjerumuskan lagi roda keganasan yang sedang berlaku di Baitul Maqdis ke suatu “fasa yang baru.”

Selepas lebih 300 orang penduduk Palestin cedera termasuk kira-kira 10 yang berada di dalam keadaan serius akibat pertempuran di Baitul Maqdis hari ini, pejuang-pejuang Palestin kini mula bertindak balas.

Roket

Terdapat laporan-laporan yang mengatakan pejuang-pejuang Palestin telah melancarkan lebih 50 roket ke arah bandar-bandar utama Israel seperti Sderot, Ashkelon, Nachal Oz, Baitul Maqdis, Netiv Hassara dan beberapa bandar lain.

Ribuan penduduk Israel telah diarahkan supaya berlindung di dalam bomb shelter.

Sekurang-kurang empat bunyi letupan kuat dilaporkan kedengaran di Baitul Maqdis, dipercayai akibat roket yang dilancarkan oleh Hamas.

Sementara itu, pihak tentera Israel telah mengaktifkan sistem pertahanan udara “Iron Dome”yang dilaporkan oleh media-media negara sebagai berjaya melakukan pemintasan terhadap beberapa roket yang dilancarkan oleh pejuang Hamas.

Laporan mengatakan bahawa Hamas akan melancarkan lebih banyak roket kearah bandar-bandar Israel hari ini.

Selain itu, pejuang-pejuang Hamas juga dilaporkan telah melancarkan peluru berpandu anti-kereta kebal terhadap sebuah kereta milik penduduk Sderot, menyebabkan kenderaan itu terbakar dan pemandunya cedera.

Iron Dome
Letupan di udara akibat pintasan oleh sistem pertahanan udara Iron Dome di bandar Ashkelon, Israel.

 

Pemandu kenderaan yang terkena peluru berpandu anti kereta kebal itu telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Media Israel mengatakan Menteri Pertahanan negara itu Benni Gantz telah mengisytiharkan keadaan kecemasan di kawasan 80km daripada sempadan Semenanjung Gaza untuk tempoh selama 48 jam.

Pihak tentera Israel menjangkakan serangan roket pejuang-pejuang Palestin akan berlaku selama beberapa hari.

Sementara itu terdapat laporan bahawa aset-aset udara Israel melancarkan serangan terhadap kedudukan Hamas di Semenanjung Gaza dengan Kementerian Kesihataan Gaza mengatakan sembilan orang terbunuh setakat ini.

Antara serangan yang dilakukan oleh Israel termasuklah serangan peluru peluru berpandu yang membunuh tiga pejuang Palestin di Semenanjung Gaza hari ini. Pihak tentera Israel turut mengedarkan rakaman video menunjukkan serangan itu.

Terdapat juga laporan mengatakan tiga orang kanak-kanak terbunuh akibat letupan di Semenanjung Gaza hari ini.

Roket

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...