Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Pasukan Keselamatan Thailand Dan Lelaki Bersenjata “Bertempur” Di Pattani, Dua Terbunuh

Sekurang-kurangnya dua lelaki anggota kumpulan bersenjata dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Thailand yang bermula sejak awal pagi dan masih berlangsung sehingga kini.

0 1,944

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Media tempatan di selatan Thailand telah melaporkan berlakunya pertempuran bersenjata di sebuah pusat peranginan tepi laut di Teluk Samilae yang terletak di daerah Yaring, wilayah bergolak  Pattani di selatan Thailand.

Sekurang-kurangnya dua lelaki anggota kumpulan bersenjata dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Thailand yang bermula sejak awal pagi dan masih berlangsung sehingga kini.

Media tempatan melaporkan bahawa pasukan gabungan tentera dan polis Thailand mula melakukan  kepungan terhadap Awada Resort seawal 3 pagi tadi selepas diberitahu tentang kehadiran tiga orang lelaki bersenjata yang bersembunyi di pusat peranginan itu.

Insiden kepungan dan pertempuran itu telah disahkan Komander Pattani Task Force Mejar Jeneral Komkrit Ratanachana.

Sebaik sahaja pusat peranginan itu dikepung, satu pertempuran sengit telah berlaku selama 10 minit.

 

Satu lagi pertempuran bersenjata berlaku kira-kira 7 pagi (waktu tempatan), menyebabkan dua daripada lelaki bersenjata itu terbunuh.

Salah seorang yang terbunuh itu dikenalpasti sebagai Amran Mahiring, 29, yang berasal daripada daerah Yaring di Pattani manakala identiti seorang lagi yang terbunuh belum diketahui.

Menurut pasukan keselamatan Thailand, mereka cuba berunding dengan lelaki bersenjata terbabit menggunakan pembesar suara tetapi tidak dilayan.

Kepungan di pusat peranginan terbabit masih lagi berlangsung ketika ini, dengan lelaki ketiga itu enggan melayan tuntutan pasukan keselamatan Thailand supaya beliau meletak senjata dan menyerah diri.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...