Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Untuk Tangani Ancaman Pesawat Halimunan Pakistan dan China, India Peroleh Radar Container-S OTH Russia

India dilaporkan dalam peringkat akhir rundingannya dengan Russia untuk memperolehi radar Container-S (29B6) OTH radar yang dikatakan mempunyai kemampuan untuk mengesan objek udara termasuk pesawat pejuang halimunan daripada kedudukan sejauh 3,000km, jauh sebelum objek itu memasuki ruang udara miliknya.

0 7,876
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menyedari ancaman yang sedang dan bakal dihadapinya daripada pesawat-pesawat pejuang halimunan generasi kelima Pakistan dan China, India kini dilaporkan di dalam peringkat akhir rundingan kerajaan dengan kerajaan dengan Russia untuk memperolehi radar jarak jauh Over-The-Horizon (OTH).
India dilaporkan dalam peringkat akhir rundingannya dengan Russia untuk memperolehi radar Container-S (29B6) OTH radar yang dikatakan mempunyai kemampuan untuk mengesan objek udara termasuk pesawat pejuang halimunan daripada kedudukan sejauh 3,000km, jauh sebelum objek itu memasuki ruang udara miliknya.
“Perolehan strategik radar OTH Container-S itu bertujuan untuk memperkukuhkan keupayaan India dalam pengawasan jarak jauh dan amaran awal, khususnya dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau yang semakin meningkat.”
Dibangunkan oleh syarikat perindustrian pertahanan Rusia NPK NIIDAR, radar ini beroperasi pada jalur frekuensi tinggi (High Frequency – HF), antara 5 MHz hingga 28 MHz, menjadikannya berupaya memantul gelombang radio ke lapisan ionosfera dan kembali semula ke bumi untuk mengesan sasaran di luar ufuk (over-the-horizon).
Radar Container-S  OTH merupakan sistem radar frekuensi tinggi yang berkeupayaan mengesan pesawat halimunan, peluru berpandu kruis dan hypersonik berkelajuan tinggi walaupun ia terbang pada aras yang amat rendah, sesuatu yang sukar dikesan oleh radar-radar biasa.
Dengan liputan pengawasan seluas 240 darjah dan keupayaan altitud sehingga 100 kilometer, radar ini beroperasi dalam konfigurasi bistatik yang menjadikannya lebih tahan terhadap serangan gangguan elektronik serta ancaman serangan siber.
Bahagian pemancar Container-S biasanya dilengkapi 36 antena tinggi (kira-kira 34 meter setiap satu) dan 144 antena penerima, disusun dalam susunan linear untuk membolehkan liputan radar yang luas dan tepat.
Radar Container-S OTH
Radar Container-S OTH
Kelebihan tambahan sistem ini ialah keupayaan untuk mengesan pelbagai sasaran serentak dan menjejaki trajektori peluru berpandu serta pesawat dengan ketepatan yang tinggi walaupun pada jarak antara benua.
Radar Container-S OTH yang bakal diperolehi oleh India itu dijangka akan diintergrasikan dengan sistem-sistem pertahanan udara India yang lain termasuk sistem pertahanan udara S-400 Triumf buatan Russia miliknya itu.
Menurut laporan media pertahanan India, radar jarak jauh Container-S OTH itu akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik di negara itu terutamanya dalam mengawasi ancaman daripada dua negara yang dianggap musuh tradisinya iaitu Pakistan dan China.
Di utara India, China sudah pun menempatkan pesawat-pesawat pejuang halimunan generasi kelimanya, J-20 Mighty Dragon di beberapa pangkalan udara negara itu yang terletak tidak jauh daripada sempadan bersama kedua-dua negara itu.
Sebelum ini, China dilaporkan telah menempatkan sekurang-kurangnya enam buah pesawat pejuang halimunan J-20 Mighty Dragon di Lapangan Terbang Shigatse, Tibet, yang terletak kurang 150 kilometer dari sempadan India berhampiran Sikkim.
Langkah ini dilihat sebagai peningkatan ketara dalam kehadiran aset ketenteraan China di kawasan sensitif tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan baharu mengenai keselamatan serantau.
Imej satelit yang diperoleh pada 27 Mei 2024 menunjukkan kehadiran enam buah pesawat pejuang J-20, lapan buah pesawat J-10, dan sebuah pesawat amaran awal KJ-500 di lapangan terbang dwiguna itu.
Radar Container-S OTH
Radar Container-S OTH
Lapangan terbang tersebut terletak pada ketinggian 12,408 kaki, menjadikannya antara yang tertinggi di dunia
Penganalisis pertahanan menyatakan bahawa penempatan pesawat J-20 di Shigatse, yang biasanya berpangkalan di wilayah timur China, menandakan perubahan strategik dalam operasi ketenteraan China.
 Langkah ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan dwi-strategi Beijing, yang menggabungkan usaha diplomatik dengan peningkatan keupayaan ketenteraan di sempadan.
J-20 Mighty Dragon ialah pesawat pejuang generasi kelima buatan China yang direka oleh Chengdu Aerospace Corporation untuk Tentera Udara Pembebasan Rakyat (PLAAF).
Pesawat ini memiliki keupayaan halimunan (stealth), keupayaan serangan jarak jauh, dan teknologi aerodinamik canggih yang membolehkannya menandingi jet pejuang generasi kelima lain seperti F-22 Raptor dan F-35 Lightning II.
Dilengkapi dengan dua enjin dan radar AESA, sistem peperangan elektronik moden serta ruang simpanan senjata dalaman, pesawat pejuang J-20 direka untuk menembusi pertahanan musuh dan menguasai ruang udara.
Sebagai tindak balas, India telah memperkukuh pertahanannya dengan menempatkan skuadron pesawat Rafale buatan Perancis di Pangkalan Udara Hasimara, yang terletak kurang 290 kilometer dari Shigatse.
J-20
J-20 “Mighty Dragon”
Selain itu, India juga telah mempertingkatkan infrastruktur pertahanannya, termasuk pembinaan tempat perlindungan pesawat pejuang yang kukuh dan penempatan sistem peluru berpandu S-400 buatan Russia, yang mampu mengesan pesawat pejuang halimunan.
Sementara itu Pakistan dilaporkan akan mula mengoperasikan pesawat pejuang halimunan generasi kelima buatan China, J-35A pada awal tahun depan.
China dilaporkan akan mempercepatkan lagi penghantaran pesawat pejuang generasi kelima, J-35A kepada sekutu utamanya, Pakistan bagi memastikan negara Asia Selatan itu menerima pesawat pejuang terbabit pada suku pertama tahun 2026.
Laporan yang memetik sumber-sumber pegawai Tentera Udara Pakistan menyatakan bahawa China akan mempercepatkan lagi penghantaran pesawat pejuang J-35A yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation Industry (SAC) kepada Pakistan selama enam bulan.
“Dengan Beijing percepatkan penghantaran pesawat pejuang J-35A itu enam bulan, maka Pakistan dijangka akan menerima kumpulan pertama pesawat pejuang halimunan generasi kelima itu pada awal tahun 2026.”
Sebelum ini Pakistan hanya dijangka menerima kumpulan pertama pesawat pejuang halimunan buatan China J-35A itu pada akhir 2026.
Setakat ini, laporan-laporan tentang Beijing percepatkan penghantaran pesawat pejuang J-35A hanya bersandarkan kepada sumber tidak rasmi dan Defence Security Asia masih menunggu kenyataan rasmi daripada kerajaan Pakistan, Tentera Udara Pakistan atau SAC yang membangunkan pesawat pejuang itu.
J-35A
Pesawat pejuang generasi kelima China, J-35A
Laporan media pada akhir tahun lepas menyatakan bahawa Pakistan bakal memperolehi sebanyak 40 buah pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A, dengan kesemua pesawat pejuang itu akan diterima oleh Islamabad di dalam tempoh dua tahun.
Ia adalah eksport pertama China bagi pesawat pejuang generasi kelima buatannya kepada mana-mana negara.
Perolehan pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu dijangka akan mengubah imbangan kuasa udara di antara Pakistan dan India dengan Islamabad akan mempunyai kelebihan yang besar dalam kuasa udara berbanding India yang masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang generasi ke-empat dan 4.5 seperti Su-30MKI dan Rafale.
Tentera Udara Pakistan memberikan bayangan seawal 2024 tentang rancangannya untuk memperolehi pesawat pejuang halimunan generasi kelima, J-35A yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa China, Shenyang Aircraft Corporation.
Ketua Staf Tentera Udara Pakistan Marshal Udara Zaheer Ahmad Babar  dilaporkan berkata bahawa pesawat J-35A itu akan memasuki perkhidmatan tentera udara negara itu  “tidak lama lagi.”
“Rundingan telah pun diadakan bagi membolehkan perolehan pesawat J-35A, yang akan menjadi sebahagian daripada Tentera Udara Pakistan tidak lama lagi,” kata beliau pada ketika itu.
Malah, media-media Pakistan melaporkan bahawa tentera udara negara itu telah pun menghantar kumpulan juruterbangnya untuk menjalani latihan menerbangkan pesawat pejuang generasi kedua buatan China itu,  J-35A.
J-35A
J-35A
J-35A merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh China untuk memodenkan kekuatan tenteranya dan mencabar dominasi udara yang sekian lama dimiliki oleh Amerika Syarikat.
Pesawat ini menggunakan konfigurasi dwi-enjin dan satu tempat duduk serta direka bentuk khusus untuk mengurangkan kebolehkesanan pengesanan radar (low observability), integrasi penderia canggih dan peperangan berasaskan rangkaian (networked warfare).
J-35A berfungsi sebagai “penyelaras” utama dalam rangkaian pertahanan udara, dengan keupayaan untuk mengunci sasaran, berkongsi data secara langsung dengan sistem lain seperti peluru berpandu darat ke udara, dan membimbing senjata ke arah sasaran untuk menumpaskan ancaman, termasuk pesawat musuh berteknologi halimunan (stealth) dan peluru berpandu kruis.
— DEFENCE SECURITY ASIA
 

 

Leave a Reply