Ukraine Bakal Jadi ‘Tanah Perkuburan’ Buat F-16, Ikuti Jejak Langkah M1A1 Abrams dan Leopard

Keupayaan Ukraine mempertahankan ruang udara semakin rapuh apabila bekalan peluru berpandu Patriot Amerika Syarikat menyusut, membuka ruang buat bagi pesawat pejuang Rusia untuk bermaharajalela.

Medan perang Ukraine yang sudah menjadi “tapak perkuburan” bagi bangkai kereta kebal Abrams dan Leopard sumbangan Barat kini berisiko menjadi ‘tapak perkuburan’ yang baharu pula buat pesawat-pesawat pejuang F-16 Fighting Falcon yang didermakan kepada Tentera Udara Ukraine.
Apa yang dahulunya disifatkan sebagai sistem persenjataan untuk menebus dominasi ruang udara kini mungkin berubah menjadi lambang kegagalan Barat untuk mempertahankan sekutu berikutan sistem pertahanan udaranya yang semakin tenat.
Saluran Telegram FighterBomber yang berpengaruh mendedahkan bahawa simpanan peluru berpandu pertahanan udara Ukraine — terutamanya Patriot buatan Amerika Syarikat — kini berada pada tahap membimbangkan, menjadikan ruang udara Kyiv semakin terdedah.
Sebelum ini, pesawat pejuang Pasukan Aeroangkasa Rusia (RuAF) masih berhati-hati untuk berlegar terlalu dekat dengan barisan hadapan kerana takut diburu oleh radar dan peluru berpandu sistem pertahanan udara Ukraine.
Namun, kini situasi berubah apabila liputan radar sistem pertahanan udara Ukraine semakin ‘bocor’ berikutan kehabisan stok peluru berpandu pemintas, pesawat pejuang Rusia semakin berani melakukan operasi DEAD atau Destruction of Enemy Air Defences secara agresif.
Akibatnya, setiap sistem pertahanan udara yang masih kekal beroperasi terdedah kepada serangan tepat jarak dekat, satu perkembangan yang membuka ruang buat pesawat pejuang Rusia untuk ‘memburu’ F-16 di langit Ukraine.
Pakar ketenteraan Barat berpendapat bahawa krisis ini bukan sekadar kebetulan tetapi berpunca daripada kegagalan Washington sendiri menguruskan stok peluru berpandu di seluruh dunia.
F-16
F-16 Ukraine
Pendedahan eksklusif akhbar The Guardian pada 8 Julai lalu membongkar hakikat sebenar bahawa Pentagon kini hanya memiliki sekitar 25 peratus daripada peluru berpandu Patriot yang diperlukan untuk memenuhi pelan kontingensi ketenteraan mereka di pelbagai wilayah.
“Selepas membakar stok peluru berpandu sistem pertahanan udara di Timur Tengah dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kehabisan ini menjadi semakin kritikal sehingga pentadbiran Trump terpaksa membekukan penghantaran peluru terkini ke Ukraine,” menurut laporan tersebut.
Kenyataan itu segera mencetuskan kebimbangan besar di Brussels dan Kyiv kerana tanpa sokongan peluru berpandu sistem pertahanan udara Patriot yang konsisten, ruang udara Ukraine boleh terdedah sepenuhnya kepada dominasi pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Russia yang semakin agresif.
Insiden di mana Amerika Syarikat terpaksa melancarkan hampir 30 peluru Patriot dalam satu malam bagi memintas peluru berpandu balistik Iran selepas serangan balas ke atas kemudahan nuklear Iran bulan lalu menjadi bukti betapa pantasnya stok peluru ini boleh habis di zon konflik aktif.
Lebih membimbangkan, pengeluaran tahunan peluru berpandu pemintas Patriot oleh industri Amerika hanya sekitar 600 unit setahun sedangkan Iran sahaja memiliki lebih 1,000 peluru berpandu balistik walaupun selepas konflik 12 hari dengan Israel baru-baru ini.
Bagi Ukraine, kesannya amat memeritkan kerana Pentagon kini terpaksa mengagihkan stok peluru berpandu sistem pertahanan udara yang semakin menipis untuk melindungi pangkalan-pangkalan tenteranya  di Teluk Parsi, Eropah dan beberapa zon bergolak lain, sekali gus meminggirkan permintaan mendesak Kyiv.
Difahamkan, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth telah menandatangani surat yang membekukan penghantaran peluru berpandu Patriot ke Ukraine — satu tamparan hebat yang memaksa tentera udara Ukraine “bertarung di gelanggang” dengan pesawat  pejuang F-16 yang bukan direka untuk pertempuran rapat berhadapan dengan skuadron pesawat pejuang Russia lengkap bersenjata..
FighterBomber menerusi posting terbarunya terbaharu memberi amaran: “Dengan stok peluru berpandu Patriot yang semakin berkurangan, pesawat-pesawat pejuang Russia tidak lagi takut untuk masuk jauh ke dalam ruang udara Ukraine dan memusnahkan sistem pertahanan udara negara musuhnya tu.”
Fakta ini membuka ruang strategik buat Moscow untuk menggandakan serangan udara terancang, menghapuskan bateri radar lama S-300 Ukraine, dan menjadikan F-16 yang baru tiba sebagai sasaran utama.
Walaupun Denmark, Belanda, Norway dan Belgium telah berjanji untuk menghantar sehingga 70 unit F-16, angka sebenar di medan kini masih terlalu kecil.
Menurut sumber terbuka yang dipercayai, Ukraine hanya mempunyai sekitar 16 hingga 18 buah F-16 beroperasi setakat pertengahan 2025, dengan sekurang-kurangnya empat telah disahkan musnah sejak skuadron pertama F-16 beroperasi pada hujung 2024.
Hakikat ini menegaskan bahawa memiliki pesawat canggih sahaja tidak menjamin keunggulan udara — lebih-lebih lagi apabila rangkaian radar, sistem sokongan penyelenggaraan dan juruterbang mahir masih belum cukup lengkap.
Setiap pesawat pejuang F-16 yang hilang mewakili kos penggantian sekitar USD$30 hingga USD$40 juta seunit (bersamaan kira-kira RM141 juta hingga RM188 juta) — belum termasuk kos latihan juruterbang, alat ganti dan infrastruktur sokongan — satu angka yang membebankan buat ekonomi Ukraine yang sedang nazak.
Krisis Patriot ini juga mencerminkan realiti pedih bahawa senjata paling canggih tidak akan bertahan jika tiada perisai pertahanan udara untuk melindunginya di ruang udara yang kini semakin menjadi milik Rusia.
Imej tank Abrams dan Leopard yang hangus terbakar di medan peperangan Ukraine sudah menjadi simbol kegagalan Barat untuk mengekalkan keunggulan peralatan pertahanan itu selepas ia merentasi sempadan memasuki zon tempur berintensiti tinggi.
Kini, F-16 yang pada asalnya dijulang sebagai ‘game changer’ dalam konflik Ukraine kini berisiko menyusul jejak kereta-kereta kebal Abrams dan Leopard  — menjadi kerangka logam reput di tanah ladang Ukraine.
Pakar geo-strategik menegaskan bahawa pergantungan Kyiv pada Patriot adalah kritikal kerana setiap pembekuan penghantaran peluru berpandu pemintas Patriot bermakna ia memudahkan lagi misi udara pesawat pejuang Russia untuk melancarkan peluru berpandu anti-radar bagi memusnahkan sistem pertahanan  udara S-300 milik Ukraine dan pada masa yang sama F-16 Ukraine dipaksa berhadapan senario ‘dogfight’ dengan pesawat pejuang Russia yang tidak menguntungkan.
Soalan yang menghantui perancang NATO kini amat mudah tetapi menyakitkan: adakah F-16 ini mampu bertahan cukup lama untuk memberi impak strategik atau sekadar menjadi besi buruk di antara bangkai kereta-kereta kenal buatan Barat yang lain?
Dalam perhitungan brutal peperangan moden, kuasa udara tanpa pertahanan udara hanyalah resipi untuk lebih banyak “tapak perkuburan.”
Selagi Washington tidak dapat mempercepatkan pengeluaran peluru berpandu pemintas baharu dan menyambung semula penghantaran Patriot, rungan udara Ukraine akan kekal sebagai medan pemburuan terbuka bagi pesawat-pesawat pejuang Russia.
Buat masa ini, tanah perkuburan kereta-kereta kebal Barat seperti Abrams dan Leopard di Ukraine bakal disertai oleh pesawat-pesawat F-16 pula — selagi Amerika Syarikat menyekat penghantaran peluru-peluru berpandu pemintas seperti Patriot.

SNIPPET

Tanpa bekalan peluru Patriot baharu, F-16 Ukraine berdepan risiko ditembak jatuh seperti ratusan tank Barat yang telah menjadi mangsa di padang terbuka.

Leave a Reply