Singapura Lancar Dua Lagi Kapal Selam Type 218SG Di Jerman
Kemasukan empat buah kapal selam kelas-Invicible Type 218SG itu bakal melonjakkan lagi kemampuan bawah laut Tentera Laut Singapura, yang selama ini mempertaruhkan kapal-kapal selam terpakai miliknya iaitu daripada kelas-Archer dan kelas-Challenger.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bertempat di Kiel,Jerman hari ini, Tentera Laut Singapura telah melancarkan dua buah lagi kapal selam kelas-Invincible Type 218SG yang dibina oleh syarikat Thyssenkrupp Marine Systems (TKMS).
Dinamakan “Impeccable” dan “Illustrious”, ia adalah kapal selam kedua dan ketiga daripada empat kapal selam Type 218SG yang dibina oleh TKMS untuk Tentera Laut Singapura.
Kapal selam kelas-Invincible Type 218SG yang pertama dinamakan “Invicible” dan telah dilancarkan pada 2019.
Ketiga-ketiga kapal selam kelas-Invincible Type 218SG milik Tentera Laut Singapura dijangka dihantar pula ke republik itu tahun 2023 manakala kapal selam keempat dinamakan “Inimitable” masih di dalam pembinaan di Kiel.
Walaupun keempat-empat kapal selam Type 218SG Singapura itu dibina di Jerman oleh syarikat Jerman, tetapi spesifikasinya adalah mengikut acuan republik itu sendiri.
Menurut TKMS, keempat-empat kapal selam Type 218SG adalah diantara kapal selam diesel-elektrik termoden di dunia pada ketika ini,menampilkan beberapa penyelesaian tersendiri serta teknologi baru.
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang hadir di Kiel untuk menyaksikan pelancaran kedua-dua kapal selam Type 218SG milik republik itu berkata bahawa sebagai sebuah negara maritim,kapal selam dimiliki tentera lautnya membantu negara itu dalam memastikan laluan perdagangannya bebas untuk kemudahan keluar masuk barangan.
Singapura menurutnya, amat bergantung kepada kebebasan keluar masuk barang bagi memastikan kemakmuran dan survival republik itu.
Dengan berat kira-kira 2,200 tan, kapal selam kelas-Invicible Type 218SG Singapura itu boleh beroperasi 50 peratus lebih lama berbanding kapal-kapal selam sedia ada dimiliki oleh republik itu, selain dilengkapi dengan sistem persenjataan dan sensor yang jauh lebih baik.
Kemasukan empat buah kapal selam terbaru itu bakal melonjakkan lagi kemampuan bawah laut Tentera Laut Singapura ke tahap yang lebih tinggi, yang selama ini mempertaruhkan kapal-kapal selam terpakai yang diperolehinya iaitu daripada kelas-Archer dan kelas-Challenger.
Satu lagi yang menarik tentang kapal selam Type 218SG Tentera Laut Singapura ini adalah ia direkabentuk khas untuk membolehkan ia beroperasi dengan penuh berkesan di laut-laut yang cetek dan sibuk dengan kapal-kapal komersial, sebagaimana yang terdapat di perairan di sekitar rantau Asia Tenggara yang sememangnya sibuk dengan laluan maritim perdagangan.
“Antara ciri-ciri utama rekabentuk kapal selam terbaru Singapura ini adalah kemampuannya untuk melaksanakan misi pasukan khas,” menurut pakar kapal selam, H I Sutton di dalam portal berita pertahanan, Navalnews.com
Beliau merujuk kepada sistem Horizontal Multi Purpose Airlock yang boleh melancarkan torpedo, penyelam dan pasukan-pasukan khusus (komando) kerana antara tugasnya utama yang digariskannya bakal dilaksanakan oleh kapal selam itu adalah menangani ancaman kumpulan-kumpulan pengganas.
Kesemua kapal selam terbaru Singapura itu mempunyai berat di antara 2,000-2,200 tan (apabila di bawah permukaan) dan boleh meluncur pada kelajuan 15 knot apabila berada di bawah permukaan air.
Kapal-kapal selam kelas-Invicible itu boleh memuatkan 28 krew dan memiliki panjang 70 meter serta lebar lebih 6 meter.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Kapal selam Singapura ini memiliki lapan corong torpedo yang bukan sahaja boleh melancarkan torpedo berkaliber 533mm tetapi juga peluru berpandu anti kapal.
Ia juga akan dilengkapi dengan Air Independent Propulsion (AIP) menggunakan teknologi Fuel Cell yang membolehkan kapal selam itu menyelam 50 peratus lebih lama berbanding kapal-kapal selam yang lain.
Sistem kombatnya pula direkabentuk oleh Atlas Elektronik dan ST Elektronics. — DSA
Jom!!!! follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore
Comments are closed.