Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turkiye Secara Terbuka Tawar Pesawat Pejuang Gen-5 “KAAN” Kepada Malaysia

Sebagai pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft – MRCA) generasi kelima, 'KAAN' berkemampuan melaksanakan pelbagai misi daripada udara-ke-udara, udara-ke-darat, pengintipan dan peperangan elektronik, sekaligus memberikan Malaysia pilihan untuk menangani pelbagai cabaran keselamatan.

0 7,768

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye secara terbuka menawarkan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkannya kepada Malaysia, bagi membantu negara Asia Tenggara itu meningkatkan pertahanan udaranya.

Dalam temuramah bertulis dengan agensi berita nasional Malaysia, BERNAMA sempena DSA 2024,  Presiden Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) Prof Haluk Gorgun berkata, Malaysia boleh mendapat akses kepada teknologi terkini dan kepakaran dalam bidang pertahanan dengan bergabung dengan Turkiye.

Gabungan di antara Malaysia dan Turkiye itu katanya, akan mempercepatkan keupayaan pertahanannya Malaysia dan menggalakkan pertumbuhan industri pertahanan tempatan.

“Kami terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia, sebuah negara sahabat dan bersaudara dalam projek pembangunan, termasuk projek ‘KAAN’ yang telah dimulakan oleh Turkiye. Kami juga terbuka untuk berkongsi pengalaman yang kami perolehi dari pesawat latihan asas generasi baru ‘HURKUS’ dan pesawat pejuang ringan ‘HURJET’ dengan Malaysia.”

“Turkiye pada masa sama boleh mendapat manfaat daripada sumbangan Malaysia dalam bidang seperti penyelidikan dan pembangunan, keupayaan pembuatan dan pengetahuan serantau,” katanya sambil menyatakan keyakinan terhadap kesan positif kerjasama itu terhadap hubungan dua hala dan keselamatan serantau.”

KAAN
“KAAN”

 

Beliau berkata, sebagai pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft – MRCA) ‘KAAN’ berkemampuan melaksanakan pelbagai misi daripada udara-ke-udara, udara-ke-darat, pengintipan dan peperangan elektronik, sekaligus memberikan Malaysia pilihan untuk menangani pelbagai cabaran keselamatan.

“Kebolehoperasian KAAN dengan sistem NATO dan potensi pemindahan teknologi memberikan peluang kepada Malaysia untuk menyepadukan pesawat itu dengan lancar ke dalam infrastruktur pertahanannya melalui kerjasama Turkiye.

“Secara keseluruhan, pelaburan dalam KAAN akan meningkatkan penguasaan udara Malaysia dengan ketara, mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala dan menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan serantau di Asia Tenggara,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh Bernama.

Program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu dilaksanakan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Pada 21 Februari lalu,  pesawat pejuang generasi kelima Turkiye “KAAN” telah berjaya melakukan penerbangan sulungnya, sekaligus mencatat satu lagi sejarah pada industri penerbangan dan pertahanan negara Mediterranean.

Penerbangan sulung pesawat pejuang “KAAN” itu juga memastikan Turkiye menyertai segelintir negara di dunia ini yang berkemampuan membangunkan pesawat pejuang generasi kelima dengan sendirinya.

KAAN
“KAAN”

 

“KAAN” menyertai pesawat-pesawat generasi kelima yang lain di pasaran pada ketika ini seperti F-22 “Raptor”, F-35 buatan Amerika Syarikat, J-20 “Mighty Dragon” dan J-31 buatan China dan Su-57 “Felon” buatan Russia.

Turkiye, sebuah negara anggota NATO melancarkan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” pada 2016.

KAAN sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).

Hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi injal (ejection seat), enjin dan joystick (controller). 

Bagaimanapun ketiga-tiga komponen asing pada pesawat KAAN tu akan digantikan dengan komponen buatan Turkiye apabila pembangunan pesawat itu memasuki fasa lebih maju.

Di dalam tempoh ujian penerbangan pada ketika ini, kesemua pesawat-pesawat prototaip KAAN akan menggunakan enjin F110 buatan syarikat GE sebelum ia digantikan sepenuhnya dengan enjin turbofan yang sedang dibangunkan oleh syarikat tempatan, TEI (TUSAS Engine Industries).

KAAN
“KAAN”

 

Syarikat pembuat enjin Turkiye, TEI menyatakan bahawa enjin buatan dalam negeri yang akan digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima negara itu “KAAN” sudah hampir siap.

Syarikat TEI merupakan usahasama di antara Turkish Aerospace Industries (TAI) dan General Electric Aerospace (GE Aerospace).

“Engine TF10000 yang akan menghasilkan 6,000 lbf kuasa tujahan (thrust) dan akan melengkapi banyak platform berpemandu dan tidak berpemandu (manned and unmanned) termasuk pesawat pejuang KAAN sudah hampir siap,” kata ketua TEI, Mahmut Faruk Aksit kepada media tempatan Turkiye baru-baru ini.

TAI yang merupakan kontraktor utama bagi program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu, dilapor akan menyiapkan sejumlah 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.

Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.

Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye. — DSA

Comments
Loading...