Buat Julung Kali, Turkiye Dedah Rekabentuk Kapal Pengangkut Pesawat Pertamanya
Dengan kapal pengangkut pesawatnya yang pertama itu, Turkiye berkemampunan untuk menonjolkan kuasa ketenteraannya di kawasan dan rantau yang lebih jauh daripada sempadan maritimnya sekaligus mengesahkan lagi statusnya Ankara sebagai kuasa serantau.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada pameran SAHA EXPO 2024 yang berlangsung di Istanbul, Turkiye, rekabentuk kapal pengangkut pesawat kebangsaan atau di dalam bahasa tempatan, Milli Uçak Gemisi (MUGEM) bakal dibangunkan oleh Tentera Laut Turkiye telah didedahkan buat pertama kalinya.
Turkiye merancang membina kapal pengangkut pesawatnya yang pertama untuk kegunaan tentera lautnya, dimana saiznya adalah dua kali ganda berbanding kapal perang paling besar dimilikinya ketika ini iaitu TCG Anadolu yang memiliki berat keseluruhan 28,000 dan panjang 230 meter.
Negara Mediterranean itu mula mendedahkan rancangannya untuk membina kapal pengangkut pesawat pada Februari ketika presiden negara itu Recep Tayyep Erdogan melawat Istanbul Shipyard Design Project Office (DPO).
Menurut DPO pada Februari lalu, pembinaan kapal pengangkut pesawat pertama Turkiye itu akan dilakukan 100 peratus menerusi tenaga dan kepakaran dalam negara tanpa membabitkan sebarang bantuan daripada negara-negara luar.
Ia hanya membuktikan kemampuan teknologi dalam negara dalam melaksanakan projek-projek tentera laut yang besar.
Pada ketika ini, kerajaan Turkiye masih belum mengumumkan tarikh ia akan memulakan pembinaan kapal pengangkut pesawat kebangsaan yang pertamanya itu, tetapi dengan rekabentuknya sudah pun hampir siap, maka dijangkakan ia akan memulakan pembinaannya tidak lama lagi.
Status Turkiye sebagai kuasa di rantau Mediterranean akan hanya diperkukuhkan apabila memiliki kapal pengangkut pesawat, walaupun ia hanya dijana oleh kuasa konvensional dan bukan nuklear.
Dengan kapal pengangkut pesawatnya yang pertama itu, Turkiye berkemampunan untuk menonjolkan kuasa ketenteraannya di kawasan dan rantau yang lebih jauh daripada sempadan maritimnya sekaligus mengesahkan lagi statusnya Ankara sebagai kuasa serantau.
Mengikut data daripada pameran SAHA EXPO itu, Turkiye merekabentuk kapal pengangkut pesawat itu secara dalam negara dan bakal menjadi kapal perang terbesar serta terbesar dalam sejarah ketenteraan negara itu.
Mengikut spesifikasinya, kapal pengangkut pesawat pertama Turkiye itu akan mempunyai panjang 285 meter, lebar (width) 72 meter manakala beratnya mencecah sehingga 60,000 tan.
Dengan panjang keseluruhan mencecah 285 meter dan berat keseluruhan 60,000 tan telah mengklasifikasikan kapal pengangkut pesawat pertama Turkiye itu bersaiz sederhana, sebagaimana kapal-kapal pengangkut pesawat HMS Queen Elizabeth dan HMS Prince of Wales milik Britain.
Bagi kapal-kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat pula, beratnya mencecah sehingga 100,000 tan.
Kapal pengangkut pesawat pertama Turkiye itu berkeupayaan belayar selaju 25 knot manakala radius operasinya adalah sejauh 10,000 Batu Nautika pada kelajuan 14 knot.
Untuk mencapai kelajuan itu dan radius operasinya, kapal pengangkut pesawat Turkiye itu akan dijana oleh empat buah enjin gas turbine LM25000 buatan General Electric dan dua buah propeller mudah ubah (adjustable) untuk kelincahan pergerakannya di perairan.
Kapal pengangkut pesawat pertama Turkiye itu akan mempunyai tiga buah landasan,di mana dua adalah untuk pendaratan manakala sebuah lagi adalah untuk perlepasan.
Walaupun pada mulanya ia merancang untuk mengguna Modular Ramp tetapi pada akhirnya ia akan menggunakan Sistem Catapult yang dibangunkan oleh jurutera-jurutera tempatan pada masa depan.
Kapal pengangkut pesawat pertama Turkiye itu berkemampuan membawa kira-kira 50 buah aset udara terdiri daripada pesawat-pesawat berpemandu (manned) dan tidak berpemandu (unmanned) serta helikopter (sama ada utiliti atau penyerang).
Antara aset-aset udara yang akan dibawanya adalah pesawat pejuang ringan “Hurjet”, Unmanned Combat Aerial Vehicle (UCAV) ANKA-3, UCAV Bayraktar TB3 dan pesawat pejuang tanpa pemandu, Kizilelma.
Sebanyak 20 buah daripada pesawat kombat itu akan diletakkan di bahagian dek manakala 30 buah yang lain akan ditempatkan di dalam hangar.
Terdapat juga maklumat awal menyatakan pihak Turkiye bercadang membangunkan varian tentera laut pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang akhirnya akan berkhidmat di atas kapal pengangkut pesawat itu, tetapi maklumat masih diperingkat awal.
Kapal pengangkut pesawat nasional Turkiye itu akan mempunyai kira-kira 800 krew kapal apabila ia mula beroperasi kelak.
Untuk sistem persenjataannya pula, kapal pengangkut pesawat itu akan turut dilengkapi dengan pelbagai sistem termasuk 32-cell (2×16) MİDLAS Vertical Launch System (VLS) dan empat GÖKDENİZ Close Defense Weapon Systems (CIWS).
Selain itu, ia juga akan dilengkapi dengan tujuh ASELSAN 25mm STOP Remote Controlled Weapon Systems bagi memberikan kapal pengangkut pesawat itu perlindungan jarak dekat terhadap ancaman tidak simetri seperti dron-dron berani mati atau bot-bot berani mati tidak berpemandu (unmanned suicide boats). — DSA
Comments are closed.