Turkiye Akan Perolehi Kombinasi 20 Eurofighter Typhoon Terpakai, 20 Pesawat Baru Tranche 4 dari UK
Berhadapan dengan pesawat-pesawat pejuang miliknya yang semakin berusia seperti F-16 dan ditambah pula dengan kelewatan dalam memperolehi F-16 Block 70 daripada Amerika Syarikat, Turkiye dilaporkan telah memperhebatkan usaha untuk memiliki pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye dilaporkan akan mula menerima 20 buah pesawat pejuang terpakai Eurofighter Typhoon Tranche 1 milik United Kingdom seawal pada tahun 2026, sebelum menerima pula 20 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon terbaru daripada varian Tranche 4 pada tahun-tahun berikutnya.
Sebanyak 20 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tranche 4 yang terkini itu dijangka beroperasi sepenuhnya dengan Tentera Udara Turkiye pada tahun 2030.
Dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”, Eurofighter Typhoon Tranche 4 dikatakan adalah varian pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060, selain turut dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh METEOR BVRAAM.
Jerman dikatakan telah memesan 38 buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 4
Berhadapan dengan pesawat-pesawat pejuang miliknya yang semakin berusia seperti F-16 dan ditambah pula dengan kelewatan dalam memperolehi F-16 Block 70 daripada Amerika Syarikat, Turkiye dilaporkan telah memperhebatkan usaha untuk memiliki pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu.
Program pembangunan pesawat pejuang generasi kelimanya, KAAN juga masih memerlukan beberapa tahun lagi sebelum pesawat itu memasuki fasa produksi penuh, dengan pesawat pertama dijangka akan hanya berkhidmat dengan tentera udara negara itu pada 2028.

Pesawat pejuang KAAN itu baru mengadakan dua kali penerbangan setakat ini, dengan penerbangan ketiga akan berlaku tidak lama lagi manakala syarikat pembuatnya, Turkish Aerospace Industries (TAI) dilaporkan sedang membina beberapa pesawat prototaip KAAN.
Keperluan mendesak Türkiye untuk mempercepatkan perolehan pesawat pejuang kini semakin ketara berikutan peningkatan persaingan ketenteraan dengan negara jirannya, Greece, yang telah memperoleh 24 buah pesawat pejuang canggih Rafale dari Perancis.
Pesawat Rafale yang dilengkapi keupayaan peperangan elektronik tercanggih serta peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh ini, secara signifikan telah mengubah keseimbangan kuasa udara di rantau tersebut.
Tanpa segera memiliki pesawat pejuang yang setanding kemampuannya, Türkiye berisiko menghadapi kelemahan strategik, sekali gus mampu menggugat keupayaan pencegahannya di kawasan Laut Aegean dan timur Mediterranean yang sering kali tegang.
Sebab itu, Turkiye sedang berusaha untuk mempercepatkan lagi usaha perolehan 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dan pada masa yang sama juga, berharap Presiden Donald Trump akan menggugurkan sekatan di bawah CAATSA yang dikenakan terhadapnya kerana membeli sistem pertahanan udara S-400.
Ankara berharap penguguran sekatan dibawah CAATSA itu akan membolehkannya kembali diberikan kebenaran untuk memperolehi pesawat pejuang generasi kelima F-35.

Turkiye sepatutnya memperolehi 100 buah F-35 sebelum digugurkan daripada program perolehan F-35.
Perbincangan mengenai perolehan Eurofighter Typhoon oleh Turkiye itu semakin rancak apabila Timbalan Menteri Pertahanan negara itu, Musa Heybet menerima kunjungan Duta Britain ke Turkiye, Jill Morris bersama delegasinya di Ankara pada 20 Mac lalu.
Pertemuan itu turut disertai pegawai kanan pertahanan Turkiye termasuk Ketua Pengarah Pertahanan dan Keselamatan, Mejar Jeneral İlkay Altındağ dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Perolehan, Mehmet Avcı.
Antara agenda utama yang dibincangkan adalah potensi Turkiye untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, termasuk spesifikasi teknikal serta aspek strategik berkaitan perolehan pesawat pejuang tersebut.
Awal bulan ini, Kementerian Pertahanan United Kingdom dilaporkan telah mengemukakan dokumen tawaran penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Kementerian Pertahanan Kebangsaan Turkiye.
Kementerian Pertahanan Kebangsaan Turkiye dilaporkan sedang mengkaji dokumen tawaran penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang dikemukakan oleh Kementerian Pertahanan United Kingdom itu, menurut laporan oleh media-media Turkiye yang memetik sumber.

“Kami sebelum ini mengumumkan bahawa satu dokumen rasmi telah disediakan berkaitan perolehan 40 pesawat Eurofighter Typhoon bagi memenuhi keperluan operasi tentera udara kami.”
“Dokumen tersebut telah dihantar kepada Kementerian Pertahanan United Kingdom dan pengeluar (pesawat pejuang) berkaitan, dengan jangkaan menerima tawaran balas,” menurut sumber oleh media Turkiye itu.
“Tawaran yang dinantikan kini telah diterima oleh kementerian kami, dan proses penilaian sedang berlangsung.”
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh konsortium empat buah negara Eropah terdiri daripada United Kingdom, Jerman, Sepanyol dan Itali, dengan penjualannya memerlukan persetujuan daripada keempat-empat negara itu.
Usaha Türkiye untuk memperoleh pesawat pejuang Eurofighter Typhoon memperolehi momentum yang signifikan akhir tahun lalu, selepas Jerman memberi kebenaran kepada konsortium syarikat pembuat pesawat itu untuk menjual kepada Turkiye, menandakan perubahan daripada pendirian sebelumnya yang lebih berhati-hati.
Pada 13 November 2024, Menteri Pertahanan Turkiye, Yaşar Güler mengumumkan bahawa Jerman telah menarik balik bantahan sekian lamanya berhubung rancangan Turkiye untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

