Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turki Tawar Kemudahan Pengeluaran Helikopter “Gokbey” Di Malaysia

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TAI Profesor Temel Kotil ketika menghadiri pameran DSA 2022 minggu lepas telah menyatakan kepada media tempatan bahawa syarikat itu bersedia menawarkan kemudahan pengeluaran helikopter T625 Gokbey di Malaysia, kilang pembuatan pertamanya di luar Turki.

0 6,022

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selain helikopter penyerang T129 “ATAK” yang kini digunakan oleh Tentera Filipina, konglomerat pertahanan Turki iaitu Turkish Aerospace Industries (TAI/TUSAS) turut membangunkan helikopter pengangkut bersaiz sederhana (medium lift helicopter) untuk operasi awam dan tentera.

Dipanggil T625 “Gokbey” helikopter bersaiz sederhana itu memasuki pasaran yang sudah pun padat dengan pesaing daripada syarikat-syarikat lain seperti Leonardo AW139 yang banyak digunakan di Malaysia serta Sikorsky S-76.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menyewa empat buah helikopter AW139 manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula memperolehi helikopter yang sama untuk Helikopter Operasi Maritim (HOM) miliknya.

Gokbey

Selain TUDM dan TLDM, cabang udara Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba turut menggunakan helikopter AW139.

Jika TAI mahu menembusi pasaran helikopter pengangkut bersaiz sederhana di Malaysia, nampaknya ia terpaksa bersaing dengan AW139 yang memiliki “pengikut” yang ramai di negara ini, berserta dengan kemudahan sokongan dan penyelenggaran yang lengkap.

Walaupun berhadapan dengan saingan yang kuat, ia tidak menghalang TAI untuk menawarkan helikopter “Gokbey” itu kepada Malaysia.

Malah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TAI Profesor Temel Kotil ketika menghadiri pameran DSA 2022 minggu lepas telah menyatakan kepada media tempatan bahawa syarikat itu bersedia menawarkan kemudahan pengeluaran helikopter T625 Gokbey di Malaysia, kilang pembuatan pertamanya di luar Turki.

Gokbey

“Kami mahu menjadikan Malaysia sebuah hab… Saya mendapati bahawa Malaysia merupakan lokasi yang amat sesuai untuk mereka bentuk dan membina pesawat. Negara ini mampu,” katanya.

Admin berpendapat TAI mungkin berminat terhadap program penggantian helikopter S-61 Nuri TUDM, dimana kerajaan bakal memperolehi sejumlah 24 buah helikopter bersaiz sederhana untuk menggantikan Nuri itu.

Tawaran TAI untuk mengeluarkan helikopter Gokbey di Malaysia itu mungkin sesuatu yang amat menarik untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

Selain untuk agensi keselamatan dan penguatkuasa, TAI mungkin melihat potensi yang besar bagi Gokbey untuk kegunaan agensi awam, sivil serta swasta, sebagaimana yang dikecapi kini oleh helikopter Leonardo AW139 di Malaysia.

Gokbey

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Helikopter Gokbey pelbagai fungsi ini merupakan model generasi baharu dua enjin seberat enam tan yang dibangunkan dan dikonfigurasikan untuk memenuhi keperluan operasi pelbagai sasaran seperti kargo, pengangkutan VIP, perkhidmatan perubatan kecemasan, luar pesisir termasuk operasi mencari dan menyelamat kerana memiliki ruang kabin yang luas.

Aerodinamik Gokbey direka bagi menyediakan getaran yang agak rendah, kedap bunyi, penggunaan bahan api serta jarak penerbangan yang lebih baik selain fleksibiliti misi yang agak tinggi dalam kelasnya.

Gokbey

Helikopter buatan tempatan Turki ini mula dibangunkan pada 2013 diatas hasrat kerajaan negara itu yang mahukan helikopter pelbagai guna saiz sederhana tempatan.

Walaupun pada ketika ini helikopter Gokbey ini masih menggunakan enjin buatan Roll Royce-Honeywell, sebagaimana yang digunakan oleh helikopter T129 ATAK, tetapi Turki sedang membangunkan enjin tempatan bagi helikopter dengan kerjasama Ukraine. — DSA

 

Comments
Loading...