Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Look Turkiye” Untuk Perolehan Kapal-Kapal LMS Batch II?

Defence Security Asia diberitahu oleh sumber-sumber industri bahawa kemungkinan kontrak pembinaan tiga buah kapal LMS Batch II diberikan kepada syarikat Turkiye adalah amat tinggi berikutan kemampuan tinggi negara Mediterranean itu dalam bidang pembuatan kapal-kapal tentera laut serta kecenderungan "Look Turkiye"dalam bidang pertahanan pada ketika ini.

0 6,431

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka akan memulakan usaha-usaha perolehan kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II pada tahun ini, bagi menambah empat buah kapal LMS Batch I buatan China yang telah diperolehi setakat ini.

Laporan media mengatakan tiga buah daripada lapan kapal-kapal LMS Batch II itu dirancang dibina pada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

Peruntukan berjumlah RM2.4 bilion dikatakan akan dikeluarkan bagi memulakan pembinaan tiga buah kapal LMS Batch II itu yang dikatakan akan lebih “lebih besar dan lebih berkeupayaan” berbanding kapal-kapal LMS Batch 1.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilaporkan berkata sebelum ini bahawa perolehan kapal-kapal LMS Batch II itu dikategorikan sebagai “projek kritikal dan perlu diberikan keutamaan yang tinggi.”

Memandangkan ia dikategorikan sebagai projek kritikal oleh pimpinan ATM dan Kementerian Pertahanan, maka adalah selamat untuk mengatakan bahawa perolehan kapal-kapal LMS Batch II sudah pasti akan berlaku.

Turkiye
Kapal korvet C92 oleh Dearsan Shipyard

 

Banyak syarikat-syarikat pembuat kapal perang daripada dalam dan luar negara telah pun menyatakan minat mereka untuk terlibat sama dalam program perolehan lapan buah kapal LMS Batch II untuk TLDM.

Untuk program kapal LMS Batch II ini, apa yang dapat kita lihat adalah minat daripada syarikat-syarikat pembuat kapal daripada Turkiye adalah amat tinggi.

Turkiye memiliki banyak syarikat pembuat kapal tentera laut yang berwibawa dan berpengalaman luas dan adalah tidak memeranjatkan jika ia sedang melihat dengan penuh minat program perolehan kapal-kapal LMS Batch II oleh Malaysia.

LMS
Tiga daripada empat kapal LMS Batch 1 milik TLDM yang dibina oleh syarikat China, CSOC.

 

Malah Defence Security Asia diberitahu oleh sumber-sumber industri bahawa kemungkinan kontrak pembinaan tiga buah kapal LMS Batch II diberikan kepada syarikat Turkiye adalah amat tinggi berikutan kemampuan tinggi negara Mediterranean itu dalam bidang pembuatan kapal-kapal tentera laut serta kecenderungan “Look Turkiye” dalam bidang pertahanan pada ketika ini.

Walaupun belum ada lagi keputusan daripada kerajaan setakat ini tetapi admin berkeyakinan diatas beberapa faktor bahawa syarikat-syarikat Turkiye mempunyai kelebihan untuk memenangi kontrak pembinaan kapal-kapal LMS Batch II (berkemungkinan atas usahasama dengan syarikat tempatan).

Industri pembuatan kapal-kapal tentera laut Turkiye berkemampuan membina hampir kesemua jenis kapal yang diperlukan oleh Tentera Laut Turkiye daripada kapal selam hinggalah kepada Amphibious Assault Ship (kapal pengangkut pesawat mini) seperti “Anadolu” seberat 27,000 tan yang kini sedang menjalani ujian laut (sea trial).

Pada pendapat admin, Turkiye hanya “menunggu masa” sebelum negara itu membina kapal pengangkut pesawat.

Turkiye
Kapal korvet C92 milik Tentera Laut Turkmenistan

 

Antara syarikat-syarikat Turki yeyang mungkin akan menyertai tender bekalan kapal-kapal LMS Batch II apabila ia dibuka secara rasmi nanti adalah Dearsan Shipyard yang beroperasi daripada pangkalannya di Istanbul.

Mula beroperasi pada tahun 1980, Dearsan Shipyard mendakwa ia berkemampuan membina sembilan jenis kapal berlainan pada masa yang sama.

Antara kapal-kapal tentera laut yang ditawarkan oleh Dearsan Shipyard kepada pelanggannnya adalah kapal korvet C92 yang memiliki panjang 91 meter dan berat keseluruhan  1,600 tan.

Kapal korvet C92 oleh syarikat Turki ini mampu meluncur selaju 26 knot dengan radius operasi 3000 batu nautika.

Kapal korvet ini mampu  membawa 100 orang anak kapal terdiri daripada pegawai dan lain-lain anggota.

Turkiye
Kapal korvet C92 milik Tentera Laut Turkmenistan

 

Misi utama kapal korvet Turki ini adalah anti-submarine warfare, anti-surface warfare,anti-air warfare dan lain-lain,manakala misi secondary pula termasuklah pengumpulan perisikan, rondaan/iringan, peperangan tidak simetri dan mencari dan menyelamat.

Bagi sistem persenjataannya pula, kapal korvet C92 ini dilengkapi dengan pelbagai senjata daripada meriam utama 76mm, 30mm, 25mm, peluru berpandu anti-pesawat, peluru berpandu anti-kapal, torpedo dan lain-lagi.

Ia juga dilengkapi dengan pelbagai sistem sensor dan navigasi seperti Combat Management System (CMS), Air and Surface Surveillance Radar, Sonar, Electronic Support & Counter Measure , Infra Red Search and Track dan lain-lain lagi.

Turkiye
Kapal friget F-142 seberat 5,500 tan dibangunkan oleh Dearsan Shipbuilding

 

Pada tahun lepas, Tentera Laut Turkmenistan telah mentauliah satu daripada tiga buah kapal korvet C92 yang dibina oleh Dearsan Shipyard dengan rakan kerjasamanya, Gulhan.

Selain, membina kapal korvet C92, syarikat Dearsan Shipyard juga membina kapal korvet C74 yang hanya mempunyai berat 1000 tan dan berkemampuan membawa seramai 55 orang anak kapal terdiri daripada pegawai dan lain-lain anggota.

Dearsan Shipyard juga membina kapal friget yang dinamakan “F-142” yang mempunyai berat keseluruhan 5,500 tan dan panjang sehingga 141 meter serta dilengkapi dengan pelbagai jenis sistem persenjataan dan sensor. — DSA

 

 

 

Comments
Loading...