Turki Tawar Keluarkan Pesawat FLIT/LCA “Hurjet” Di Malaysia
Nampaknya, persaingan bagi tender Kementerian Pertahanan untuk 18-36 pesawat FLIT/LCA untuk TUDM semakin sengit dengan gergasi aeroangkasa dan pertahanan Turki, Turkish Aerospace Industries (TAI) pula membuat tawaran yang menarik kepada Malaysia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkish Aerospace Industries (TAI) merancang mengeluarkan pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) “Hurjet” di Malaysia sekiranya syarikat itu dipilih sebagai pemenang dalam tender Kementerian Pertahanan untuk perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TAI Prof Temel Kotil yang kini berada di Malaysia.
“Kami (TAI) mahu menyumbang kepada pembangunan kapasiti Malaysia untuk menghasilkan pesawat seperti itu (Hurjet) kerana Malaysia dilihat antara negara terbaik untuk bekerjasama secara strategik di Asia Pasifik.” katanya.
Sekiranya bidaan oleh syarikat TAI itu berjaya, beliau berkata, 15 pesawat “Hurjet” itu akan dikeluarkan di Malaysia manakala tiga buah lagi di Turki.
Temel Kotil itu berkata, pengeluaran pesawat “Hurjet” di Malaysia bertujuan mengukuhkan industri penerbangan global di rantau masing-masing.
Beliau berada di Malaysia untuk menyaksikan pembukaan pusat kejuruteraan dan rekabentuk milik TAI pertamanya di Asia Tenggara yang terletak Cyberjaya.
TAI merupakan salah satu syarikat yang menyertai tender antarabangsa Kementerian Pertahanan untuk memperolehi 18-36 buah pesawat FLIT/LCA untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Perolehan pesawat-pesawat FLIT/LCA yang akan menggantikan pesawat Hawk 108, Hawk 208 dan Aermacchi MB-339CM itu akan dilakukan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan RMK-13 (2026-2030).
Selain TAI, terdapat beberapa syarikat lain yang turut membida tender Kementerian Pertahanan itu termasuklah Korea Aerospace Industries (KAI) yang menawarkan pesawat FA-50, pesawat JF-17 “Thunder” daripada Pakistan Aeronautical Complex/Chengdu Aircraft Industry Group.
Manakala bagi China National Aero-Technology Import & Export (CATIC) ia menawarkan pesawat Hongdu L-15B, Hindustan Aeronautics Limited (HAL) pula menawarkan pesawat “Tejas”, Yakovlev Yak-130, Leonardo M-346 Fighter Attack, Saab Gripen dan Boeing T-7 Red Hawk.
Pemenang tender bagi 18-36 buah pesawat FLIT/LCA itu dijangka diumumkan pada awal tahun depan.
Beberapa hari lepas, Defence Security Asia melaporkan tentang keyakinan bahawa Malaysia bakal menjadi pasaran eskport pertama bagi pesawat “Hurjet”, pesawat FLIT/LCA yang sedang dibangunkannya pada ketika ini.
Keyakinan itu disuarakan sendiri oleh Kotil ketika diwawancara oleh stesen TV, CNN Turk.
“TAI mempunyai peluang yang baik di dalam persaingan tender Malaysia. Kita (TAI) berharap akan dapat menjual sejumlah 18 buah pesawat ‘Hurjet’ kepada Malaysia,” katanya dalam temuramah terbabit.
Tahun lepas, Kotil juga dilaporkan berkata oleh agensi berita Turki, Anadolu, bahawa TAI telah mempelawa Malaysia untuk terlibat sama dalam pembangunan pesawat FLIT/LCA “Hurjet” itu, dengan Kuala Lumpur ditawarkan untuk membina beberapa komponen pesawat latihan itu.
“Kita (TAI) perlu mencari rakan kerjasama antarabangsa. Ia adalah projek (pembangunan Hurjet) yang besar dan ia bukan sekadar untuk Turki. Pelawaaan itu menarik minat Malaysia dan kita menjangkakan reaksi yang positif daripada Malaysia,” kata beliau.
Pesawat “Hurjet” itu dijangka melakukan penerbangan pertamanya pada tahun depan.
Pesawat “Hurjet” yang dibangunkan oleh TAI akan melakukan lebih banyak penerbangan pada tahun 2023 sebelum sejumlah pesawat FLIT/LCA itu diserahkan kepada Tentera Udara Turki pada tahun 2025.
Usaha-usaha untuk membangunkan pesawat bersenjata “Hurjet” dikenali dengan nama “Hurjet-C”juga sedang dilaksanakan, dengan penerbangan pertamanya dijangkakan pada tahun 2027.
Turki memulakan projek pembangunan pesawat FLIT/LCA “Hurjet” ini pada tahun 2017 dan pada tahun 2018 TAI menandatangani perjanjian dengan Tentera Udara Turki.
Hurjet ini akan menggantikan pesawat latihan lanjutan T-38 Tentera Udara Turki
Pesawat terbabit yang sedang di dalam peringkat pembangunan itu masih tidak mempunyai pilihan enjinnya, walaupun terdapat laporan mengatakan “Hurjet” itu akan menggunakan enjin Eurojet EJ200 atau GE F404 oleh General Electric memberikan ia kelajuan Mach 1.4.
Antara kelengkapan pesawat itu itu adalah “fly by wire,” pengisian minyak di udara, head-up display serta integrated helmet mounted display system.