Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jangan Iktiraf Tindakan Mereka, Kita Tiada “Tuntutan Bertindih” Dengan China

Apa yang ada pada ketika ini hanyalah China menuntut wilayah kita secara unilateral dan kita sepatutnya tidak melayan tuntutan sebelah pihak Beijing itu dan janganlah kita "mengiktiraf" pula tuntutan itu dengan menggunakan terma tuntutan bertindih pula.

0 5,369

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Parlimen hari ini untuk sesi Soal Jawab Menteri dan beliau telah memberikan lebih banyak penjelasan tentang rundingan dengan China berkenaan isu “tuntutan bertindih” di antara kedua-dua negara.

Sebagaimana dilaporkan oleh media tempatan, Anwar menegaskan bahawa syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS tetap akan meneruskan projek cari gali di Laut China Selatan walaupun terdapat pertindihan tuntutan dengan Beijing.

Malaysia menurut beliau menganggap lokasi projek cari gali yang dilakukan oleh PETRONAS pada ketika ini berada di dalam kawasan atau wilayah milik negara.

Petronas

“Bagaimanapun kalau negara China anggap ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan, tapi sementara itu, untuk usaha cari gali, kita akan teruskan.

“Saya tidak mahu elak daripada meneruskan rundingan, kerana ini pendirian ASEAN.

“ASEAN merasakan semua tuntutan bertindih harus diselesaikan secara rundingan, tapi setakat ini Malaysia bertegas bahawa ini (projek cari gali) adalah di kawasan atau wilayah Malaysia,” kata beliau di Parlimen hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu sama ada Anwar ada membincangkan isu berhubung keselamatan serantau dalam lawatan rasminya ke China baru-baru ini, terutamanya berkenaan Laut China Selatan.

Anwar berkata pendirian Malaysia berhubung usaha cari gali berkenaan juga telah disampaikan kepada Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatannya Li Qiang dalam lawatan rasminya ke negara tembok besar itu baru-baru ini.

 “Memang perkara ini diangkat kerana kedua-dua pihak itu ada tuntutan bertindih di Laut China Selatan terutama kebimbangan negara China kerana Petronas telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga dituntut oleh negara China,” katanya.

Kasawari
Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 yang diusahakan oleh PETRONAS.

 

Berhubung kehadiran kapal dan tentera laut China di Laut China Selatan, Perdana Menteri berkata negara itu telah menjelaskan bahawa ia berada di perairan antarabangsa, namun Kementerian Luar akan terus memantau dan mengeluarkan bantahan sekiranya terdapat perlanggaran.  

Kenyataan Perdana Menteri bahawa lokasi aktiviti cari gali minyak dan gas PETRONAS di Laut China Selatan terletak di dalam wilayah Malaysia adalah tepat sekali, namun apa yang menjadi kegusaran adalah berkenaan penggunaan perkataan “tuntutan bertindih.”

Ya, Malaysia mempunyai tuntutan bertindih dengan negara-negara jirannya seperti Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura dan Vietnam kerana kita berkongsi sempadan maritim dengan negara-negara serantau kita itu.

Ada sebahagian daripada tuntutan bertindih itu telah berjaya diselesaikan dengan baik menerusi penubuhan Joint Development Areas (JDA) sebagaimana yang telah dilaksanakan dengan jayanya dengan Thailand, manakala ada juga diselesaikan menerusi pembabitan pihak ketiga iaitu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) seperti yang berlaku dalam tuntutan bertindih antara Malaysia dengan Singapura serta Indonesia.

Namun, dengan China, sudah pasti kita tidak mempunyai sebarang tuntutan bertindih dengan negara itu, kerana kita tidak berkongsi sempadan maritim dengan negara kuasa besar Asia itu, malah terletak ribuan kilometer antara satu sama lain.

Sebab itulah, Defence Security Asia tidak bersetuju dengan penggunaan terma “tuntutan bertindih” dengan China, kerana sememangnya tidak ada apa yang “bertindih” di antara kita dan Beijing.

Kapal China
(kredit pembaca Defence Security Asia)

 

Apa yang dilaksanakan oleh PETRONAS dan rakan-rakan PSC serta kontraktor selama ini berlaku di dalam (within) perairan Malaysia, sama ada di dalam perairan wilayah (Territorial Sea) atau perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sebagaimana yang digaris oleh United Nations Convention of the Law of the Sea (UNCLOS) 1982.

Sebagaimana yang digariskan di bawah UNCLOS 1982, perairan negara merangkumi jarak 12 Batu Nautika daripada pantai manakala perairan ZEE pula menjangkau sejauh 200 Batu Nautika.

Jikalau perairan China adalah hanya 200 Batu Nautika menurut UNCLOS 1982, bagaimanakah ia pada masa yang sama boleh memiliki “tuntutan bertindih” dengan Malaysia? How is that possible?

Sebagaimana Malaysia, China juga merupakan signatori atau negara yang menandatangani UNCLOS 1982 pada 1996, menjadikan negara itu diantara salah sebuah daripada 168 negara atau pihak yang menandatangani konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan undang-undang laut.

Jika Beijing merupakan sebuah negara yang telah bersetuju dengan UNCLOS 1982, yang menyatakan bahawa perairannya adalah sehingga 200 Batu Nautika, maka bagaimanakah China boleh mempunyai tuntutan bertindih dengan sebuah negara yang terletak ribuan kilometer daripadanya?

Sebab itulah kita tidak sepatutnya menggunakan terma “tuntutan bertindih” kerana kita sememangnya tidak mempunyai permasalahan “bertindih” dengan Beijing.

Kasawari
(kredit AMTI)

 

Jika kita tidak mempunyai sebarang “tuntutan bertindih” dengan China, mengapa pula kita mahu mengadakan rundingan dengan negara itu?

Apa yang ada hanyalah China menuntut wilayah kita secara unilateral dan kita sepatutnya tidak melayan tuntutan sebelah pihak Beijing itu dan janganlah pula kita “mengiktiraf” tuntutan itu dengan menggunakan terma tuntutan bertindih pula.

Selain itu, penggunaan terma “tuntutan bertindih” itu juga dibimbangi boleh mendatangkan implikasi perundangan kepada kita pada masa depan.

China menggunakan faktor sejarah untuk menuntut wilayah perairan Malaysia, tetapi undang-undang antarabangsa dan UNCLOS 1982 tidak pernah mengakui faktor sejarah sebagai basis dalam sebarang tuntutan wilayah.

Malah “Nine Dash Line” yang dicipta oleh Beijing dan didakwanya sebagai menunjukkan hak negara itu terhadap Laut China Selatan itu tidak pernah sesekali diiktiraf oleh mana-mana negara di dunia ini. – – DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...