Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Peroleh Lebih Banyak Akses Pangkalan Tentera Filipina Untuk “Tangani” China

Mempunyai akses kepada pangkalan-pangkalan tentera Filipina di utara negara dan di Pulau Palawan, yang terletak di selatan negara itu memberikan kelebihan kepada Amerika Syarikat sekiranya berlaku konflik di Laut China Selatan atau Taiwan.

0 3,228

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di dalam usaha untuk mempercepatkan lagi perlaksanaan perjanjian kerjasama pertahanan antara Manila dan Washington, kerajaan Filipina bersetuju untuk memberikan akses kepada empat lagi pangkalan tentera miliknya kepada Amerika Syarikat.

Penambahan akses pangkalan tentera Filipina kepada Amerika Syarikat  itu berlaku ketika  ketegangan di antara Washington dan Beijing berhubung isu-isu Laut China Selatan dan Taiwan semakin meningkat.

Keempat-empat lokasi baru yang diberikan akses kepada Amerika Syarikat adalah — Pangkalan Laut Camilo Osias di Sta Ana di Cagayan, Lapangan Terbang Lal-lo di Cagayan, Kem Melchor Dela Cruz di Gamu, Isabela dan  Balabac di Palawan.

Filipina
Tentera Amerika dan Filipina dalam satu latihan bersama.

 

Pangkalan Laut Camilo Osias di Sta Ana di Cagayan dan Lapangan Terbang Lal-Ilo juga di Cagayan hanya terletak kira-kira 500km daripada Kaoshiung, Taiwan manakala Balabac di Palawan untuk menangani pergerakan tentera China di Kepulauan Spratly.

Amerika Syarikat dan Filipina menyatakan bahawa mereka akan mempercepatkan lagi perlaksanaan perjanjian yang dikenali sebagai “Enhanced Defense Cooperation Agreement” (EDCA), dengan pembukaan empat lagi pangkalan tentera Filipina kepada Amerika Syarikat.

Persetujuan terbaru itu menambah akses Amerika Syarikat kepada pangkalan-pangkalan tentera Filipina kepada sembilan buah keseluruhannya berbanding lima buah sebelum ini.

Lima buah pangkalan tentera Filipina yang diberi akses kepada Amerika Syarikat sebelum ini adalah Pangkalan Udara Antonio Bautista di Palawan, Pangkalan Udara Basa di Pampanga, Fort Magsaysay di Nueva Ecija, Pangkalan Udara Lumbia di Cagayan de oro dan Pangkalan Udara Benito Ebuen di Cebu.

Sehingga kini, Amerika Syarikat telah melabur kira-kira US$82 juta (RM328 juta) untuk mempertingkatkan infrastruktur dan kemudahan di kelima-lima pangkalan tentera Filipina itu.

F-22 Raptor
Latihan bersama antara F-22 Raptor milik Amerika Syarikat dan FA-50 Filipina baru-baru ini.

 

Ditandatangani pada 2014, EDCA memberikan kebenaran kepada tentera Amerika Syarikat untuk membina kemudahan, membawa masuk peralatan dan kelengkapan serta melaksanakan latihan bersama di pangkalan-pangkalan tentera Filipina yang dipersetujui.

Perjanjian kerjasama ketenteraan itu juga membenarkan Amerika Syarikat untuk menukar anggota tentera untuk penempatan yang lebih lama tetapi kehadiran kekal mereka di Filipina tidak dibenarkan.

Kebanyakan daripada empat buah pangkalan tentera Filipina yang diberikan akses kepada Amerika Syarikat terletak di bahagian utara Filipina, yang berada hampir dengan Taiwan.

Satu daripada pangkalan tentera Filipina itu pula terletak di pulau Palawan yang berada hampir dengan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.

Mempunyai akses kepada pangkalan-pangkalan tentera Filipina di utara negara dan di Pulau Palawan, selatan negara itu memberikan kelebihan kepada Amerika Syarikat sekiranya berlaku konflik di Laut China Selatan atau Taiwan.

Filipina

Filipina merupakan di antara sekutu Amerika Syarikat yang paling lama, tetapi hubungan kedua-dua negara treati itu menjadi dingin ketika pemerintahan Presiden Rodrigo Duterte yang mahu menjalin hubungan yang lebih erat dengan Beijing.

Bagaimanapun dengan Filipina kini dibawah pemerintahan presiden baru, Ferdinand “Bong Bong” Marcos Jr, beliau mahukan hubungan ketenteraan yang lebih erat di antara Manila dan Washington.

Kedua-dua pihak menyatakan pemberian akses kepada lima buah lagi pangkalan tentera Filipina di bawah EDCA itu akan membantu kerahan lebih cepat bantuan untuk misi-misi kemanusiaan dan bantuan bencana alam di Filipina. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...