Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Jangan Katakan Ia Kawasan Bertindih. Itu Adalah Salah” – Kata Tok Mat

“Kita tidak boleh mengatakan bahawa (kawasan ZEE negara di Laut China Selatan) ini kawasan bertindih. Itu adalah salah. Laut China Selatan itu adalah kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kita dan banyak pencerobohan telah berlaku," kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Negara hari ini.

0 2,868

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan menegaskan bahawa kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara di Laut China Selatan bukan kawasan bertindih tetapi ia adalah kawasan perairan berdaulat milik Malaysia.

“Kita tidak boleh mengatakan bahawa (kawasan ZEE negara di Laut China Selatan) ini kawasan bertindih. Itu adalah salah.”

“Laut China Selatan itu adalah kawasan ZEE kita dan banyak pencerobohan telah berlaku. Berpuluh- puluh kali perairan kita telah dicerobohi dan kita tidak boleh berdiam diri dan melihat sahaja perairan kita dicerobohi,” kata beliau ketika menjawab beberapa soalan oleh anggota Dewan Negara hari ini.

The Monster
“The Monster” aka kapal pengawal pantai China, CCG 5901 sering menceroboh kawasan EEZ Malaysia.

 

Mohamad Hasan yang  juga dikenali dengan panggilan “Tok Mat” juga berkata bahawa terdapat satu kuasa yang sedang meletakan aset miliknya “24 jam satu hari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun” kawasan perairan ZEE negara.

Sehubungan dengan itu kata beliau, negara perlu memperkasakan aset-aset pertahanannya.

“Kita bukan kita hendak berperang, tetapi kita mahukan perairan dan kedaulatan kita dapat dipertahankan.”

“Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatannya selaras dengan United Nations Convention on The Law of the Sea 1982 (UNCLOS) kerana ia tekah diperakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai undang-undang laut,” kata Menteri Pertahanan.

Menurutnya, di dalam UNCLOS 1983 telah dinyatakan bahawa jarak 200 batu nautika daripada pantai adalah kawasan peraira ZEE milik negara.

“Sebab itulah, saya perkatakan bahawa kita tidak boleh sebut ianya kawassan bertindih kerana ia adalah kawasan perairan negara kita selaras dengan UNCLOS. Kita perlu dan mest mempertahankan kedaulatan perairan negara kita,” kata Tok Mat.

Beting Patinggi Ali
Sebuah kapal pengawal pantai China meronda di platform milik Malaysia pada Februari tahun lepas.

 

Malaysia menurut beliau sedang di dalam proses “capacity building” aset-aset pertahannya supaya ia mampu mempertahankan kedaulatan sempadan maritimnya.

“Jikalau orang letak kapal, tak akan kita letak perahu. Jikalau orang letak kapal kita letak kapal, orang letak korvet kita letak korvet, orang letak friget kita letak friget, bukan nak berperang tetapi kita jangan diperlekeh dek orang,” kata menteri Pertahanan.

Mohamad Hasan berkata, negara perlu memiliki keupayaan untuk meninjau dan melihat pergerakan-pergerakan yang berlaku di sekitar perairan negara terutamanya di kaawasan perairan yang sedang hangat diperkatakan pada ketika ini,Laut China Selatan.

Ini kerana Laut China Selatan banyak menyimpan khazanah negara,katanya.

“Di situ (Laut China Selatan) kepentingan negara adalah amat tinggi sekali, kepentinganya melebih  20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita.  Ada di sana (Laut China Selatan) adalah telaga minyak dan telaga gas milik kita,” kata beliau.

Beting Patinggi Ali
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

 

Menurut beliau, Kementerian Pertahanan baru-baru ini telah mengumumkan perolehan tiga buah dron Medium Altitude Long Endurance (MALE), yang akan beroperasi di Laut China Selatan sebagai “mata dan telinga” negara untuk memantauan perairan ZEE negara yang kaya dengan pelbagai sumber asli.

“Mata kita mesti memandang jauh. Apa yang berlaku kita mesti tahun sebelum ia berlaku,” katanya sambil menambah bahawa Kementerian Pertahanan juga telah bersetuju untuk memperolehi tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II yang dilengkapi dengan sistem pertahanan udara dan peluru berpandu anti-kapal. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...