Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Keperluan Mendesak Untuk Memiliki Pesawat Peronda Maritim/Anti-Kapal Selam (MPA/ASW)

Selain itu, satu lagi isu yang mungkin mendesak kita untuk mendapatkan pesawat MPA/ASW dengan kadar segera adalah pertambahan pemilikan kapal-kapal selam oleh negara-negara di rantau Asia Tenggara ini, terutamanya negara-negara yang berkongsi sempadan maritim dengan Malaysia.

0 5,510

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara maritim yang dikelilingi oleh perairan yang luas, maka perolehan pesawat-pesawat peronda maritim (MPA) yang berdedikasi bagi mengawasi sempadan maritim negara, di permukaan dan bawah permukaan, adalah amat penting.

Dibawah permukaan, pesawat-pesawat MPA ini juga memainkan peranan sebagai plaform “Anti-Submarine Warfare” (ASW) yang berkesan.

Menyedari kepentingan pesawat-pesawat MPA/ASW, Panglima Angkatan Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir turut mendambakan kehadiran pesawat-pesawat tugas khusus (specialise) itu di dalam inventori aset-aset pertahanan negara.

Kehadiran pesawat-pesawat MPA/ASW di dalam Angkatan Tentera Malaysia juga boleh meningkatkan keberkesanan operasi Angkatan Kapal Selam negara menerusi perlaksanaan latihan bersama, dimana kedua-dua aset (kapal selam dan pesawat MPA/ASW) dapat menyelami taktik, operasi dan kemampuan masing-masing.

“Yang paling kita risau dalah pesawat MPA/ASW. Di kawasan (perairan) yang cetek, ia menjadi kerisauan kita kerana (pesawat MPA/ASW) memang berbahaya dan pesawat jenis ini masih belum dimiliki oleh Angkatan Tentera Malaysia.”

Kapal Selam TLDM
KD Tunku Abdul Rahman dan helikopter Fennec TLDM.

 

“Jadi kita hendak berlatih dengan pesawat (MPA/ASW) kita sendiri, belum boleh lagi. Pesawat MPA/ASW  itu mampu meningkatkan keupayaan kita (Angkatan Kapal Selama menerusi latihan bersama). So itu adalah di antara cabaran dalam hal ini,” katanya.

Pada Ogos tahun lepas, Kementerian Pertahanan telah pun mengeluarkan tender bagi memperolehi dua buah pesawat MPA, dengan beberapa syarikat pembuat pesawat MPA telah pun menyatakan minat mereka untuk menyertai tender terbabit yang ditutup pada 3 Disember lepas.

Antaranya adalah syarikat pembuat kapalterbang Eropah, Airbus yang mengesahkan bahawa ia telah menawarkan pesawat Peronda Maritim (MPA) C-295 kepada TUDM.

Pesawat MPA C-295 ini dilengkapi dengan fully integrated tactical system (FITS) untuk kawalan misi.

Sistem ini terdiri daripada pelbagai sensor dan komponen termasuk search radar, electro-optic / infrared sensors (EO/IR), electronic support measures (ESM) / electronic intelligence system (ELINT), COMINT, magnetic anomaly detector (MAD), IFF interrogator, SATCOM, datalink dan Link-11.

Antara syarikat lain yang dijangka turut sama menyertai tender Kementerian Pertahanan itu  termasuklah syarikat Leonardo yang dijangka menawarkan ATR72 MPA dan PTDI daripada Indonesia dengan pesawat CN-235 MPA.

Leonardo ATR72
Pesawat ATR72 buatan syarikat Leonardo.

 

Sejak tender untuk MPA itu telah tamat pada 3 Disember lepas, tiada perkembangan lanjut mengenainya sama ada tender itu diteruskan atau ditangguh sementara negara menyelesaikan isu pandemik COVID-19.

Selain itu, satu lagi isu yang mungkin mendesak kita untuk mendapatkan pesawat MPA/ASW dengan kadar segera adalah pertambahan pemilikan kapal-kapal selam oleh negara-negara di rantau Asia Tenggara ini, terutamanya negara-negara yang berkongsi sempadan maritim dengan Malaysia.

Di dalam tempoh beberapa tahun akan datang ini, Tentera Laut Diraja Thailand dijangka akan memiliki tiga buah kapal selam buatan China, “S-26T” manakala Filipina juga telah pun menyuarakan hasrat mereka untuk memiliki kapal selam dan telah pun mengadakan rundingan dengan syarikat pembuat kapal selam “Scorpene” (rundingan masih diperingkat awal).

Pada ketika ini, Singapura merupakan pengguna kapal selam terbanyak di Asia Tenggara dengan dua buah kapal selam kelas-Challenger (sebelum ini kelas-Sjoormen) dan dua buah kelas-Archer (sebelum ini kelas-Vastergotland) yang diperolehinya pada tahun-tahun 90-an.

Type 218SG
Kapal selam Type 218SG Singapura

 

Pada 2013, republik itu membeli dua buah kapal selam Type 218SG daripada firma Jerman, Thyssen Krupp dan pada 2017, menambah pembelian dua lagi buah kapal selam Type 218SG, menjadikan keseluruhan pemilikan kapal selam Jerman kelas-Invincibleyang dikatakan tercanggih di Asia Tenggara itu kepada empat buah.

Indonesia, Vietnam dan Myanmar juga merupakan negara pengguna kapal selam di Asia Tenggara.

Ini belum lagi, jika kita mengambilkira isu Laut China Selatan yang semakin meruncing setiap hari akibat tindakan agresif China mendakwa hampir 90 peratus daripada kawasan perairan itu sebagai miliknya.

Kesemua ini menjadikan isu perolehan pesawat-pesawat MPA/ASW mahupun helikopter ASW amat mendesak bagi ini.

 

—  DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...