Pelbagai “Cabaran” Menanti Tok Mat Di Kementerian Pertahanan
Mohamad Hassan yang lebih dikenali sebagai "Tok Mat" berhadapan dengan beberapa isu pertahanan yang mendesak seperti projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang tergendala, sikap agresif Beijing di Laut China Selatan, aset Angkatan Tentera Malaysia yang "usang" dan lain-lain lagi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan diumumkan sebagai Menteri Pertahanan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelantikan Ahli Parlimen Rembau itu diumumkan Perdana Menteri pada sidang media khas di Putrajaya malam tadi.
Mohamad Hasan, 66, yang juga Timbalan Presiden UMNO pernah memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini sejak tahun 2004 sehingga 2018.
Lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat, beliau juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk N27, Rantau dan merupakan ketua pembangkang di DUN Negeri Sembilan.
Tok Mat berhadapan dengan beberapa isu besar di Kementerian Pertahanan, yang memerlukan penyelesaian segera.
Antara isu paling besar sudah semestinya kemelut menyelubungi pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion yang bermula pada 2013 tetapi sehingga kini sebuah kapal masih gagal disiapkan.
Episod “memalukan” melibatkan projek pembinaan enam buah kapal itu perlu ditangani secara tuntas, dengan TLDM perlu memperolehi penyelesaian terbaik.
TLDM yang berhadapan dengan isu “aset yang usang” amat memerlukan kapal-kapal perang itu dan Tok Mat perlu mencari jalan supaya pembinaan kapal-kapal itu dapat disambung semula dan pembinaan kapal LCS pertama dapat disiapkan dengan sesegera mungkin.
Satu lagi isu yang memerlukan perhatian Tok Mat adalah masalah “keusangan aset” TLDM, dengan Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Sany sendiri menyatakan bahawa kira-kira 61 peratus atau lebih daripada separuh aset-aset yang dimilikinya pada ketika ini beroperasi melebihi had umur asal rekabentuknya dan telah usang.
Rakyat sudah semestinya tidak mahu melihat TLDM menjadi sebuah angkatan laut yang “usang”.
Masalah keusangan aset ini bukan sahaja membelenggu TLDM, tetapi ia melibatkan kedua-dua cabang angkatan tentera yang lain iaitu, tentera darat dan juga tentera udara.
Selain itu Menteri Pertahanan yang baru itu juga perlu berhadapan dengan sikap agresif tentera China di Laut China Selatan, sebagaimana yang telah dibuktikan oleh kapal-kapal perondanya yang kerap menceroboh perairan negara terutamanya kawasan yang kaya dengan minyak dan gas di Beting Patinggi Ali.
Jika Menteri Pertahanan sebelum ini mengambil pendekatan “berlembut” apabila berurusan dengan China, rakyat mahu melihat Tok Mat bertegas dengan Beijing yang seolah-olah tidak mengendahkan pandangan dan bantahan negara-negara littoral Laut China Selatan.
Sudah semestinya, pendekatan “big brother” apabila berurusan dengan China tidak boleh diulangi.
Rakyat Malaysia juga mahu usaha permodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja diteruskan, malah diperhebatkan lagi kerana negara-negara jiran sudah agak jauh meninggalkan kita daripada segi permodenan angkatan tentera mereka.
Salah satu cara untuk memastikan ATM terus dipermodenkan menerusi perolehan aset-aset baru adalah dengan meningkatkan secara berperingkat peruntukan tahunan sektor pertahanan daripada 1 peratus kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Dengan penambahan peruntukan pertahanan, usaha memodenkan ATM dan memastikan ia dilengkapi dengan aset-aset terkini dapat dilaksanakan.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan Saifuddin Nasution Ismail sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru dan Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Luar yang baru. — DSA
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Comments are closed.