Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TLDM Terima Banyak Permohonan Negara Asing Adakan Latihan Bersama Kapal Selam

Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir berkata, tawaran daripada negara-negara luar untuk mengadakan latihan bersama dengan kapal-kapal selam negara itu mungkin kerana mereka “teruja” untuk berlatih dengan kapal selam “Scorpene” yang dimiliki TLDM.

7,811

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Angkatan Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima banyak tawaran dan permohonan daripada negara-negara luar yang mahu mengadakan latihan dengan kapal-kapal selam kelas-Perdana Menteri negara, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak.

Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir berkata, tawaran daripada negara-negara luar untuk mengadakan latihan bersama dengan kapal-kapal selam negara itu mungkin kerana mereka “teruja” untuk berlatih dengan kapal selam “Scorpene” yang dimiliki TLDM.

Ini kerana katanya, tidak banyak negara di dunia ini yang memiliki dan mengoperasi kapal selam “Scorpene” sebagaimana TLDM.

Hanya empat buah negara di seluruh dunia mengoperasi kapal selam “Scorpene” yang dibina oleh firma DCNS/Navantia dan TLDM merupakan satu-satunya tentera laut di Asia Tenggara yang memiliki kapal selam buatan Perancis/Sepanyol  itu.

“Dalam tempoh 12 tahun operasi kapal selam ini, terdapat banyak tawaran yang diterima (oleh TLDM) daripada negara-negara luar, permohonan untuk menghantar kapal selam mereka ke perairan negara kita dan melaksanakan latihan dengan kapal selam kita.”

Kapal Selam TLDM

“Kita sedia maklum bahawa kapal selam Scorpene ini tidak banyak di dalam dunia, hanya empat buah negara yang mengoperasikannya dan dirantau kita hanya Malaysia (mengoperasikannya). Jadi mereka begitu excited untuk melaksanakan latihan (kapal selam) dengan kita,” kata Mohd Razib dalam wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan menerusi You Tube dan Facebook hari ini bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

Ada permohonan untuk mengadakan latihan kapal selam bersama daripada negara-negara luar yang diterima oleh TLDM tetapi ada juga yang terpaksa ditolak oleh mereka, katanya.

Antara negara-negara sahabat di mana TLDM melakukan “interaksi secara face-to-face” di daratan selain mengadakan latihan di lautan termasuklah Australia, Amerika Syarikat, New Zealand dan United Kingdom.

Beliau berkata, walaupun TLDM baru 12 tahun mengoperasikan kapal selam dan angkatan kapal selamnya disifatkan masih muda, tetapi ia telah membuktikan kemampuannya didalam mengoperasikan kapal selam di dalam tempoh yang singkat.

“Dari segi keupyaan tempur, kita telah berjaya membuktikan keupayaan dalam beberapa siri latihan penembakan yang telah kita lakukan, sebagai contoh kapal-kapal selam kita telah melakukan dua penembakan peluru berpandu Exocet SM39.”

“Kita juga pernah lakukan penembakan torpedo yang tepat mengenai sasaran pada 2014,” kata Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM itu.

TLDM
Gambar kredit TLDM

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.