Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Timbalan Menteri Keselamatan China, Dong Jingwei Berpaling Tadah Ke Amerika Syarikat???

Jingwei dikatakan terbang ke Amerika Syarikat daripada Hong Kong pada 10 Februari lepas.

0 3,102

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak minggu lepas, khabar angin bertiup-kencang dikalangan pemerhati hal ehwal China yang mendakwa bahawa Timbalan Menteri Keselamatan negara Komunis itu, Dong Jingwei dan anak perempuannya, Dong Yang telah berpaling tadah ke Amerika Syarikat.

Jingwei, yang amat rapat dengan Presiden Xi Jinping dikatakan terbang ke Amerika Syarikat daripada Hong Kong pada 10 Februari lepas.

Sekiranya khabar angin dan spekulasi itu terbukti benar, Dong merupakan pegawai kerajaan China paling tinggi kedudukannya yang berpaling tadah ke negara luar dalam sejarah negara itu, membawa lari pelbagai “rahsia” dan maklumat berharga tentang negara Komunis itu.

Selepas berpaling tadah, Jingwei dikatakan telah menyalurkan maklumat “penting” kepada Amerika Syarikat tentang Wuhan Institute of Virology yang mengubah pendirian pentadbiran Presiden Jo Biden tentang asal-usul penyakit COVID-19.

Sebagaimana yang kita tahu, Wuhan Institute of Virology ini didakwa merupakan tempat dimana bermulanya penyakit COVID-19, dengan salah sebuah makmalnya merupakan tempat dimana China melakukan ujikaji untuk menghasilkan virus itu.

Dong Jingwei dan anak perempuannya.

 

Sejak beberapa minggu lepas, pentadbiran Presiden Jo Biden telah meningkatkan tekanannya terhadap China untuk membenarkan pihak antarabangsa melakukan siasatan mendalam terhadap institut virologi itu.

Amerika Syarikat juga mahukan China membekalkan data-data penting mengenai kakitangan di institut virologi itu termasuk rekod kesihatan mereka kerana terdapat dakwaan ada kakitangannya jatuh sakit akibat penyakit “misteri” lama sebelum dunia mengenali COVID-19.

Ok siapa sebenarnya Jingwei ini, beliau dikatakan merupakan pegawai kanan Kementerian Keselamatan China sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri pada April 2018 untuk mengetuai agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap hal ewal perisikan negara itu.

Beliau dilaporkan bertanggungjawab terhadap aspek “counter-intelligence” iaitu usaha menangkap perisik-perisik asing atau menangani operasi oleh agensi perisikan asing terhadap China.

Maka sebab itulah, dunia Barat amat berharap supaya khabar-khabar angin tentang “pembelotan” Jingwei itu disifatkan betul.

Menurut laporan, “pembelotan” Jingwei telah ditimbulkan oleh pegawai-pegawai China ketika pertemuan pegawai Amerika Syarikat dan China di Alaska pada Mac lepas, sebagaimana didakwa oleh Dr Han Lian Chao yang merupakan bekas pegawai kanan Kementerian Luar China sebelum beliau berpaling tadah selepas insiden Tiananmen Square pada 1989.

Menurut Dr Han, pada pertemuan itu Menteri Luar China Wang Yi AKA “Big Brother” dan Ketua Hal Ehwal Luar Parti Komunis China, Yang Jiechi meminta Amerika Syarikat supaya memulangkan balik Jingwei kepada negara asalnya.

Bagaimanapun, Setiausaha Luar Amerika Syarikat Anthony Blinken enggan melayan tuntutan China itu.

Sidang kemuncak Amerika Syarikat dan China di Alaska pada Mac lepas.

 

Walauapapun yang diperkatakan tentang “pembelotan” Jingwei dan anak perempuannnya, usaha untuk mengesahkan kejadian itu memerlukan masa yang panjang kerana ia adalah suatu yang yang amat sensitive.

Ini kerana bukan mudah untuk China mengakui pegawai paling kanannya telah berpaling tadah kerana ia melibatkan maruahnya terutama di hadapan rakyatnya sendiri.

Bagi pihak Amerika Syarikat pula, ia mungkin mahu mendiamkan diri dan tidak menjawab sebarang pertanyaan tentang Jingwei dan membiarkan China berterusan tertanya-tanya tentang kedudukan Jingwei itu sendiri.

Sementara China terus tertanya-tanya tentang kedudukan Jingwei, Amerika Syarikat boleh menjalankan kerja-kerja “counter-intelligence-nya” dengan senyap dan lebih berkesan.

Sementara itu, jika Jingwei memberikan senarai nama perisik-perisik China yang berada di Amerika Syarikat, keseluruhan operasi perisikan negara itu di Amerika Syarikat bakal berhadapan dengan “keruntuhan”.

Usaha bertahun-tahun China membina rangkaian perisikannya di Amerika Syarikat bakal musnah dengan begitu sahaja.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...