Thailand Peroleh JAS39 Gripen E/F Kerana Mahu Tangani “Pencerobohan” Pesawat Pejuang Myanmar?
Tindakan pesawat-pesawat pejuang buatan Russia milik Tentera Udara Myanmar menceroboh ruang udara Thailand dalam misi pengebomannya terhadap kedudukan kumpulan pejuang anti-kerajaan itu telah memaksa Bangkok mengerah pesawat-pesawat pejuang termasuk F-16 yang telah berusia ke kawasan sempadan untuk berhadapan pesawat pejuang Tentera Udara Myanmar.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Thailand dilaporkan memperolehi pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F buatan Sweden kerana mahu meningkatkan kemampuan tentera udaranya untuk membolehkan ia bersaing dengan permodenan tentera udara negara jirannya, Myanmar.
Negara jirannya itu, Myanmar baru sahaja menerima beberapa pesawat pejuang Su-30 daripada Russia.
Selain pesawat pejuang Su-30 yang baru diterimanya, Tentera Udara Myanmar juga mengoperasikan pesawat pejuang MiG-29 juga buatan Russia serta pesawat pejuang JF-17 buatan China dan Pakistan.
Thailand dikatakan bimbang sekiranya perang saudara di Myanmar yang semakin sengit akan “melimpah” ke dalam wilayahnya terutama di kawasan yang terletak berhampiran dengan sempadan Thailand-Myanmar.
Malah beberapa bulan lalu, pesawat-pesawat pejuang Myanmar terutamanya MiG-29 telah dikesan menceroboh ruang udara Thailand dalam misi memburu dan mengebom kedudukan pejuang-pejuang kumpulan anti-kerajaan Myanmar itu.
Penganalisis berkata Tentera Udara Myanmar telah meningkatkan serangan udara terhadap kedudukan kumpulan pejuang anti-kerajaan sejak 2022 negeri-negeri seperti Kachin, Karen,Kerenni Shan dan Chin.
Peningkatan serangan udara itu adalah untuk mematahkan semangat dan memecah-belahkan perpaduan kumpulan-kumpulan pejuang anti-kerajaan Myanmar itu.
Tindakan pesawat-pesawat pejuang buatan Russia milik Tentera Udara Myanmar menceroboh ruang udara Thailand dalam misi pengebomannya terhadap kedudukan kumpulan pejuang anti-kerajaan itu telah memaksa Bangkok mengerah pesawat-pesawat pejuang termasuk F-16 yang telah berusia ke kawasan sempadan untuk berhadapan pesawat pejuang Tentera Udara Myanmar.
Malah Angkatan Tentera Thailand telah dikritik hebat kerana dianggap tidak berkeras dalam menangani pencerobohan pesawat-pesawat pejuang Myanmar terhadap ruang udara Thailand.
Tentera Udara Diraja Thailand memiliki kira-kira 50 buah pesawat pejuang F-16 tetapi terdiri daripada varian-varian yang telah berusia serta 11 buah pesawat pejuang JAS39 Gripen C/D buatan Saab daripada Sweden.
Sebab itulah ia memerlukan varian terkini JAS39 Gripen E/F untuk menangani sebarang kemungkinan di sempadannya dengan Myanmar terutamanya kombo pesawat pejuang Su-30, MiG-29 dan JF-17 milik tentera udara negara jirannya.
Pada Sept tahun lepas, Menteri Perdagangan Myanmar Charlie Than berkata, negara Asia Tenggara itu telah menerima dua daripada enam pesawat pejuang Su-30SME itu.
Kemungkinan besar bilangan pesawat pejuang Su-30SME yang diterima oleh Myanmar itu telah bertambah pada tahun ini berbanding dua buah yang diterimanya pada tahun lepas.
Myanmar dan Russia menandatangani kontrak perolehan enam buah pesawat pejuang Su-30SME pada tahun 2018.
Pesawat pejuang Sukhoi Su-30SME yang diperolehi oleh Myanmar merupakan varian pesawat pejuang Su-30 “Flanker” yang popular dan turut digunakan oleh beberapa negara lain di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Vietnam.
Pada 2018 juga, Myanmar bersetuju untuk memperolehi 16 buah pesawat pejuang JF-17 “Thunder, menjadikan ia negara pasaran eksport yang pertama bagi pesawat pejuang terbabit yang turut pernah ditawarkan kepada Malaysia.
Pesawat-pesawat pejuang JF-17 “Thunder” milik Tentera Udara Myanmar itu dibangunkan secara bersama oleh syarikat China, Chengdu Aircraft Corporation (CAC) dan Pakistan Aeronautical Complex (PAC).
Myanmar memperolehi 12 buah pesawat pejuang MiG-29 pada 2001.
Beberapa hari lalu, Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) mengumumkan secara rasmi pemilihan pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F buatan syarikat Sweden, Saab Group sebagai pesawat pejuang terbarunya, mengatasi F-16 Block 70/72 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat.
Pemillihan pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F oleh RTAF itu telah diumum sendiri oleh panglimanya Air Chief Marshall Phanphakdee Phattanakul menerusi satu kenyataan.
Jawatankuasa Pemilihan Tentera Udara Diraja Thailand membuat keputusan pemilihan pesawat JAS39 Gripen E/F selepas kedua-dua pihak, Sweden dan Amerika Syarikat mengemukakan maklumat tambahan berkenaan tawaran mereka pada 20 Ogos lalu. — DSA
Comments are closed.