Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Udara Thailand Jadikan Pertempuran Udara BVR Pakistan-India Sebagai Bahan Kajian

Sebagaimana gambar yang tersebar dalam media sosial Tentera Udara Diraja Thailand telah mengadakan seminar bertajuk “Analisis Konflik Udara India-Pakistan pada 7-8 Mei 2025” (Analysis of India-Pakistan Air Conflict May 7-8 2025.”

0 4,639
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pertembungan pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan dan Tentera Udara India awal bulan lepas yang disifatkan sebagai “pertembungan Beyond Visual Range (BVR) terbesar dalam sejarah” telah menjadi bahan kajian tentera-tentera udara di seluruh dunia.
Terbaru adalah Thailand di mana tentera udara negara Asia Tenggara itu dilaporkan telah mengadakan seminar bagi membincangkan pertembungan BVR di antara pesawat-pesawat pejuang Pakistan dan India.
Sebagaimana gambar yang tersebar dalam media sosial Tentera Udara Diraja Thailand telah mengadakan seminar bertajuk “Analisis Konflik Udara India-Pakistan pada 7-8 Mei 2025” (Analysis of India-Pakistan Air Conflict May 7-8 2025.”
Seminar itu juga menyifatkan konflik udara di antara kedua-dua negara itu sebagai “konflik udara BVR terbesar dalam sejarah” (largest BVR air combat in history).
Menurut stesen kabel terkenal Amerika Syarikat bersumberkan pegawai-pegawai kanan Pakistan menyatakan “pertembungan” di antara pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India dan Tentera Udara Pakistan disifatkan sebagai “pertempuran udara terbesar dalam sejarah” melibatkan 125 buah pesawat pejuang daripada kedua-dua negara.
CNN menyatakan pertempuran udara terbesar dalam sejarah itu berlaku walaupun pesawat-pesawat pejuang India dan Pakistan berada di dalam ruang udara masing-masing.
“Pesawat-pesawat pejuang kedua-dua negara bertempur di ruang udara pada jarak 160km, dengan pesawat-pesawat pejuang India dan Pakistan melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara terhadap masing-masing,” menurut sumber keselamatan Pakistan yang dipetik oleh CNN.
J-10C
J-10C Pakistan
Pesawat-pesawat pejuang kedua-dua negara itu bertempur di dalam keadaan Beyond Visual Range (BVR), dengan bergantung kepada radar AESA masing-masing dan peluru berpandu udara-ke-udara masing –masing.
Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar menyatakan bahawa pesawat-pesawat pejuang Pakistan telah berhadapan dengan sekurang-kurangnya di antara 75 hingga 80 buah pesawat pejuang India pada pertempuran udara terbesar dalam sejarah itu.
“Dan kami telah berjaya menembak jatuh lima daripada pesawat-pesawat pejuang India itu,” kata beliau.
Sebagaimana dilaporkan sebelum ini, di dalam pertempuran udara tersebut India didakwa telah kehilangan enam buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale buatan Dassault Aviation, sebuah Sukhoi Su-30MKI, MiG-29 dan Mirage 2000.
Rafale yang diperolehi oleh India pada 2016 merupakan pesawat pejuang termoden Tentera Udara India.
Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mendakwa pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) itu telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.
“Pesawat pejuang Rafale yang digembar-gemburkan (tentang kehebatannya) telah gagal dengan amat teruk dan juruterbang Tentera Udara India membuktikan bahawa mereka tidak mahir,” kata beliau.
Salah sebuah pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan dilaporkan telah menembak jatuh pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India daripada jarak sejauh 182 km menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh Beyond Visual Range (BVR) PL-15, menurut sumber yang dipetik oleh wartawan pertahanan Pakistan.
Rafale
Pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India
Beliau juga mendakwa bahawa jarak penembakan jatuh pesawat pejuang Tentera Udara India sejauh 182 km itu adalah “paling jauh dalam sejarah aeroangkasa”, tetapi tidak memberikan sebarang sumber kepada dakwaanya itu.
Sebelum ini, terdapat laporan pesawat pejuang Su-35S Russia telah menembak jatuh pesawat pejuang MiG-29 Ukraine pada jarak sejauh 213 km menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh hypersonik R-37M yang dikatakan mampu membedil sasaran sejauh 400km.
Dibangunkan oleh China Airborne Missile Academy (CAMA), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
Pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan itu dipercayai masih berada di dalam ruang udara negara itu ketika ia bertindak melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 terhadap pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India ketika hari-hari pertama konflik di antara kedua-dua negara kuasa nuklear itu.
Tentera Udara Pakistan telah menerima pesawat-pesawat pejuang J-10C buatan China pada 4 Mac 2022.
Enam unit pertama pesawat ini tiba di Pangkalan Tentera Udara Minhas di Kamra, Pakistan, dan secara rasmi ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Udara Pakistan (PAF) pada 11 Mac 2022.
Pesawat-pesawat ini membentuk skuadron No. 15 “Cobras”
Perolehan J-10C ini merupakan sebahagian daripada usaha Pakistan untuk meningkatkan kemampuan pertahanan udaranya, khususnya sebagai tindak balas terhadap perolehan pesawat Rafale oleh India.
PL-15
PL-15E Beyond Visual Range Air-to-Air Missile (BVRAAM)
J-10C adalah pesawat pejuang generasi 4.5 yang dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA), sistem peperangan elektronik canggih, dan keupayaan untuk membawa peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh seperti PL-15.
Pakistan pada asalnya mengumumkan pembelian 25 pesawat J-10C pada Disember 2021, dengan penghantaran pertama dijadualkan sebelum sambutan Hari Republik Pakistan pada 23 Mac 2022.
Sejak itu, Pakistan telah menerima lebih banyak pesawat J-10C dan dilaporkan sedang dalam rundingan untuk memperoleh sehingga 60 unit keseluruhannya, bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
Sementara itu, seorang pakar kajian aeroangkasa Amerika Syarikat menyatakan bahawa elemen terpenting dalam pertembungan udara dalam konflik Pakistan-India adalah bagaimana Tentera Pakistan berjaya mengintergrasi senjata buatan China miliknya serta sistem pertahanan untuk menembak jatuh pesawat pejuang Tentera Udara India.
Michael Dahm yang merupakan seorang Felo Kanan Institut Kajian Aeroangkasa Mitchell sebagaimana dipetik dalam portal pertahanan “Air & Space Forces Magazine” berkata bahawa keberkesanan “kill chain” adalah lebih penting berbanding kemampuan pesawat-pesawat pejuang tertentu.
“Pakistan mampu mengintegrasikan radar darat dengan pesawat pejuang dan pesawat amaran awal (AWACS),” kata Dahm.
“Angkatan Tentera Udara Pakistan telah melancarkan serangan menggunakan ‘A’ yang dilancarkan oleh ‘B’ dan dipandu oleh ‘C’,” tambahnya sambil memetik laporan bertarikh 12 Mei daripada China Space News, sebuah majalah industri pertahanan milik China.
Dalam dunia peperangan moden yang berasaskan kelajuan, ketepatan dan maklumat masa nyata, konsep “kill chain” telah menjadi elemen teras dalam memastikan kejayaan taktikal dan strategik di medan pertempuran.
Secara ringkasnya, “kill chain” merujuk kepada rangkaian proses berturutan yang diperlukan untuk mengesan, mengenal pasti, menyerang, dan meneutralkan sasaran musuh dengan pantas dan berkesan.
Rantaian ini lazimnya melibatkan enam fasa utama: Find (mengesan), Fix (mengesahkan lokasi sasaran), Track (menjejaki pergerakan sasaran), Target (mengenal pasti dan menetapkan sasaran), Engage (menyerang sasaran) dan Assess (menilai keberkesanan serangan).
Pakistan
Saab 2000 Erieye AEWC
Dalam era peperangan berasaskan data dan kecerdasan buatan, setiap fasa dalam “kill chain” kini diperkukuh oleh sistem penderiaan jauh (remote sensing), dron ISR, komunikasi satelit, rangkaian data berkelajuan tinggi dan sistem persenjataan berautonomi.
Bercakap pada program podcast, Dahm berkata “kill chain” berkemungkinan bermula apabila sistem radar darat mungkin sistem pertahanan udara atau sistem radar yang berjaya mengesan sasaran India (pesawat pejuang).
Selepas itu kata beliau, sebuah pesawat pejuang J-10C buatan China milik Tentera Udara Pakistan melancarkan peluru berpandu dari jauh dan akhirnya, pesawat amaran awal dan kawalan (AEWC) menggunakan midcourse datalink untuk memandu (guide) peluru berpandu itu dan membedil pesawat pejuang India.
“Ia adalah tembakan jarak jauh, Beyond Visual Range, berkemungkinan menggunakan varian eksport peluru berpandu udara-ke-udara PL-15E,” kata beliau.
Dibangunkan oleh China Airborne Missile Academy (CAMA), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
Rangkaian “kill chain” yang digunakan oleh tentera Pakistan adalah sama seperti yang sedang dibangunkan oleh Amerika Syarikat melalui konsep Combined Joint All Domain Command and Control (CJADC2) bagi menyelaraskan operasi antara ketiga-tiga cabang angkatan tenteranya.
“Apabila—dan jika—kita memperoleh maklumat lebih terperinci mengenai insiden (pertempuran udara semasa konflik Pakistan-India) itu, ia mungkin akan mendedahkan sejauh mana keupayaan integrasi sistem yang dimiliki oleh Pakistan berbanding tahap integrasi sistem yang dimiliki oleh India,” kata Dahm.
Menurut beliau, tentera Pakistan dipercayai telah mengubahsuai beberapa pesawat AEWC China kepada pesawat EW (Peperangan Elektronik), tetapi tidak diketahui sama ada pesawat itu telah memanipulasi keadaan elektromagnetik.
“Apa yang boleh kita simpulkan daripada perbandingan teknologi China dan teknologi Barat? Mungkin tidak banyak,” kata Dahm.
“Tetapi apa yang lebih penting sebenarnya ialah keupayaan sistem yang saling berhubungan, tahap latihan, taktik digunakan… dan semua elemen lain yang sukar diukur,” tambahnya, merujuk kepada aspek tersebut sebagai lebih signifikan berbanding hanya membandingkan kemampuan pesawat pejuang J-10C dengan pesawat pejuang Rafale semata-mata.
ZDK-03
Pesawat AEWC Pakistan ZDK-03
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun saiz Tentera Udara India lebih besar berbanding Pakistan, ia terdiri daripada gabungan pelbagai teknologi buatan Barat, Israel, Russia dan India sendiri, yang menyukarkan proses integrasi sistem secara menyeluruh.
Tentera Udara India (IAF) memiliki antara inventori pesawat pejuang paling pelbagai di dunia, merangkumi pelbagai platform dari pelbagai negara pengeluar, yang walaupun memperkukuh keupayaan serangan dari segi bilangan, turut menimbulkan cabaran besar dari sudut integrasi sistem dalam doktrin “kill chain” moden.
Antara pesawat pejuang utama dalam perkhidmatan IAF termasuk Rafale buatan Perancis, Sukhoi Su-30MKI buatan Russia, Mirage 2000 dari Dassault Aviation, MiG-29 Fulcrum juga dari Rusia, Tejas buatan tempatan, serta sejumlah kecil pesawat Sepecat Jaguar buatan British.
Kepelbagaian ini menjadikan India antara satu-satunya negara yang mengoperasikan pesawat pejuang dari empat sumber utama — Barat (Perancis dan UK), Timur (Russia), Israel (melalui sistem avionik dan persenjataan), dan buatan tempatan.
Walaupun setiap platform memiliki kelebihan tersendiri, perbezaan sistem avionik, protokol komunikasi data, sistem peperangan elektronik (EW), dan kemampuan integrasi dengan sistem radar serta pesawat amaran awal (AWACS) menjadikan koordinasi masa nyata antara aset-aset ini satu cabaran kompleks.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave a Reply