Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Udara Indonesia Sah Perolehi UCAV “Bayraktar TB2” Dari Turkiye

Pengesahan tentang perolehan Bayraktar TB2 oleh Indonesia dilakukan oleh Ketua Staff Tentera Udara negara itu, Mohamad Tommy Harjono baru-baru ini di Jakarta, tidak lama selepas beliau pulang daripada lawatan ke Turkiye dimana beliau turut berkunjung ke Baykar Technology pada Jun lalu.

0 2,208

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia muncul sebagai negara terbaru yang mengesahkan perolehan Unmanned Combat Aircraft Vehicle (UCAV) “Bayraktar TB2” yang dibangunkan oleh syarikat pembuat dron daripada Turkiye, Baykar Technology.

Pengesahan dilakukan oleh Ketua Staff Tentera Udara Indonesia Mohamad Tommy Harjono baru-baru ini di Jakarta, tidak lama selepas beliau pulang daripada lawatan ke Turkiye dimana beliau turut berkunjung ke Baykar Technology pada Jun lalu.

Ketika berkunjung ke Baykar Technology, beliau turut mengambil kesempatan untuk melakukan pemerhatian lebih mendalam terhadap kemampuan UCAV Bayraktar TB2 yang telah pun terbukti dalam beberapa konflik di merata dunia sebelum ini.

Semasa di Turkiye, Tommy turut dilaporkan mengkaji kesesuaian UCAV Bayraktar TB2 untuk kegunaan tentera Indonesia.

Beliau mengesahkan bahawa Tentera Udara Indonesia akan memperolehi dron Bayraktar TB2, UCAV jenis MALE (Medium Altitude Long Endurance) yang mula memasuki perkhidmatan Angkatan Tentera Turkiye pada 2014.

Bayraktar TB2
UAV Bayraktar TB2 buatan syarikat Baykar Tachnology daripada Turki telah menunjukkan kemampuannya di Nagorno Karabakh.

 

Tommy mengesahkan bahawa Tentera Udara Indonesia akan memperolehi UCAV Bayraktar TB2, yang bersesuaian digunakan untuk operasi-operasi surveillance dan reconnaissance , memberikan kelebihan yag besar dalam sistem pertahanan udara negara itu.

UCAV Bayraktar TB2 itu berkemampuan terbang selama 27 jam tanpa henti dan membawa pelbagai peralatan elektronik yang canggih serta sistem persenjataan termasuk peluru-peluru berpandu anti-kereta kebal.

Disebabkan eksploitasinya di beberapa konflik, jualan UCAV Bayraktar TB2 telah melonjak dengan Baykar Technology mendedahkan bahawa mana-mana pihak yang mahu mendapatkan dron itu perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mendapatkannya.

UCAV Bayraktar TB2 bakal dimiliki oleh Indonesia akan bergandingan dengan dron-dron lain yang kini dioperasikan oleh Angkatan Tentera Indonesia termasuk “ANKA” daripada Turkish Aerospace Industries (TAI) dan CH-4 buatan China.

Indonesia dipercayai menjadi negara ke-29 atau 30 di dunia menjadi pelanggan UCAV buatan Turkiye itu yang terkenal di seluruh dunia.

Pada Februari tahun lepas, Kementerian Pertahanan Indonesia dilaporkan telah membuat keputusan untuk memperolehi dua jenis UCAV daripada Turkiye iaitu Bayraktar TB2 dan ANKA untuk kegunaan ketiga-tiga cabang Tentera Nasional Indonesia (TNI).

ANKA dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Bayraktar TB2
Bayraktar TB2  juga digunakan oleh Ukraine.

 

Menurut laporan versi online akhbar negara itu, Republika, sumber di Kementerian Pertahanan Indonesia telah mengesahkan pembelian kedua-dua UCAV buah Turkiye itu untuk ketiga-tiga cabang Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Ia berkata bahawa Kementerian Kewangan negara itu telah bersetuju dengan permintaan daripada Kementerian Pertahanan supaya pembelian UCAV buatan Turkiye itu dilaksanakan menggunakan kaedah pinjaman daripada pembiaya luar negeri.

Perolehan UCAV itu adalah salah satu daripada 16 program pembelian sistem persenjataan TNI yang dibenar menggunakan pinjaman luar negeri pada 2023.

Laporan menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan Indonesia membenarkan tentera udara negara itu memperolehi pinjaman sehingga US$200 juta (RM80 juta) untuk memperolehi UCAV dan siling pinjaman sehingga US$38 juta (RM152 juta) bagi perolehan sistem persenjataannya.

Tentera Udara Indonesia dijangka akan memperolehi peluru berpandu MAM-L  yang dibangunkan oleh ROKETSAN bagi digandingkan dengan UCAV yang bakal diperolehinya daripada Turkiye itu. — DSA

 

Comments
Loading...