Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Udara Amerika Mahu Tamatkan Khidmat 32 Buah F-22 “Raptor”, Tapi Kongres Bangkang

Anggota-anggota Kongres Amerika Syarikat itu enggan membenarkan USAF menamatkan khidmat pesawat pejuang generasi kelima F-22 itu kerana bimbang program pembangunan pesawat air dominance generasi keenam (Next Generation Air Dominance – NGAD) akan berdepan dengan kelewatan.

0 807

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) mahu membersarakan khidmat kira-kira 32 buah pesawat pejuang air-dominance F-22 “Raptor” miliknya bermula daripada tahun 2030 tetapi tindakan itu dihalang oleh anggota-anggota Kongres negara itu.

Anggota-anggota Kongres Amerika Syarikat itu enggan membenarkan USAF menamatkan khidmat pesawat pejuang generasi kelima F-22 itu kerana bimbang program pembangunan pesawat air dominance generasi keenam (Next Generation Air Dominance – NGAD) akan berdepan dengan kelewatan.

Kongres Amerika Syarikat mahukan kesemua 32 buah pesawat pejuang F-22 Block 20 itu terus terbang melepasi tahun 2030 atau sehingga pesawat-pesawat NGAD itu telah bersedia untuk mengambil-alih peranan yang dimainkan oleh F-22 sebelum ini.

Mereka mahukan 32 buah pesawat pejuang F-22 Block 20 yang mahu dibersarakan kerana tidak dilengkapi dengan sistem terkini dan hanya digunakan untuk latihan itu terus berkhidmat.

Malah mereka mahukan USAF diberikan peruntukan kewangan yang besar bagi membolehkan F-22 Block 20 itu dilengkapi dengan peralatan dan sistem moden setanding dengan F-22 Block 30/35 dan pesawat-pesawat pejuang di dalam USAF yang lain seperti F-35 dan F-15EX.

F-22 Raptor
F-22 Raptor.

 

Pada ketika ini, USAF memiliki 185 pesawat pejuang F-22 dengan 32 daripadanya adalah daripada varian Block 20 yang tidak dilengkapi dengan peralatan terkini dan lebih banyak digunakan untuk latihan.

Oleh kerana varian F-22 Block 20 itu tidak dilengkapi dengan sistem dan komponen terkini seperti IRST (Infra Red Search Tracking), maka sebab itulah ia tidak dikerahkan kepada misi-misi di barisan hadapan dan hanya digunakan untuk latihan.

Dengan penamatan khidmat 32 pesawat pejuang F-22 Block 20, USAF hanya mengekalkan 153 F-22 untuk kegunaannya.

Bukan sahaja Kongres enggan menamatkan khidmat 32 buah pesawat pejuang F-22 Block 20 itu, tetapi ia bersedia untuk mengeluarkan belanja sebanyak USD$1.6 billion (RM7.53 billion) untuk menaiktaraf pesawat-pesawat F-22 Block 20 itu kepada varian F-22 Block 30/35.

Bajet untuk menaiktaraf sebuah pesawat pejuang F-22 Block 20 ke varian F-22 Block 30/35 dianggarkan sebanyak USD$50 juta (RM235 juta) bagi satu unit.

F-22 Raptor
F-22 Raptor

 

USAF mahu membelanjakan wang sebanyak USD$1.6 billion kepada model pesawat pejuang yang baru bagi menghadapi cabaran daripada pesawat-pesawat pejuang moden miliknya musuh seperti J-20 “Mighty Dragon” dioperasikan oleh China dan Su-57 “Felon” milik Russia.

Amerika Syarikat dilapor membelanjakan kira-kira US$64 bilion (RM301 bilion) untuk membangunkan pesawat pejuang generasi kelima F-22 “Raptor”  yang mula diperkenalkan pada 1997 tetapi hanya melakukan penerbangan sulungnya pada September, 2005.

Selepas membelanjakan sejumlah RM301 bilion untuk membangunkan pesawat yang direkabentuk untuk memenangi pertempuran di udara, Washington akhirnya hanya membina sebanyak 187  buah pesawat F-22 Raptor.

Produksi pesawat generasi kelima “paling canggih” di dunia itu telah pun ditamatkan pada 2011 oleh syarikat pembuatnya, Lockheed Martin. 

Dengan kos pembangunannya (termasuk R&D) yang mencecah RM256 bilion, kos per-unit pesawat F-22 itu dianggarkan adalah sebanyak US$330 juta (RM1.55 bilion) manakala kos satu jam penerbangannya pula adalah US$70,000 (RM329,000).

RM329,000 untuk satu jam penerbangan F-22 Raptor berbanding US$33,000 (RM155,000) untuk menerbangkan pesawat pejuang F-35 selama satu jam.

J-20
J-20 “Mighty Dragon”
Su-57
Su-57

 

Buat masa ini F-35 merupakan pengganti kepada pesawat F-22 sehinggalah tentera Amerika Syarikat berjaya membangunkan pesawat pejuang generasi ke-enam (Next Generation Air Dominance – NGAD).

Antara teknologi yang amat sensitif pada pesawat F-22 adalah teknologi halimunannya yang dikatakan jauh lebih baik daripada apa yang ada pada pesawat F-35 Lightning digunakan oleh USAF dan sekutu-sekutunya pada ketika ini.

Radar cross-section daripada pesawat F-22 Raptor adalah jauh lebih kecil berbanding pesawat F-35.

Dikatakan radar cross-section pesawat F-22 hanya tidak lebih sebesar seekor lebah.

Pesawat Raptor itu diselaputi dengan “top secret coating” yang membuatkan pesawat itu lebih halimunan daripada pesawat—pesawat halimunan yang lain, membolehkannya menyerap radar signature dan bukan sekadar deflect radar signature itu. — DSA

 

Comments
Loading...