(VIDEO) Tentera Pakistan Laksana Ujian Pelancaran Peluru Berpandu Jarak Dekat “Abdali” (Hatf-II)
Inter-Services Public Relation (ISPR) Angkatan Tentera Pakistan berkata, ujian pelancaran peluru berpandu itu adalah untuk memastikan kesiapsiagaan operasi anggota tentera dan memastikan keberkesanan parameter teknikal peluru berpandu itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dikala New Delhi dan Islamabad berada di ambang peperangan, tentera Pakistan telah berjaya menjalankan ujian pelancaran peluru berpandu darat-ke-darat jarak dekat “Abdali” yang berkeupayaan membedil sasaran sejauh 450km.
Inter-Services Public Relation (ISPR) Angkatan Tentera Pakistan berkata, ujian pelancaran peluru berpandu itu adalah untuk memastikan kesiapsiagaan operasi anggota tentera dan memastikan keberkesanan parameter teknikal peluru berpandu itu.
“Ujian pelancaran itu akan untuk memastikan kesiapsiagaan operasional anggota tentera dan memastikan segala parameter teknikal membabitkan sistem navigasi serta ciri-ciri manuver peluru berpandu itu.
ISPR juga menyatakan bahawa ujian pelancaran peluru berpandu itu merupakan sebahagian daripada Latihan Tentera Indus yang disaksikan oleh pegawai-pegawai kanan daripada Pusat Pemerintahan Angkatan Strategik (AFSC), Divisyen Perancangan Strategik dan saintis serta jurutera daripada pelbagai organisasi strategik Pakistan.
Video pelancaran peluru berpandu jarak dekat Abdali itu turut dikeluarkan.
Peluru berpandu Abdali (Hatf-II) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Penyelidikan Angkasa dan Atmosfera Atas Pakistan (SUPARCO) merupakan sistem peluru berpandu bergerak menggunakan bahan api pepejal dan direka khas untuk kegunaan di medan perang.
Presiden Asif Ali Zardari, Perdana Menteri Shehbaz Sharif, Pengerusi Jawatankuasa Ketua-Ketua Turus Bersama Jeneral Sahir Shamshad Mirza serta ketua-ketua perkhidmatan Angkatan Tentera telah mengucapkan tahniah kepada anggota tentera, saintis dan jurutera yang terlibat, menurut ISPR.
“Mereka turut menyatakan keyakinan penuh terhadap tahap kesiapsiagaan operasi dan kecekapan teknikal Angkatan Strategik Pakistan dalam memastikan tahap deteren yang minimum bagi melindungi keselamatan negara daripada sebarang ancaman,” tambah kenyataan itu.
Ujian pelancaran peluru berpandu jarak dekat Abdali ini berlaku ketika ketegangan antara dua kuasa nuklear, Pakistan dan India sedang memuncak, susulan tindakan agresif yang diambil oleh New Delhi berikutan insiden yang berlaku di Pahalgam di Jammu dan Kashmir.
Serangan di Pahalgam pada 22 April mengorbankan 26 orang, kebanyakannya pelancong, menjadikannya antara insiden paling tragis sejak tahun 2000.
India telah memberikan bayangan wujudnya pembabitan kumpulan bersenjata yang disokong oleh Pakistan dalam insiden itu tanpa mengemukakan sebarang bukti, manakala Pakistan menolak dakwaan tersebut dan menyeru agar siasatan bebas dijalankan oleh pihak berkecuali.
Islamabad juga mendakwa bahawa mereka mempunyai maklumat-maklumat perisikan yang menunjukkan bahawa tentera India akan melancarkan serangan terhadap Pakistan di dalam tempoh 36 hingga 48 jam.
Bagaimanapun tempoh tersebut telah berlalu tanpa sebarang serangan, tetapi Pakistan tetap menyatakan bahawa serangan oleh tentera India itu bakal berlaku pada bila-bila masa.

Pakistan telah meletakkan keseluruhan angkatan tentera dalam dalam keadaan berjaga-jaga pada tahap tertinggi, sambil memberikan amaran kepada India bahawa ia akan bertindak balas terhadap sebarang serangan oleh negara jirannya itu.
Ketua Turus Angkatan Tentera (COAS) Pakistan, Jeneral Asim Munir menegaskan bahawa sebarang “tindakan melulu” oleh India akan dibalas dengan tindak balas yang “pantas, tegas dan lebih agresif”.
Barisan tertinggi kepimpinan tentera Pakistan turut memberi amaran kepada India bahawa sebarang cubaan untuk mencetuskan perang akan menerima tindak balas yang “pasti dan tuntas”.
Penganalisis di Pakistan memberitahu media tempatan bahawa pelancaran peluru berpandu itu merupakan satu bentuk amaran.
“Ia jelas menunjukkan bahawa kita mempunyai keupayaan untuk menghadapi India. Ini bukan sekadar mesej kepada India, tetapi juga kepada seluruh dunia bahawa kita berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya,” kata penganalisis ketenteraan, Hasan Askari Rizvi.
Peluru berpandu darat-ke-darat Abdali (Hatf-II) berupaya membawa kepala peledak berkuasa tinggi atau submunisi, dengan kadar Circular Error Probable (CEP) dilaporkan sekitar 150 meter—menunjukkan tahap ketepatan bedilan yang tinggi.


Ia dilancarkan menggunakan kenderaan pelancar khas, Transporter-Erector-Launcher (TEL), yang membolehkan ia digerakkan dan dikerahkan dengan pantas di medan operasi.
Spesifikasi Teknikal Peluru Berpandu Abdali (Hatf-II)
Parameter |
Maklumat |
Nama Rasmi |
Abdali (Hatf-II) |
Jenis |
Peluru berpandu balistik jarak dekat (SRBM) |
Pengeluar |
SUPARCO (Space and Upper Atmosphere Research Commission) |
Panjang |
Lebih kurang 6 meter |
Diameter |
Kira-kira 0.56 meter |
Berat Pelancaran |
Sekitar 1,750 – 1,800 kilogram |
Jarak Jangkauan |
450 kilometer |
Sistem Panduan |
Panduan inersia (Inertial Navigation System – INS) |
Kadar Ketepatan (CEP) |
± 150 meter |
Jenis Bahan Api |
Bahan api pepejal (solid propellant) |
Pelancar |
Transporter-Erector-Launcher (TEL) |
Jenis Kepala Peledak |
– Bahan letupan berkuasa tinggi (HE)
|
Status Operasi |
Dalam perkhidmatan aktif dengan Pusat Pemerintaha Pasukan Strategik Pakistan (Pakistan Army Strategic Forces Command – ASFC) |
Kegunaan dan Peranan Strategik
-
Digunakan untuk serangan taktikal terhadap sasaran bernilai tinggi dalam medan pertempuran.
-
Berperanan sebagai deteren konvensional dan nuklear dalam doktrin minimum credible deterrence Pakistan.
-
Memberi keupayaan tindak balas pantas, mobiliti tinggi, dan fleksibiliti operasi.