Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Mesir-China Didakwa Guna Pesawat AEWC KJ-500 Untuk Intip Tempoh Reaksi Pesawat Pejuang Israel

Tindakan Mesir dan China “bekerjasama” dalam mengintip Israel menggunakan pesawat AEWC KJ-500 dan J-10C itu telah membimbangkan Israel, sekaligus meningkatkan lagi rasa curiga mereka terhadap latihan udara bersama Kaherah-Beijing dinamakan Eagle of Civilization 2025 itu.

0 13,097
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Media-media Israel telah menuduh Mesir menggunakan pesawat amaran awal dan kawalan (AEWC) KJ-500 milik China yang berada di negara Timur Tengah itu untuk latihan udara bersama untuk mengintip pergerakan dan kedudukan tenteranya.
Mereka mendakwa pesawat-pesawat pejuang J-10C China telah melakukan penerbangan provokatif berhampiran sempadan Mesir-Israel di Semenanjung Sinai dan telah menyebabkan sistem amaran awal tentera Israel mengeluarkan amaran.
Pesawat AEWC KJ-500 China yang berada berhampiran telah digunakan oleh Mesir untuk merekod tempoh reaksi (reaction time) pesawat-pesawat pejuang Israel yang dikerah ke udara untuk memeriksa dan menangani punca “amaran” itu.
Tindakan Mesir dan China “bekerjasama” dalam mengintip Israel menggunakan pesawat AEWC KJ-500 dan J-10C itu telah membimbangkan Israel, sekaligus meningkatkan lagi rasa curiga mereka terhadap latihan udara bersama Kaherah-Beijing dinamakan Eagle of Civilization 2025 itu.
Latihan Eagle of Civilization 2025 di antara Mesir dan China yang bermula pada pertengahan hingga akhir April merupakan yang julung-julung kalinya diadakan.
Media Israel menyifatkan tindakan Mesir sambil dibantu oleh China itu telah melanggar perjanjian damai di antara kedua-dua negara yang ditandatangani pada 1979.
Bukan sahaja media Israel menyifatkan Mesir telah melanggar perjanjian damai 1979 itu, malah media Yahudi turut melahirkan kekecewaan kerana Amerika Syarikat sebagai penyokong terkuatnya hanya berdiam-diri terhadap pelanggaran itu dan tidak mengambil sebarang tindakan.

Mesir

Mereka menggesa pihak berkuasa Israel supaya mengambil tindakan terhadap kepentingan China di Pelabuhan Haifa.
Minggu lalu, sebuah akhbar Israel, Maariv mendakwa bahawa pesawat-pesawat pejuang J-10C Tentera Udara China yang terlibat dalam latihan udara bersama dengan Mesir itu telah terbang begitu hampir dengan sempadan Israel.
Tindakan pesawat-pesawat pejuang China itu amat membimbangkan, menurut akhbar Israel itu.
“Laporan oleh akhbar Israel tersebut mendakwa bahawa pesawat pejuang China yang mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan (bersama dengan Tentera Udara Mesir) itu telah terbang dengan jarak yang agak dekat dengan sempadan Israel, dan menyifatkan situasi tersebut sebagai satu perkembangan yang membimbangkan.”
Akhbar Israel itu turut melaporkan bahawa latihan ketenteraan di antara Mesir dan Israel berkenaan melibatkan sebilangan besar pesawat canggih dan dilaksanakan ketika ketegangan serantau semakin memuncak.
Akhbar Maariv Israel itu menekankan bahawa perkembangan terkini melibatkan latihan tentera bersama Mesir-China itu berlaku seiring dengan kebimbangan Israel yang semakin meningkat terhadap penempatan aset-aset ketenteraan Kaherah di Semenanjung Sinai baru-baru ini.
KJ-500 AEWC
KJ-500 AEWC
Selain itu, penganalisis Israel turut berpandangan bahawa kerjasama ketenteraan Mesir yang semakin erat dengan China—termasuk kemungkinan pembelian sistem persenjataan canggih buatan negara itu—mampu mengubah keseimbangan kuasa di rantau ini dan mencabar kelebihan ketenteraan kualitatif yang dimiliki Israel.
Pada Mac lalu, sebelum bersara Ketua Staf Angkatan Tentera Israel (IDF) Lt Jeneral Herzi Halevi telah menyuarakan “rasa bimbang” yang turut dikongsi bersama oleh komuniti pertahanan dan keselamatan Israel tentang kekuatan tentera Mesir dan saiz angkatan tenteranya yang besar.
Bercakap dalam temuramah dengan media negara itu, Channel 14, Halevi berkata apa yang dimiliki oleh Angkatan Tentera Mesir pada ketika ini adalah “amat membimbangkan.”
“Kami sangat bimbang mengenai perkara ini (kekuatan Angkatan Tentera Israel). Mesir memiliki sebuah angkatan tentera yang besar, dilengkapi dengan sistem tempur yang canggih, pesawat, kapal selam, kapal perang, dan kereta kebal moden, serta sejumlah besar pasukan infantri,” katanya.
Latihan udara Eagle of Civilization 2025 bulan lepas itu telah menyaksikan Tentera Udara Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) menghantar pesawat pejuang J-10C, pesawat tangki udara YU-20 dan pesawat amaran awal KJ-500 untuk menyertai latihan ketenteraan itu yang diadakan pertama dalam sejarah.
Ini juga adalah kali pertama China menghantar pesawat amaran awalnya KJ-500 untuk terlibat dalam latihan udara bersama di luar negara.
KJ-500 AEWC
KJ-500 AEWC
Sebagaimana diumumkan oleh Kementerian Pertahanan China, latihan udara bersama “Eagle of Civilization 2025”, yang telah berlangsung di Pangkalan Udara Wadi Abu Rish di Mesir.
Kementerian Pertahanan China menggambarkan latihan itu sebagai usaha untuk “menggalakkan kerjasama praktikal serta memperkukuh persahabatan dan saling kepercayaan,” menandakan detik penting dalam perkembangan hubungan dua hala antara Beijing dan Kaherah.
“Ini merupakan latihan ketenteraan bersama yang pertama antara kedua-dua negara, dan ia amat penting dalam usaha menggalakkan kerjasama pragmatik serta memperkukuh persahabatan dan kepercayaan bersama.”
KJ-500 merupakan pesawat AEWC generasi ketiga milik China yang dibangunkan oleh Shaanxi Aircraft Corporation, berasaskan kerangka pesawat pengangkut Y-9, dan berperanan penting dalam meningkatkan keupayaan operasi Tentera Udara dan Tentera Laut China (PLAAF dan PLAN).
KJ-500 dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) tiga panel yang dipasang dalam radom tetap di atas badan pesawat, membolehkan liputan 360 darjah secara berterusan tanpa perlu berputar seperti sistem radar konvensional.
Radar berteknologi tinggi ini mampu mengesan dan menjejak antara 60 hingga 100 sasaran secara serentak sejauh sehingga 470 kilometer, termasuk pesawat halimunan seperti F-22 Raptor dan F-35 Lightning II milik Amerika Syarikat serta peluru berpandu hipersonik dan peluru berpandu jarak rendah.
mesir
Pesawat pejuang MiG-29 Tentera Udara Mesir dan J-10C Tentera Udara China
Naik taraf terbaharu pada sistemnya, termasuk integrasi dengan rangkaian satelit BeiDou dan penggunaan gangguan elektromagnetik daripada dron atau konstelasi satelit seperti Starlink, meningkatkan keupayaannya mengesan sasaran dengan keratan rentas radar yang kecil.
Sistem radar berprestasi tinggi ini turut mampu menjejak sasaran kecil, pantas dan bermanuver tinggi secara tepat dalam persekitaran peperangan kompleks.
Dengan panjang 34 meter dan rentang sayap 38 meter, KJ-500 lebih padat berbanding KJ-2000, memudahkannya beroperasi dari lapangan terbang yang lebih kecil.
Varian lautnya, KJ-500H, direka khusus untuk misi rondaan maritim dan kawalan operasi untuk Tentera Udara Laut China, manakala versi standard digunakan bersama pesawat pejuang seperti J-20 dalam operasi udara jarak jauh.
Varian KJ-500A yang diperkenalkan pada tahun 2020 pula dilengkapi dengan keupayaan pengisian bahan api di udara, membolehkannya melanjutkan masa operasi melebihi 12 jam penerbangan dan jarak sejauh 5,700 kilometer.
KJ-500 dilengkapi oleh empat enjin turboprop WJ-6C dengan kuasa 3,800 kW setiap satu dan menggunakan kipas enam bilah komposit yang membolehkannya mencapai kelajuan jelajah 550 km/j untuk tindak balas pantas terhadap ancaman.

Mesir

Dengan keupayaan bertahan selama 12 jam dan jarak operasi sejauh 5,700 km, ia sangat sesuai untuk meliputi wilayah strategik seperti Laut China Selatan dalam operasi udara dan maritim berpanjangan.
KJ-500 merupakan teras dalam sistem peperangan berinformatik China, dengan integrasi tinggi, pelbagai fungsi dan sistem elektronik ringan yang membolehkannya menjalankan relay data dan arahan secara lancar.
Ia mampu membimbing pesawat pejuang untuk melaksanakan serangan tepat dan memainkan peranan penting dalam peperangan berangkaian.
Pesawat ini turut diintegrasikan ke dalam Sistem Pengurusan Medan Tempur (BMS) China, meningkatkan kesedaran situasi dan penyelarasan dengan aset lain termasuk dron dan platform maritim.
Peralatan tambahan seperti antena risikan elektronik (ELINT) dan penderia amaran peluru berpandu (MAWS) memberi ketahanan lebih baik terhadap gangguan elektronik dan ancaman peluru berpandu.
China terus mempergiatkan pengeluaran KJ-500 dengan anggaran lebih 50 buah pesawat AEW&C dalam perkhidmatan menjelang tahun 2024, menunjukkan kapasiti industri pertahanan yang mantap.
KJ-500 kini menjadi platform standard AEWC untuk PLAAF dan PLAN, menggantikan model lama seperti KJ-200 hasil daripada teknologi dan kebolehpercayaan yang jauh lebih maju.
Mesir
J-10C
Menurut Komander Tentera Udara Pasifik AS, Jeneral Kenneth Wilsbach, KJ-500 meningkatkan keupayaan China untuk menjalankan operasi peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh, satu aspek penting dalam projeksi kuasa di kawasan sengketa.
Penempatan pesawat ini di pangkalan seperti Changzhou dan terumbu Fiery Cross menunjukkan peranannya dalam mengawal laluan maritim dan memantau Laut China Selatan serta Pasifik Barat.
Dari segi teknologi, KJ-500 diiktiraf satu generasi lebih maju berbanding KJ-2000 dan dua generasi di hadapan pesawat AWACS AS E-3C serta E-2C Hawkeye, berkat teknologi radar susunan fasa (phased-array) yang digunakannya.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.