Tentera Laut Filipina Cadang Pertingkat Kemampuan Kesan Kapal Selam Asing
Jurucakap Tentera Laut Filipina, Laksamana Muda Roy Vincent Trinidad, menyatakan bahawa Angkatan Tentera Filipina (AFP) merancang untuk memperoleh sistem peperangan bawah laut yang canggih termasuk kapal-kapal perang bagi mengesan pencerobohan kapal selam asing.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berikutan insiden penemuan kapal selam Russia di perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) baru-baru ini, Filipina merancang untuk meningkatkan lagi kemampuan peperangan bawah permukaannya bagi membolehkan negara Asia Tenggara itu mengesan kapal-kapal selam asing yang memasuki perairannya.
Jurucakap Tentera Laut Filipina, Laksamana Muda Roy Vincent Trinidad, menyatakan bahawa Angkatan Tentera Filipina (AFP) merancang untuk memperoleh sistem peperangan bawah laut yang canggih termasuk kapal-kapal perang bagi mengesan pencerobohan kapal selam asing.
“Program utama adalah untuk membangunkan keupayaan AFP dalam peperangan bawah laut.”
“Kami telah mengemukakan cadangan untuk dua lagi korvet, atau mungkin dua lagi frigat.”
“Keperluan ini telah dikenal pasti oleh Filipina sejak beberapa tahun lalu. Oleh itu, Pelan Re-Horizon 3 kami merangkumi lebih banyak korvet, kapal tambahan, dan keupayaan lain untuk peperangan anti-kapal selam,” menurut beliau.
Pada Januari tahun ini, Presiden Ferdinand Marcos Jr. telah meluluskan “Re-Horizon 3” – sebuah program pertahanan yang diperbaharui dengan bajet bernilai AS$35 bilion, yang memperkukuhkan perubahan pendekatan Manila terhadap keselamatan negara.
Buat masa ini, menurut Trinidad, Tentera Laut Filipina memantau pencerobohan kapal selam asing menggunakan helikopter AW 159 yang dilengkapi dengan avionik dan sistem misi bersepadu.
Ketua AFP, Jeneral Romeo Brawner Jr., turut memaklumkan bahawa perolehan kapal selam diesel-elektrik merupakan sebahagian daripada program pemodenan ketenteraan, susulan pengesanan sebuah kapal selam Rusia di perairan berhampiran Mindoro pada 28 November lalu.
Dalam insiden yang disifatkan sebagai jarang-jarang berlaku baru-baru ini, sebuah kapal selam penyerang Russia telah dikesan “timbul” (surfaced) di bahagian barat Laut China Selatan berhampiran Filipina yang digelar oleh Manila sebagai Laut Filipina Barat (West Philippine Sea).
Sumber-sumber memberitahu akhbar Filipina “Philippine Daily Inquirer” bahawa kapal selam penyerang Russia itu dikesan belayar di atas permukaan air pada minggu lepas.
Satu daripada sumber-sumber yang memberitahu akhbar negara itu menyatakan bahawa kapal selam diesel elektrik Russia itu adalah daripada jenis Ufa daripada kelas-Kilo II.
Kali pertama kapal selam Russia itu dikesan pada 28 November lalu berada kira-kira 148km (80 Batu Nautika) barat Occidental Mindoro dan ia didapati telah belayar daripada Malaysia, menurut sumber itu.
Menurut media Filipina, tentera laut negara itu telah bertindak segera dengan mengerahkan sebuah pesawat peninjau dan kapal perang untuk menjejak pelayaran kapal selam Russia itu yang belayar di atas permukaan perairan.
Sepanjang pelayarannya, kapal selam itu tidak menyelam ketika ia belayar menuju ke bahagian utara Laut China Selatan itu di luar perairan Filipina.
Sepanjang pelayarannya itu, kapal selam diesel elektrik Russia itu dijejaki rapat oleh kapal perang Tentera Laut Filipina BRP Jose Rizal.
Kapal selam Russia itu bersama kapal penunda, Alatau telah dikesan beroperasi di Laut China Selatan selepas singgah di Pangkalan TLDM di Kota Kinabalu pada 23 Nov itu.
Sebelum itu, kapal selam Russia itu telah berada di Indonesia untuk menjalani latihan bersama dengan Tentera Laut Indonesia.
Kapal selam Ufa daripada kelas-Kilo II itu dipercayai sedang pelayaran untuk pulang ke pangkalannya di Armada Pasifik Tentera Laut Russia di Pangkalan Laut Kamchatka, timur jauh Russia.
“Ufa”adalah salah sebuah daripada enam buah kapal selam penyerang Projek 636.3 milik Russia yang telah ditauliahkan pada akhir tahun lepas dan kini operasinya dipindahkan daripada kawasan Laut Baltik kepada Lautan Pasifik.
Ia merupakan kapal selam diesel elektrik kelas-Kilo (improved Kilo) yang telah dinaiktaraf dan dipermodenkan dengan beberapa kemampuan terkini.
Russia menandatangani perjanjian dengan Admiralty Shipyard untuk membina enam buah kapal selam Projek 636.3, dengan kapal selam pertama telah ditauliahkan oleh tentera laut negara itu pada 2019.
Kapal selam “Ufa” dilaporkan adalah salah sebuah kapal selam penyerang Russia paling senyap dalam armadanya, seringkali diperkatakan sebagai “Black Hole” di dalam armada kapal selam negara kuasa besar dunia.
“Pengoperasian kapal selam penyerang diesel-elektrik “Ufa” ke Asia Pasifik adalah amat penting kerana rantau ini telah menjadi arena konfrontasi di antara kuasa-kuasa besar dunia terutamanya membabitkan China dan Amerika Syarikat,” menurut agensi berita Russia, Izvestia. — DSA